Ahlan pembaca blog ini.
Saya ingin berkongsi kaedah rawatan petua melayu untuk penyakit fizikal yang boleh kita amalkan.
Rawatan Penyakit Fizikal Dengan kaedah petua melayu.
Selawat Syifa' sebagai selawat penyembuhan yang dibaca bersama surah al-fatihah. Lafaz selawat yang dimaksudkan itu adalah seperti berikut:
اللهمّ صَلِّ على سَيِّدِنَا مُحَمَّد طِبِّ القُلُوْبِ وَدَوَائِهَا وَعَافِيَةِ الأبْدَان وَشِفَائِهَا وَنُوْرِ الأبصَارِ وَضِيَائِهَا وَعَلى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ
Maksudnya: "Ya Allah! Selawatkanlah ke atas penghulu kami (Nabi) Muhammad, penawar hati dan pengubatnya (hati), penyihat badan dan penyembuhnya (badan), pemberi cahaya penglihatan dan pemancarnya, juga ke atas ahli keluarga dan sahabat Baginda serta berkati sejahterakanlah."
RESDUNG
Penyakit ini merupakan sejenis penyakit hidung yang mempunyai pelbagai simptom bergantung kepada individu-individu berkenaan. Ada yang mengalami kesesakan bernafas dan ada juga yang sentiasa bersin terutamanya di waktu pagi. Cara merawatnya adalah ambil enam helai daun limau purut dan enam helai daun limau nipis. Tumbuk daun ini bersama-sama dan dibakar pada nyalaan api untuk menghasilkan asap dan baunya. Asap yang terhasil disedut melalui hidung dengan menarik nafas yang panjang dan dihembuskan nafas keluar melalui mulut.
SAKIT GIGI
Rawatan: Ambil tempurung kelapa , dibakar dan kemudiannya ditelangkupkan sebuah bekas plastik atau kaca ke atasnya. Tujuannya adalah untuk menghasilkan wapnya atau abu minyak pada bekas tersebut. Calitkan wap tersebut dengan kapas yang kecil dan letakkan kapas tersebut di gigi yang sakit.
SENGGUGUT
Bahan: Lima helai daun ati-ati , 3 cm ubi bemban ,satu camca kecil abu dan satu gelas air. Daun ati-ati dan ubi bemban ditumbuk dan dicampurkan dengan abu. Dan kemudiannya dimasukkan dalam satu bekas berisi air. Separuh dari larutan tadi diminum ketika sakit dan sebahagian yang lebih itu kira-kira lima jam kemudiannya.
SEMBELIT
Ramuan: 2 biji nenas masak. Nenas yang telah dibasuh ,diparut dan perahkan airnya. Simpan dalam bekas di dalam peti ais. Airnya diminum sebanyak satu cawan dua kali sehari.
KURAP
Rawatan: 11 – 13 helai daun ketapang, 1 camca kecil kapur sirih. Tumbukkan dan penyekkan daun ketapang bersama-sama dengan kapur sehingga lumat. Sapukan ubat tadi pada tempat yang dijangkiti iaitu 2 – 3 kali sehari bergantung kepada besarnya kawasan jangkitan dan biarkan ia kering sendiri.
KURANG NAFSU MAKAN
Bahan: 3 cm bahagian ubi lempuyung , 3 cm bahagian ubi cekur, 3 cm bahagian ubi temu kuning. Tumbukkan keseluruhan ramuan hingga lumat dan perahkan airnya ke dalam satu bekas. Minum air hasil tumbukkan pada setiap pagi.
PENYAKIT ANGIN
Orang yang menghidapi penyakit angin dan sering merasa sejuk perlu minuman campuran berikut tiap-tiap hari. Campuran tersebut ialah cengkih dan lada putih atau lada hitam . Bahan – bahan tersebut yang sama jumlah hendaklah digoreng hingga garing dan kemudiannya ditumbuk hingga halus. Campuran tersebut hendaklah di ayak terlebih dahulu . Campuran yang masih kasar digoreng lagi hingga garing kemudian ditumbuk semula seperti proses yang terdahulu hingga kesemuanya sempurna menjadi serbuk yang halus. Sebuk tersebut kemudian di campur dengan setengah cawan air suam diminum tiap-tiap pagi atau malam sebelum atau selepas makan. Ubat ini berguna untuk memecahkan angin yang ada di dalam badan dan memanaskan badan yang sejuk.
BARAH
Barah yang baru menyerang mungkin dapat diubati dengan mengambil sehelai daun sirih yang disapu dengan sedikit kapur sirih. Daun sirih itu dijampi terlebih dahulu sebelum disapukan pada bahagian yang ditumbuhi barah. Jampi ubat barah adalah seperti berikut:
Bismillahirrahmanirrahim, kayu aras, darah babi, pecah darah, pacah bisul
Banyak susu basi yang jadi berkat La ilaha illallah Muhammadur rasulullah.
Daun sirih yang telah dijampi itu hendaklah disapukan pada barah di waktu matahari terbenam hampir terbenam (senja). Pengubatan ini dilakukan selama 3 hari berturut-turut.
BISUL
Bahan untuk mengubati bisul adalah sama seperti pengubatan barah tetapi jampi yang digunakan adalah seperti berikut:
Bismillahirrahmanirrahim, kerasak kerisik rat gigitir, daging jangan masak, urat jangan tagincit, berkat akan menjampi ubat tawan bisul, berkat La ilaha illallah Muhammadur rasulullah.
Sirih tadi disapukan di sekeliling bisul. Bahagian mata bisul ditinggalkan tanpa disapu. Lakukan tiap-tiap hari sehingga bisul pecah dengan sendirinya.
BATUK BERDARAH
Pokok cili api sangat berguna dalam perubatan tradisional Melayu. Pokok cili api yang telah mati dan kering perlu disimpan untuk digunakan sebagai ubat. Seseorang yang menderita batuk berdarah boleh diubati dengan menggunakan akan cili api yang telah kering. Akar cili api tidak kira berapa banyaknya direndam dalam air sejuk selama semalam. Air rendaman itu diminum tiap-tiap pagi dan malam sehingga penyakit itu benar-benar sembuh.
UBAT BAU BADAN DAN DARAH KOTOR
Bau badan yang tidak sedap dapat diatasi dengan membiasakan diri memakan daun selasih sebagai ulam. Bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak ulam ini dapat melancarkan atau menyegerakan keluarnya darah kotor.
MUDAH BERSALIN
Ubat yang akan diterangkan di bawah ini dapat digunakan untuk mempercepatkan proses bersalin atau sekiranya ibu belum sampai lagi masanya untuk bersalin maka ubat ini akan menyembuhkan segera kesakitan yang dialami oleh ibu-ibu. Bahan-bahan yang diperlukan ialah 10 biji lada putih , sebiji garam jantan, 3 – 4 inci halia dan 2 sudu besar gula merah. Halia tersebut hendaklah ditumbuk atau diparut terlebih dahulu. Air perahannya dimendapkan terlebih dahulu kemudian di bubuh di dalam gelas lain dan di campur dengan bahan-bahan selebihnya. Air perahan ini mestilah sekurang-kurangnya suku cawan atau seruas jari manis. Sekiranya air halia itu masih kurang dari suku, maka halia perlu ditumbuk lagi untuk mendapatkan jumlah yang diperlukan itu. Ubat ini diminum apabila ibu-ibu mengalami kesakitan yang agak teruk.
DARAH TINGGI
Darah tinggi merupakan penyakit yang merbahaya. Penyakit ini sukar diubati oleh perubatan moden. Pesakit sering kali mengubati penyakit darah tinggi dengan menggunakan perubatan tradisional. Di samping berpantang mereka juga makan ubat-ubat yang pahit. Di antara tanda-tanda seseorang itu mengidap sakit darah tinggi ialah pening kepala yang berpanjangan, sering pitam dan bahagian-bahagian badan terasa sakit dan lemah. Sebelum istilah darah tinggi ini diketahui masyarakat Melayu mengenalinya sebagai penyakit lemah. Pesakit biasanya dilarang makan makanan yang terlalu masin, berlemak dan daging kambing. Salah satu cara untuk mengubati adalah dengan minum rebusan rumput ambin atau kelek anak. Sukatan yang digunakan untuk sekali minum ialah secekak jari manis rumput ambin, buah direbus dengan 3 cawan air. Rumput ini direbus sehingga airnya tinggal kira-kira secawan. Air rebusan ini diminum tiap-tiap pagi dan malam.
DEMAM PANAS
Sakit demam panas dapat diubati dengan menggunakan beberapa jenis bahan iaitu beberapa helai daun tapak itik atau daun sedingin , daun bunga raya, sebiji bawang merah tunggal dan sebiji garam jantan. Bahan-bahan ini kemudian diramas di dalam air. Air ramuan ini di jaram atau disapukan di kepada pesakit. Cara ini dilakukan beberapa kali sehingga pesakit tersebut merasa lega atau suhu badannya menurun.
DEMAM SELSEMA
Caranya adalah dengan menconteng sedikit kunyit bersama sedikit kapur sirih. Kunyit ini diconteng seperti tanda ( + ) ini di dahi, tapak kaki , tapak tangan dan dada. Selepas itu kunyit yang digunakan terus dibuang. Ubat ini bertujuan untuk menurunkan sesak nafas dan mengelakkan hidungnya tersumbat. Selain dari itu orang-orang tua, percaya kanak-kanak yang mendapat selesema kerana gangguan dari syaitan atau makhluk halus. Oleh itu syaitan akan menjauhkan diri dari kanak-kanak tersebut apabila kunyit disapukan pada bahagian tertentu badan.
SAKIT KENCING, GATAL-GATAL DAN KEPUTIHAN
Sakit kencing ialah sakit yang dialami oleh seseorang semasa membuang air kecil. Penyakit ini boleh dialami oleh sesiapa sahaja . Penyakit gatal-gatal dan keputihan pula adalah penyakit yang sering terjadi kepada wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum. Keputihan juga sering kali disebut sebagai darah putih. Keputihan ialah lendir-lendir berwarna putih yang keluar dari rahim. Pesakit yang mengalaminya akan berkeadaan letih dan kurang bertenaga. Penyakit ini bertambah banyak apabila seseorang itu berada dalam runsing atau sedang menghadapi sesuatu maslah. Penyakit ini amat merbahaya sekiranya dibiarkan berlarutan. Penyakit ini dapat diubati dengan cara mengambil 7 helai daun sirih kerakap , 3 pucuk daun selasih dan seketul ibu kunyit . Bahan –bahan ini ditumbuk dan diperah airnya . Kunyit boleh ditambah lagi sekiranya air perahan belum cukup seruas jari manis. Perahan ini di campur dengan sebiji garam jantan dan dimendapkan terlebih dahulu sebelum diminum tiap-tiap pagi dan malam. Di buat 3 hari berturut-turut .Sebelum minum pesakit perlu baca surah Al-Fatihah dan selawat 3 kali. Pesakit dilarang makan makanan yang terlalu berminyak dan gatal seperti udang, ikan kembung dan lain-lain serta makan makanan sejuk seperti betik dan labu.
GATAL KULIT
Cara ubi bemban belanda atau bemban sualih. Ubi ini diparut mengikut keperluan penyakit kulit dan kemudian disapukan ke bahagian-bahagian kulit yang berpenyakit. Pokok ini juga boleh digunakan untuk merawat jerawat, membersihkan dan melicinkan kulit muka.
GASTRIK
Gastrik peringkat awal : Caranya minum susu kambing dan mengamalkan minum madu sebanyak sesudu sehari sama ada di waktu pagi atau malam. Selain daripada itu pesakit disuruh makan sekepal nasi sejuk yang telah digaul dengan gula pada tiap-tiap pagi sebelum bersarapan.
KENCING MANIS
Penyakit ini merupakan suatu penyakit yang sangat sukar diubati oleh perubatan moden. Pesakit sering menemui maut akibat luka atau kudis yang tidak boleh sembuh. Bahagian –bahagian tertentu di badan kerap kali dipotong kerana luka yang tidak boleh sembuh. Pesakit dilarang makan makanan yang manis atau terlalu berkanji seperti nasi atau roti. Pesakit digalakkan makan makanan yang pahit seperti peria, jering, petai, pucuk pegaga dan lain-lain. Selain dari itu pesakit juga dilarang makan makanan yang berawet seperti sardin, buah-buahan dalam tin dan sebagainya. Ibu-ibu mengandung yang mengidap penyakit ini kerap kali mengalami keguguran. Kelahiran bayi pula berlaku ketika kandungan baru mencapai 7 bulan. Cara pengubatan adalah dengan menggunakan pokok periuk kera. Caranya ialah dengan merebus seluruh pokok periuk kera ini ikut sukatan yang berikut: Sepokok periuk kera ini digunakan untuk mendapatkan secawan air rebusan. Caranya ialah dengan rebus pokok periuk kera dengan 3 kali ganda air dari jumlah yang diperlukan. Air rebusan ini boleh diminum bila-bila masa seperti minum air teh atau kopi.
LUKA
Caranya : Rumput sialah di campur dengan sedikit kapur sirih. Ubat ini dijampi terlebih dahulu sebelum digunakan.
MENGELUARKAN DARAH KOTOR SELEPAS BERSALIN
Pokok mangkukkan. Air rendaman pokok mangkukkan ini digunakan untuk mengeluarkan darah kotor yang disebut sebagai ‘lungsur’. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai akar pokok mangkukkan kemudian dipotong kira-kira seinci atau 2 inci dan direndam semalaman di dalam air. Air hendaklah diminum pada tiap-tiap pagi sekurang-kurangnya selama seminggu. (Pokok ini sering digunakan sebagai penghias halaman atau pagar rumah. Daunnya digunakan untuk sebagai ubat penyubur rambut)
PERUT KEMBUNG
Beberapa helai daun jarak, daun sirih dan daun bungkal udang. Kesemua bahan digunting atau di cincang halus, di campur dengan minyak kelapa atau zaitun. Campuran hendaklah dipanaskan terlebih dahulu sebelum digunakan. Kemudian disapu ke perut pesakit semasa suam-suam panas.
SAKIT MATA
Titikan air perahan pucuk kacang belimbing atau kacang botol pada mata. Dilakukan selama 3 hari berturut-turut.
SAKIT PERUT
Gunakan daun durian belanda. Pucuk durian belanda diambil kira-kira 3 atau 4 helai dan di campur dengan sedikit air kapur sirih. Daun –daun ini dilenyek di tapak tangan dan terus disapukan di perut yang sakit.
SAKIT PINGGANG
Layurkan sehelai daun bakung yang telah disapu dengan sedikit minyak kelapa. Sapukan daun yang disapu minyak ini pada pinggang yang sakit.
SEJUK KAKI DAN KEBAS
Jika kaki tangan sering mengalami sejuk-sejuk dan kebas seseorang itu boleh mengamalkan ubat ini. Bahan : beberapa batang serai. Serai ini digiling lalu disapukan pada bahagian yang sejuk atau kebas. Pengubatan dilakukan pada tiap-tiap malam semasa hendak tidur dan tidak boleh kena air.
Rujukan - Buku Sebahagian dari rawatan pesakit menurut Al-Quran dan Al-Sunnah oleh Tuan Guru Harun Din dan Amran Kasimin (1987) Percetakan Watan Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Tags:
Rawatan Melayu