Konsep Sebenar Perawatan Dalam Islam Yang Dibenarkan Syarak

Gambar saya selepas Kursus Rawatan Islam Darul Muallij di Terengganu



Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah kerana masih membenarkan saya untuk berkongsi lagi maklumat di blog ini. Tanpa keizinan-Nya tak mungkin saya dapat berkongsi di sini.

Sebagai seorang perawat atau pengamal perubatan Islam, kita mesti tidak lari dari landasan yang syarak dan ia mestilah menepati Al-Quran dan Sunnah.

Baru-baru ini saya telah menghadiri dari taklimat dari KKM (Bahagian PT&K) berkenaan Akta 775 pada 6 April 2019 di Wisma MPM, Kuala Lumpur.

Taklimat ini bertujuan untuk menjelaskan kepada pengamal rawatan Tradisional dan Kontemporari di Malaysia tentang garis panduan yang dibenarkan oleh KKM sekiranya telah menjadi pengamal. Taklimat ini sebagai syarat asas kepada perawat atau pengamal rawatan-rawatan tertentu untuk diiktiraf bahawa perawat berdaftar di KKM.

Saya akan kongsikan pada post seterusnya tentang butir-butir maklumat dalam taklimat Akta 775 kelak. InsyaAllah.

Konsep Sebenar Perawatan Dalam Islam Yang Dibenarkan Syarak dan Badan Berwajib



Kalau kita katakan perawatan Islam, ia mesti TAK BOLEH lari dari Syarak dan menepati Al-Quran dan As-Sunnah.

Saya sebagai perawat yang menggunakan kaedah rawatan Islam, garis panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perubatan Tradisional dan Kontempori Kementerian Kesihatan Malaysia seperti gambar di atas perlu diikuti sebagai langkah menjaga kemaslahatan agama dan ketenteram akiqah agar tidak lari dari landasan Islam.

Saya cuba ulang siaran penulisan dari gambar di atas atas faktor kabur.

Perkara Haram Dalam Amalan Perubatan Tradisional

Amalan perbomohan dalam perubatan tradisional sering kali digunakan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Tetapi adakah amalan itu dibenarkan Syarak dan menepati Al-Quran dan As-Sunnah tidak pernah dipersoalkan.

Berikut adalah 10 aktiviti perbomohan atau perubatan tradisional yang tidak mengikut syariat Islam :


  1. Pengamal menggunakan pertolongan jin (termasuk jin Islam) dalam rawatan perubatan.
  2. Pengamal menggunakan amalan ilmu sihir, ilmu hitam, silap mata, tukang nujum dan ramalan tapak tangan.
  3. Pengamal mengaitkan sesuatu pengeras dengan suatu akibat.
  4. Pengamal melakukan perkara syirik seperti sembelih binatang, sembah pantai, buang ancak dan lain-lain.
  5. Pengamal menggunakan bacaan jampi yang tidak difahami.
  6. Pengamal menggunakan tangkal dan azimat yang berupa rajah-rajah atau bercampur aduk dengan ayat Al-Quran.
  7. Pengamal membaca ayat Al-Quran secara terbalik.
  8. Pengamal memberikan syarat kepada pesakit yang bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam seperti pesakit wanita perlu bersendirian dengan pengamal tanpa ditemani oleh sesiapa.
  9. Pengamal mengaitkan amalan perubatannya bersumber daripada Nabi Muhammad (SAW) dan Al-Quran tanpa bukti kukuh.
  10. Pengamal menggunakan sihir atau silap mata dalam melakukan pembedahan tanpa rasa sakit walaupun tidak menggunakan ubatan bius (Cth : Bedah Batin)




Berkenaan Bedah Batin, apa yang perlu anda tahu ?

1) Pengamal mendakwa boleh merawat pelbagai jenis penyakit (seperti masalah jantung, barah otak, barah hati dan lain-lain penyakit serius) dengan pembedahan yang tidak menyakitkan tanpa menggunakan ubat bius (ubat pelali)

2) Amalan ini HARAM dilakukan kerana pengamal menggunakan ilmu hitam, silap mata, perantaraan jin atau syaitan atau sihir semasa melaksanakan pembedahan.

3) Pengguna juga ditipu dengan janji manis keberkesanan rawatan disamping bayaran yang mahal.

4) Tiada bukti kukuh yang mendakwa amalan bedah batin ni berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.


Penekanan oleh pihak KKM kepada pengamal-pengamal rawatan kini, membuka lebih ruang kepada lebih ramai lagi perawat terlatih dan menepati syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sekian dulu perkongsian saya di blog ini. Semoga jumpa pada post yang lain. InsyaAllah.



Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama