Seni Silat Tak Ikut Syariat Islam ? Pengalaman Merawat...

Kredit photo : https://paragram.id



Ilmu persilatan memang tidak dinafikan kehebatannya.Silat merupakan ilmu seni mempertahankan diri dari bangsa melayu yang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Lihat sahaja sejarah 5 hulu balang Tanah Melaka yang hebat dalam seni silat sehingga dinobatkan sebagai pahlawan tersohor sehingga mempertahankan Tanah Melaka dari dijajah oleh musuh oleh pihak istana Melaka suatu ketika dahulu.

Seni silat adalah seni bela diri dari Nusantara meliputi Malaysia, Indonesia, Thailand, Borneo dan keseluruhan negara-negara Asia Tenggara. Seni ini mula diketengahkan dan dipelajari oleh banyak negara barat dan ia semakin menular. Kehebatan seni silat harus diwarisi oleh bangsa melayu sendiri agar ia tidak lupus ditelan zaman.

Alangkah ruginya jika anak bangsa kita memandang remeh seni mempertahankan diri ini sehingga rasa lebih bangga dengan seni bela diri yang lain seperti Taek-Wan-Do, Wushu, Judo, Karate dan sebagainya.

Siapa lagi yang harus mewarisi silat kelak ?

Seni Silat Tak Ikut Syariat Islam ?

Tidak dinafikan silat merupakan salah satu seni bela diri yang ber identitikan jurus dan bunga pada gayanya tersendiri serta unik. Tidak dinafikan juga terdapat seni silat yang tidak mengikuti syariat Islam sehingga membenarkan perkara khurafat dan syirik dalam amalan mereka.

Pihak JAKIM telah mengeluarkan Garis Panduan Silat Menurut Islam dan saya berpandangan usaha ini sebagai satu jihad untuk memberi kefahaman kepada anak remaja dan belia zaman kini agar faham dan akur dengan kehendak Islam.

Saya tidak nafikan terdapat pelbagai pertubuhan silat yang mengaku kononnya silat mereka adalah yang mengikuti syariat walhal amalan persilatan mereka telah melanggar syariat Islam itu sendiri. Saya tidak berminat untuk memberitahu silat apa. Cukuplah garis panduan ini dihebahkan untuk kefahaman bersama demi menjaga kedaulatan Islam.

>>>> Garis Panduan Silat Menurut Islam (file format PDF) - DOWNLOAD DI SINI !

Terdapat 10 garis panduan secara keseluruhan yang diterangkan di dalam garis panduan tersebut. Berikut adalah perkara penting sebagai garis panduan silat dalam file PDF di atas.

1) Asal usul silat
2) Syarat-syarat silat
3) Guru silat
4) Ikrar sumpah dan taat setia
5) Pantang larang
6) Adab
7) Gerak langkah
8) Amalan dalam silat
9) Pengijazahan
10) Matlamat silat

Secara amnya, dalam ilmu persilatan terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada ketika hendak masuk silat, setelah masuk atau selepas menerima ijazah. Diantara syarat-syarat yang popular adalah seperti berikut :

(a) Menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih, bayaran pengeras dan sebagainya.
(b) mandi dengan air mandian tertentu sebagai lambang membersihkan kotoran zahir dan batin.
(c) Tidak boleh meninggalkan sembahyang
(d) Tidak boleh banyak bertanya ketika guru sedang  mengajar atau mempersoalkan sebarang tindakan guru.
(e) melakukan gerak silat membuka dan menutup gelanggang setiap kali memula atau menamatkan latihan silat.

Adakah syarat-syarat ini menepati syariat Islam ? Anda cari jawapannya sendiri !


Pengalaman Merawat Pesakit Bekas Silat Seru

Baru-baru ini saya telah merawat seorang pesakit yang mengadu masalah sering sakit kepala, urat tegang dari leher ke kepala seperti ditarik, tidur tidak lena, mimpi yang menakutkan dan sebagainya.

Seperti biasa, prosedur kami di Darul Muallij, kami diajar agar melakukan analisa kepada pesakit terlebih dahulu. Pesakit memberitahu pernah mendalami silat seru, silat harimau, ilmu nafas dan sebagainya. Namun pesakit telah meninggalkan semua amalan begitu sahaja. Amalan yang sepatutnya dilakukan dihentikan kerana tersedar ia adalah salah baginya.

Selepas silat seru ditinggalkan, pesakit sering merasa sakit seperti disihir pada pandangannya. Sejurus selesai saya melakukan soal selidik dan analisa, terapi rukyah pun dijalankan.

Ketika dirukyah, pesakit dikuasai jin yang menempel di belakang pesakit. Wallahua'lam. Jin mula mengeluarkan bunga silat seperti gaya ingin menyerang saya. Tetapi alhamdulillah, jin itu masih boleh dibawa berbincang apabila saya menggunakan ayat psikologi untuk melembutkan jin tersebut. Tujuan utama saya hanya untuk berbincang supaya jin keluar dari tubuh pesakit dan berdakwah kepadanya.

Saya bertanya, kenapa kamu ganggu pesakit ini ? Jin itu menjawab kerana pesakit telah meninggalkan amalan persilatan yang telah diajar kepadanya. Saya beristighfar dalam hati. MasyaAllah, hanya kerana dendam jin ini terhadap pesakit kerana tidak meneruskan amalan dari ilmu persilatan yang telah dipelajari sebelum ini menjadikan pesakit menderita kesakitan.

Dipendekkan cerita setelah melalui beberapa sesi dialog, jin kafir itu bersetuju untuk masuk Islam dengan mengucapkan kalimah syahadah dan berjanji untuk keluar dan tidak akan mengganggu pesakit ini lagi. Jin itu juga telah setuju untuk pergi ke perkampungan jin Islam berdekatan dengan masjid di kawasan ini setelah diberikan beberapa tausiah kepada jin tersebut. Wallahu'alam.

Sejurus jin itu keluar dari tubuh pesakit, pesakit rebah dan terbaring longlai. Selepas dikejutkan, pesakit kembali bangun dan sedar seperti sedia kala. Alhamdulillah, apabila ditanya bagaimana keadaan badan sekarang. Pesakit membalas badannya terasa ringan dan sakit dibahagian leher dan  kepala telah hilang.

Selesai sahaja proses rawatan, pesakit diberikan amalan susulan seperti mandian ais limau selama 7 hari untuk proses penyembuhan dalaman. Semoga pesakit mendapat kesembuhan dari Allah. Aaaminnn.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan untuk perkongsian kali ini, suka saya ingatkan diri saya dan anda agar carilah ilmu apa juapun yang berlandaskan syariat Islam. Tak salah untuk kita mempelajari seni bela diri tetapi biarlah yang mengikut acuan Islam. Kebanyakan golongan anak muda kini hanya ingin belajar seni persilatan dengan cara mudah dan mengambil masa jangka pendek bagi mendapat ilmu kekebalan, kekuatan, kuasa dan sebagainya. Walhal, setiap amalan tu nanti sebenarnya akan didampingi oleh makhluk jin demi menurut perintah tuannya dalam keadaan mereka tidak sedar dan paling malang akan memudaratkan diri sendiri.

Dengan ikrar dan ikatan yang telah dimateri ketika mempelajari silat tanpa disedari menjadikan ia seolah-olah satu MOU yang kononnya sukar perjanjian ini diputuskan. Semakin setia dan istiqamah anda melakukan semua amalan-amalan yang tertentu, zikir-zikir tertentu dan sebagainya, semakin hebatlah anda. Walhal, semua kehebatan dibantu oleh bangsa jin dengan keizinan Allah.

Jadi kepada anak muda sekalian...berhati-hatilah mempelajari seni persilatan pada zaman kini. Jangan biarkan diri kita terjerumus ke dalam kemaksiatan dalam kita tidak sedar. Buat kajian terlebih dahulu tentang apakah amalan seni silat yang ingin dipelajari serta selidiki juga cara hidup guru silat tersebut sebagai usaha dan tawakkal kita untuk mempelajari seni bela diri ini. Semoga mendapat keberkatan ilmu yang bakal anda pelajari. Sekian.

Semoga bermanfaat untuk anda dan insyaa Allah jumpa lagi pada post yang lain. Terima kasih.

4 Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

  1. bukan semua silat begitu....kita kene tengok dari mana perguruan silat yang dia belajar....kadang klu di belah Jawa mungkin ada juga yang menggunakan jin dan sebagainya...jgn disebabkan satu jenis silat guna jin, semua jenis silat guna jin....baguslah juga ade pdf yg diberikan ini....terdapat beratus jenis silat di Nusantara...

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama