Sihir Pelalau...Bahayanya Kat Mana ?



Assalamualaikum rakan pembaca blog ini. Alhamdulillah, kerana masih lagi diberi kesempatan untuk  berkongsi ilmu-ilmu rawatan Islam demi kefahaman masyarakat amnya dan diri saya sendiri khususnya. Saya ingin mengimbau kembali satu artikel dari Mingguan Malaysia pada 1 Aug 2004. Agak lama artikel ini.

Saya ulang siar artikel lama di bawah ini dan kemudian pada perenggan seterusnya saya kongsikan apakah itu sihir pelalau.

Berikut adalah artikel dari Dr. Amran Kasimin tentang satu masalah pesakit yang terkena sihir pelalau.

SOALAN:

Sama seperti perempuan lain, saya ingin berkahwin, tetapi dihalang oleh keluarga dan macam-macam masalah. Seingat saya, lebih 10 orang yang datang meminang. Apabila saya terima pinangan, keluarga membantah, ataupun bantahan daripada pihak lelaki yang tidak setuju.

Umur saya meningkat 30 tahun dan keluarga saya menyatakan jodoh saya berat, mungkin saya disihir. Hingga sekarang ini saya menghadapi masalah mimpi dengan seorang lelaki, kawan sama sekolah dahulu. Kami hanya berkawan biasa tidak bercinta pun. Selalu terganggu di waktu tidur. Saya selalu terhidu bau busuk, bau rumput terbakar dan kadang-kadang bau wangi yang tidak ada puncanya yang dapat dipastikan. Adakah saya terkena sihir? - IZNORA, Ampang


JAWAPAN:

Pertanyaan dan permasalahan yang saudari kemukakan adalah sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik. Walaupun demikian segala pengalaman dan masalah seperti yang saudari jelaskan adalah sesuatu yang benar-benar boleh berlaku.

Banyak punca menyebabkan seseorang itu, sama ada lelaki atau perempuan tidak menemui jodoh, sehingga mencecah umur yang membimbangkan, yang mempunyai punca yang berbeza.  Merujuk kepada permasalahan yang dikemukakan, seperti yang dijelaskan dalam surat panjang saudari, saya lebih berkecenderungan untuk mengatakan bahawa saudari menghadapi masalah yang diistilah sebagai ``pelalau.''

Pelalau adalah salah satu cabang amalan sihir yang terkutuk menurut pandangan Islam. Ia merupakan salah satu dosa besar yang membinasakan.  Sihir yang dimaksudkan di sini ialah amalan yang dilakukan oleh manusia, dengan pertolongan atau bantuan jin sama ada jin yang dibela, dibuat sahabat untuk tujuan-tujuan tertentu, yang pada kebiasaannya dilakukan untuk menyakiti orang lain, sebab-sebab tertentu seperti membalas dendam, hasad dengki, cemburu, permusuhan yang berlaku sejak begitu lama, untuk membinasakan orang lain dan sebagainya.

Terdapat banyak jenis sihir, di antaranya dan yang paling banyak berlaku ialah sihir untuk memisahkan suami isteri yang juga dikenali sihir pembenci, sihir pengasih, yang diistilahkan juga ilmu guna-guna, pukau, santau, pelalau dan sebagainya.

Sihir pelalau dilakukan atau dikenakan ke atas seseorang dengan tujuan di antaranya untuk mengunci nafsu manusia, tidak kira sama ada nafsu lelaki ataupun perempuan, daripada keinginan berkahwin. Pada kebiasaannya, tabiat orang yang berkenaan (mangsa) akan berubah, menjadi pendiam, tidak aktif, sentiasa dalam keadaan murung, menyendiri dan sering kali melarikan diri apabila persoalan pernikahan atau perkahwinan dan hal-hal lain berkaitan cinta itu ditimbulkan oleh keluarga atau teman-teman.

Selain daripada pelalau yang menyebabkan nafsu kahwin seseorang itu tertutup, sihir jenis ini juga boleh menyebabkan berlakunya halangan-halangan, usaha-usaha untuk menemukan jodoh seseorang itu terbantut. Sebagai contoh, sekiranya seorang perempuan yang terkena sihir jenis ini bersetuju mengahwini seseorang, setelah beberapa lama berkenalan, bercinta dan sebagainya, pasangannya mungkin akan menolak, begitulah sebaliknya.

Pasangan ini mungkin telah bertunang beberapa tahun, tetapi pada saat-saat terakhir si perempuan menolak, enggan berkahwin dengan tunangnya yang pada asalnya lelaki itu amat dicintai dan tidak ada masalah dan sebab-sebab yang jelas dapat diterima akal. Ada juga perempuan yang melarikan diri di saat akhir setelah semua persiapan lengkap diatur.

Anak yang waras tidak akan berbuat demikian, kerana perbuatan seperti ini selain memberi aib kepada ibu bapanya, juga kaum keluarga. Biarpun perbuatan tersebut seumpama mustahil boleh terjadi, tetapi ia pernah berlaku dalam masyarakat kita lantaran sihir.  Bakal pengantin perempuan melarikan diri dalam keadaan separuh tidak sedarkan diri dan seluruh perasaan, badannya seumpama ditarik-tarik keluar rumah pada waktu malam.

Pada telinganya dibisikkan, atau seumpama terdengar bisikan supaya melarikan diri. Halangan untuk menyatukan pasangan ini mungkin tidak tercetus daripada pasangan itu, tetapi mungkin berpunca daripada sikap ibu bapa, ataupun salah seorang daripadanya. Biarpun pasangan ini telah bersetuju untuk berkahwin, tetapi si ibu membantah tanpa sebab yang jelas.

Si ibu mungkin mengancam akan membunuh diri sekiranya anak perempuannya tetap berkahwin dengan lelaki pasangannya, mengancam akan keluar lari dari rumah, tidak menghalalkan makan, minum ataupun tidak mengaku anak buat selama-lamanya dunia akhirat. Ada banyak kes yang saya temui seperti yang saudari alami. Seorang responden berumur hampir 30 tahun, tinggal di Kuala Lumpur, telah dipinang tidak kurang daripada 15 orang lelaki, tetapi kesemuanya berakhir dengan kegagalan. Ada sahaja halangan terjadi.

Pernah satu ketika, satu rombongan yang datang lengkap dengan hantaran, kerana kedua-dua pihak bersetuju. Setelah rombongan tersebut masuk ke dalam rumah perempuan, tiba-tiba si perempuan dalam keadaan tidak dapat mengawal diri telah memarahi rombongan ini, sambil menjerit-jerit, akhirnya mereka balik dengan hampa.

Pada hal ketika itu si perempuan siap sedia dengan pakaian dan perhiasan untuk menerima peminangan itu. Apa yang berlaku di luar kawalan, mula-mula si perempuan mendengar suara seperti desiran angin datang dari jauh, kemudian dia mendengar suara loceng berbalam-balam. Badannya berasa sejuk, bermula dari hujung jari-jari, lalu dirasakan dunia sedikit demi sedikit menjadi gelap. Ketika itu dia melihat wajah rombongan yang masuk ke ruang tamu seumpama lembaga yang menakutkan, lalu dia menjerit, tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian lain, setelah pihak lelaki dipersetujui untuk datang meminang, pada malam harinya, iaitu hari sebelum rombongan itu datang, si perempuan ini bermimpi yang dia akan didatangi oleh rombongan untuk meminangnya. Dalam mimpi itu dijelaskan bahawa rombongan itu akan gagal, sama seperti rombongan-rombongan lain, yang pernah meminangnya.

Gambaran mimpi yang dialaminya benar-benar berlaku, di mana rombongan tersebut tidak dapat meneruskan perjalanannya. Ketika berada di Shah Alam, hujan turun dengan lebatnya berserta petir, akhirnya rombongan itu balik hampa. Tidak jelas sama ada apa yang berlaku itu hanya secara kebetulan, ataupun ada kaitannya dengan mimpi yang dialami. Apa yang nyata peminangan itu gagal. Tidak mudah untuk menyatakan bahawa kegagalan seseorang itu untuk menemui jodohnya itu berpunca daripada pelalau yang dijelaskan di sini ataupun sebab-sebab biasa yang bukan berpunca daripada perbuatan sihir.

Biar dalam keadaan apa sekalipun, sekiranya kegagalan untuk mendapat jodoh itu berpunca daripada sihir, seperti yang dijelaskan, orang yang terlibat, sama ada si perempuan atau kedua-dua ibu bapanya akan mengalami tanda-tanda berlakunya sihir, sama ada tanda tersebut berlaku sebahagian daripadanya ataupun terjadi secara menyeluruh. Syeikh Wahid Abdul Salam Bali membahagikan tanda-tanda seseorang itu terkena sihir kepada dua iaitu tanda ketika tidur dan tanda-tanda ketika dalam keadaan jaga.

Gangguan tidur sering berlaku ketika seseorang itu baru hendak terlena, juga ketika sedang tidur nyenyak. Mungkin seseorang terasa perutnya ditusuk dengan jarum, lembing atau benda-benda tajam, dilanggar kenderaan, menyebabkan darah kelihatan bertaburan, diterkam oleh makhluk yang menakutkan, yang biasanya berwarna hitam dan sebagainya. Gangguan yang menakutkan ini datang lagi sebaik-baik seseorang itu menyambung tidurnya. Pengalaman seperti ini menyebabkan seseorang itu rasa takut dan bimbang untuk menyambung tidur.

Mereka yang menghadapi masalah seperti ini sering bermimpi melihat makhluk ganjil, hitam, tinggi lagi menakutkan. Dikejar dan ditangkap oleh makhluk besar, lalu diselam dalam air dan tercungap-cungap sukar bernafas.  Mimpi melihat binatang yang menakutkan, seperti ular, kucing besar, anjing ataupun harimau. Makhluk itu kadang-kadang datang menghambat atau menggigit. Bermimpi berada di tempat asing lagi menggerunkan atau berada di kubur bersendirian, melihat dirinya sedang dikapankan dan ditanam dalam tanah, melihat mayat atau berjumpa dengan orang yang meninggal dunia.

Terasa seolah-olah berada di awang-awang, di tempat tinggi, di gunung ataupun di hutan lalu jatuh ke bumi. Bermimpi menangis ketika sedang tidur, lalu menjerit atau merengek, seolah-olah sedang sakit. Orang berkenaan tidak menyedari dia menangis, tetapi tangisannya dapat didengari oleh orang lain. Ketika terjaga dia menyedari yang dirinya benar-benar menangis, mengeluarkan air mata. Terasa seolah-olah digigit oleh sesuatu, di hujung jari tangan atau kaki atau pada bahagian badan. Bekas lebam biru dapat dilihat di celah paha atau betis. Terasa bisa, lenguh pada bahagian berkenaan.

Berlaku juga kejadian ganjil, seperti terdengar bunyi suis lampu dibuka, paip, suara, pintu, atau tingkap dibuka dan ditutup, suara orang berlari atau naik tangga dan sebagainya. Lampu rumah kadang-kadang menyala sendiri, paip mengeluarkan air kemudian tertutup. Terlihat kepulan asap dalam rumah seolah-olah ada benda yang terbakar.

Terbau bauan yang tiada punca seperti bau sampah, bangkai, darah, bau kemenyan atau bau wangi. Bau ini selalunya dapat dihidu hanya orang tertentu iaitu orang yang terlibat atau oleh semua mereka yang berada di tempat berkenaan. Rasa putus asa hidup. Timbul rasa gelisah, gembira bersangatan dan sedih saling berganti tanpa sebab yang jelas. Ada ketikanya timbul dorongan untuk membunuh diri, terutamanya ketika berada di bangunan tinggi.

Didatangi binatang dalam rumah seperti ular, lipan, kala jengking, ulat bulu, belalang atau jengkerik, langau, kupu-kupu besar kelihatan bertaburan di ruang tamu, dalam bilik atau tempat lain tanpa dapat dikesan punca dari mana binatang itu datang bukan setakat dalam rumah malah di luar seperti dalam perjalanan balik kampung atau sebagainya, seolah-olah diekori oleh binatang yang sama. Hakikatnya, tanda-tanda sihir itu banyak, yang tidak kesemuanya berlaku kepada diri seseorang yang terlibat.

Dalam keadaan tertentu tanda-tanda tersebut berbeza, bergantung kepada jenis sihir yang berlaku. Berdasarkan simptom-simptom di atas, juga lain-lain simptom yang tidak dijelaskan, seseorang itu dapat membezakan sama ada kejadian yang berlaku kepada dirinya itu seperti kesukaran untuk mendapatkan jodoh itu berlaku kerana sebab-sebab biasa ataupun akibat perbuatan sihir.

Mingguan Malaysia 1/8/04


Apakah Itu Sihir Pelalau / Penghalang ?

Sihir pelalau adalah sihir yang 'dihantar' dengan bertujuan untuk menghalang sesuatu kepada seseorang dengan niat yang jahat.

Tujuan sihir pelalau ini ialah untuk menghalang pesakit dari mencari rezeki samada di tempat kerja/pejabat atau premis perniagaan, rezeki dari segi perkahwinan atau rezeki dari segi maju dalam pembelanjaraan. Semua usaha untuk mencari rezeki-rezeki ini terhalang tanpa sebab yang munasabah.

Sihir pelalau sering dilakukan pada premis tempat kerja atau premis perniagaan yang boleh menyebabkan perniagaan ditutup kerana kerugian atau tidak ada pelanggan membeli atau berurusan. Ada juga sihir pelalau untuk membuat anak-anak lalai dalam pelajaran dan akhirnya tidak lulus peperiksaan atau berhenti sekolah. Terdapat sihir pelalau untuk menghalang pesakit untuk berkahwin atau bertunang.

Jenis-jenis atau Punca Penyakit


Ada 4 jenis sihir pelalau atau sihir penghalang:

1. Sihir pelalau perniagaan
2. Sihir pelalau perkerjaan
3. Sihir pelalau pembelanjaran
4. Sihir pelalau perkahwinan / pertunangan

Sihir pelalau ini biasanya menggunakan kaedah makhluk halus iaitu jin. Sihir pelalau perniagaan selalunya akan menggunakan makhluk halus untuk menjaga atau menghalang premis perniagaan dari pelangan-pelangan. Jin-jin ini lah yang diperintahkan oleh tuan punya bomoh untuk mengelirukan pelanggan yang hendak datang ketempat premis perniaggan itu.

Penulis sudah banyak merawati pesakit-pesakit yang mengalami sihir pelalau ini dan kebanyakkan dari mereka dihinggapi jin dalam tubuh dan otak mereka. Jin-jin ini lah yang mempengaruhi dan menguasai pemikiran dan perasaan persakit supaya berkelakuan seperti malas, bingung, emosi gelisah dan resah, pemikiran tidak fokus, mengantuk yang berlanjutan, sakit seluruh badan, panas baran, selalu marah-marah tanpa sebab (mood swing), dan dll.


Simptom A : Simptom penderitaan dan halangan untuk sihir pelalau perniagaan:

1. Pelanggan seolah-olah tidak nampak kedai atau premis perniagaan yang berkenaan, atau pun nampak, tetapi seperti tidak perasan.

2. Tempat perniagaan tidak ada daya tarikan.

3. Sihir pelalau yang dikenakan pada kedai makanan boleh menyebabkan makanan yang dihidangkan cepat basi atau rosak, biarpun baru dimasak.

4. Pelanggan sakit perut selepas makan dari kedai makanan itu.

5. Pesakit atau tuan punya perniagaan itu akan merasa tidak bersemangat untuk berniaga, mengantuk yang bersangatan, malas, rasa takut, gelisah dan sakit badan, tetapi semua penderitaan dan perasaan yang dialami akan hilang, pulih seperti sediakala sebaik-baik sahaja melangkah keluar dari kedai.


Simptom B : Simptom penderitaan dan halangan untuk sihir pelalau pekerjaan:

1. Pesakit rasa malas di pejabat, mengantuk yang berlarutan, resah dan gelisah di tempat kerja hingga tidak fokus dalam mengerjakan tugas-tugas di pejabat.

2. Malas dan tidak berminat untuk pergi kerja, kadang-kadang sesat tidak jumpa tempat kerja atau pejabat, fikiran runsing dan tidak dapat melaksanakan kerja dengan betul, dan akhir sekali terpaksa di buang kerja oleh majikan atau berhenti bekerja (resign).

3. Tidak disenangi oleh kawan-kawan di tempat kerja manakala pegawai atasan nya sering mencari kesalahan nya.

4. Produktiviti perkerjaan merosot dan pesakit mempunyai moral yang rendah untuk bekerja.


Simptom C : Simptom penderitaan dan halangan untuk sihir pelalau pembelajaran:

1. Anak-anak yang sedang belajar dengan tiba-tiba akan menjadi pelupa, tidak mahu pergi sekolah lalu berhenti, padahal sebelum ini dia merupakan pelajar yang baik dan rajin.

2. Anak-anak akan menjadi leka dan tidak fokus dalam pelajaran nya dan akhir sekali tidak mahu ke sekolah.

3. Mula malas melakukan ibadah seperti sembahyang fardhu, mengaji Quran, dan sebagai nya.

4. Anak itu lama kelamaan terdorong untuk melakukan kejahatan seperti mengambil dadah, minum arak, berzina, dll.


Simptom D  : Simptom penderitaan dan halangan untuk sihir pelalau penghalang perkahwinan:

1. Hilang keinginan atau terkunci nafsu untuk berkahwin yang membuatkan seseorang itu tidak bertemu jodoh selagi kekuatan sihir itu ada di dalam badan nya.

2. Sihir ini boleh membuat pesakit murung, tidak bermaya, pendiam dan menyendiri.

3. Menyebabkan halangan untuk meneruskan pertunangan atau perkahwinan. Contohnya pihak perempuan akan menolak peminangan pihak lelaki tanpa sebab, atau rombongan peminangan dihalang datang dengan berlakunya kemalangan, atau memutuskan tarikh pertunangan atau perkahwinan walaupun telah di persetujui terlebih dahulu. Semuanya berlaku tanpa sebab yang jelas, atau ada sebab tetapi terlalu kecil untuk dijadikan alasan.

4. Berlaku pertengkaran dan pergaduhan selepas saja bertunang atau berkahwin, sedangkan sebelum bertunang atau berkahwin, mereka samat sayang menyayangi.


Kita ikuti pula kisah penderita yang terkena sihir pelalau pada peranggan di bawah.

Derita Sihir Pelalau

Wanita berusia 44 tahun ini baru bertemu jodohnya dua tahun lalu. Bukan sengaja menolak jodoh atau ingin digelar andartu, namun guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur ini menjelaskan ada satu cerita pahit di sebalik kehidupannya.

“Setiap kali pulang ke kampung dan berkumpul dengan saudara-mara, soalan bila mahu kahwin pasti ditanyakan kepada saya.

“Saya memang tidak pernah berniat untuk menolak jodoh tetapi apakan daya, tidak ada seorang pun yang datang meminang saya, melainkan suami saya sekarang,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Jemilah ini.

Dengan usia yang semakin bertambah, naluri anak perempuan tunggal dalam lima beradik ini sudah lama terseksa. Semuanya dikatakan berpunca daripada sihir pelalau yang dititipkan kepadanya melalui rojak buah 22 tahun lalu.

Yang paling menyedihkan, sihir itu dihantar oleh rakan baiknya sendiri.

Murung

“Benda itu ada dalam diri saya sejak di bangku sekolah lagi. Pada mulanya saya fikir saya lemah semangat dan mudah tertekan, sebab itu saya pernah diserang histeria di sekolah beberapa kali.
“Rupa-rupanya saya ialah mangsa sihir. Saya sendiri tidak tahu tapi keluarga dan rakan-rakan rapat yang beritahu,” katanya.

Menurut Jemilah, semasa proses pengubatan, ustaz yang merawatnya mengatakan dia terkena sihir pelalau.

“Pada mulanya saya tidak tahu telah disihir, malah saya tidak percaya kerana seingat saya, saya tidak mempunyai musuh.

“Namun, selepas beberapa kali meracau dan menjadi pemurung, emak dan ayah tidak senang duduk dan mula mengikhtiarkan pelbagai cara untuk mengubati saya.

“Kebanyakan pengamal perubatan tradisional itu memberitahu saya disampuk benda ghaib, namun tidak dapat dipastikan apakah bendanya.

“Sejak itu, kehidupan saya berubah 180 darjah. Saya lebih suka menyendiri. Tidur malam saya tidak lena kerana rasa seperti ditindih dan sering bermimpi perkara yang mengerikan. Kulit saya mula rasa kering dan pedih.

“Mujur sihir itu tidak menjejaskan pelajaran saya. Kalau diingatkan semula, saya tidak tahu bagaimana saya boleh fokus dalam pelajaran sedangkan fikiran saya selalu runsing ketika itu,” kata graduan Universiti Jordan ini.

SIHIR pelalau dipercayai menyebabkan sesetengah wanita lambat mendapat jodoh. – Gambar hiasan
Mula terkena sihir pada tahun 1988 pada usia 22 tahun, jin yang dikatakan bersarang dalam tubuh Jemilah hanya keluar pada tahun 1999.

“Saya sudah puas berubat. Dengar saja ada orang yang pandai mengubat, saya pergi. Kadang-kadang sampai tak larat nak pergi berubat.

“Keadaan saya beransur pulih tetapi ‘benda ghaib’ itu masih ada dalam badan,” ceritanya.
“Sampailah pada tahun 1999, saya berubat dengan seorang ustaz di Rawang, Selangor. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa yang tidak pernah putus, dia dapat membebaskan saya daripada sihir tersebut,” imbas Jemilah.

Ditanya bagaimana dia ini mendapat tahu dikenakan sihir pelalau, Jemilah yang berasal dari Klang, Selangor memberitahu, apabila berubat dengan ustaz terbabit, dia pernah meracau.

“Saya tidak sedar apa yang berlaku, tetapi rakan dan emak yang menemankan saya berubat menceritakan semula apa yang terjadi.

“Sebenarnya, selepas ‘dipaksa’ oleh ustaz itu, jin tersebut berterus terang. Siapa yang menghantarnya, melalui cara apa, mengapa dan apa tujuannya,” ujar Jemilah.
Dari situ baru Jemilah tahu segala-galanya.

“Jin yang memasuki badan saya dihantar oleh rakan baik saya. Namanya tidak perlulah saya sebutkan.

“Menurut mereka yang menyaksikan pengubatan itu, jin berkenaan mengaku dia mengacau saya kerana tiga sebab.

“Pertama kerana saya selalu cepat menjawab apabila cikgu bertanya soalan di dalam kelas.
“Kedua, kerana sifat saya yang periang dan disenangi oleh guru dan rakan. Ketiga, kerana saya aktif dalam persatuan dan sering mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.

“Tujuan saya disihir supaya hubungan saya dingin dengan semua orang yang rapat dengan saya.
“Tidak hairanlah, ramai yang mengatakan muka saya seperti orang kebingungan, mudah marah dan cepat tersentuh,” jelas Jemilah yang baru dua tahun bergelar isteri kepada seorang anak murid ustaz yang mengubatinya dahulu.

Muntah darah

Ceritanya lagi, saat jin itu dikeluarkan, dia memuntahkan semula rojak buah yang dimakan 22 tahun lalu yang diberikan oleh rakannya itu.

ROJAK buah yang dimakan 22 tahun lalu dimuntahkan semula oleh Jemilah. 
Mendalami apa itu sihir pelalau, kata Jemilah, sihir jenis itu digunakan untuk menghalang seseorang terutama perempuan daripada dipinang atau dikahwini.

“Mereka yang terkena sihir pelalau dikatakan lambat menerima jodoh kerana apabila ada lelaki yang ingin berdampingan dengannya, mereka akan nampak muka pesakit pucat seperti mayat ataupun tidak berseri,” tambahnya yang bersyukur kerana keluarga memahami masalahnya dan tidak pernah memaksanya berkahwin.

Walaupun pada mata kasar Jemilah boleh dianggap sudah sembuh dan jauh daripada cengkaman pelalau, dia masih dapat merasakan ada benda lain yang menumpang di tubuhnya.

“Ada masanya saya dapat merasakan saya sedang bertarung dengan makhluk lain dalam diri saya. Saya berharap ia cuma ilusi kerana saya sudah tidak sanggup menanggung seksa disihir lagi.

“Bagi wanita di luar sana, jika anda seorang periang dan keletah anda sering menarik perhatian ramai, seeloknya dikurangkan. Takut ada yang busuk hati,” nasihatnya sebelum meminta diri petang itu.

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


Kesimpulan

Begitulah bahayanya sihir pelalau ini. Berhati-hatilah ketika berurusan dengan manusia. Seharusnya sebagai umat Nabi Muhammad, kita perlu berada dalam keadaan siap sedia bagi menentang dan mempertahankan serangan sihir oleh manusia-manusia yang bertopengkan syaitan. Beruntunglah kita sebagai orang Islam kerana terlalu banyak amalan sunnah yang baginda Rasulullah telah ajarkan kepada para sahabat sebagai benteng diri kita dari serangan ghaib seperti sihir pelalau dan lain-lain sihir.

Gilaplah keimanan kita dengan amalan sunnah yang telah ditiggalkan secara istiqamah. Kita juga perlu belajar menerima Qada' dan Qadar Allah. Percayalah bahawa setiap apa sahaja yang akan dan sedang berlaku ini adalah dengan izin Allah.

Semoga post ini memberi manfaat kepada anda.Sila kongsikan post in sekiranya bermanfaat. Terima kasih.

Sekiranya anda atau ahli keluarga anda ingin mendapatkan perkhidmatan rawatan Islam, sila hubungi saya dan team untuk kita sama-sama ikhtiarkan. Kita hanya ikhtiar, kesembuhan tetap milik Allah.

Sekian. Wasallam.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama