Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada anda sebab sudi singgah sini.
Merawat pesakit sihir,saka dan lain-lain pesakit fizikal adalah salah satu pilihan saya untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat saya. Bidang ini menjadi minat saya sejak berumur 38 tahun lagi. Niat utama saya untuk membantu orang Islam khususnya dari gangguan jin dan syaitan laknatullah yang sentiasa ingin menyesatkan mukmin yang beriman agar masuk ke dalam api neraka. Al-maklumlah banyak penyakit fizikal dan rohani terganggu disebabkan kerja-kerja syaitan dari kalangan jin dan kalangan manusia. Saya mohon semoga Allah memudahkan dan memberkati usaha saya ini. Anda tolong doakan juga yer.
MERAWAT PESAKIT DI KANCHONG DARAT, BANTING
Saya sebenarnya baru sahaja merawat salah seorang pesakit di Kanchong Darat, Banting. Sampai sahaja di rumah, terus mandi dan buka laptop yang terperam agak lama ni untuk menulis post dalam blog ni. Aduhh..lamanya tak berblog kata benakku.Berbalik kepada rawatan tadi, saya ikhtiar merawat 2 orang pesakit serentak iaitu mak dan anak yang terkena sihir dan mungkin gangguan saka.
Simptom penyakit kedua-dua beranak ini sama jer iaitu bengkak tangan dan kaki apabila terkena kesejukan. Mudah sangat terkena bengkak. Sehinggakan ketika bercuti di Cameron Highland pun boleh jadi bengkak tangan dan kaki disebabkan cuaca sejuk di sana.
Tanda-tanda disihir pada si anak ini seperti sakit perut lebih seminggu, muntah-muntah, sakit kepala selepas waktu Asar ke atas. Pesakit juga kerap mimpi ternampak ular berbisa dan senario kena kejar dengan kelibat seorang lelaki. Tetapi pesakit tak pasti siapa lelaki tu.
Kaedah biasa dilakukan seperti yang telah dipelajari iaitu melakukan analisa pesakit terlebih dahulu sebelum memulakan rawatan rukyah. Rukyah adalah teknik ampuh untuk ikhtiar kesembuhan yang diizinkan serta diredhoi Allah. Tetapi ia perlulah mengikut landasan dan syariat Islam seperti menjaga ikhtilat antara perawat dan jantina yang berlainan. Senang cerita jaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Alhamdulillah kedua-dua pesakit sembuh dengan izin Allah. Semua simptom sakit sebelum dirawat dengan izin Allah telah sembuh dan pesakit telah diberikan amalan susulan mandian ais selama 7 hari. Wallahua'lam.
5 CABARAN SEBAGAI PERAWAT ISLAM
Sebagai salah seorang juruterapi ataupun perawat rawatan Islam, suka saya ingin berkongsi kepada anda 5 cabaran menceburi bidang rawatan ini. Ini hanyalah pandangan saya berdasarkan pengalaman singkat saya dalam bidang ini. Lain perawat, lain pandangannya. Terpulang kepada anda ingin menerimanya ataupun tidak.Cabaran #1 - Jaminan Sembuh
Persoalan jaminan sembuh yang ditanya oleh pesakit menyebabkan saya sebagai perawat perlu terangkan kepada pesakit konsep rawatan Islam yang sebenar. Dalam Islam setiap ikhtiar yang kita lakukan di dunia ini tidak menjamin kesembuhan kecuali dengan izin Allah. Sebagai contoh makan ubat Panadol (teriklan pulak jenama ubat ni) untuk sakit kepala. Adakah kita yakin ubat panadol yang menyembuhkan atau Allah yang menyembuhkan ? Sebagai pengikut mazhab ahli sunnah wal jamaah, kita wajib yakin bahawa yang menyembuhkan hanyalah Allah. Ubat hanyalah asbab untuk kita sembuh. Hakikatnya yang menyembuhkan setiap penyakit hanyalah Allah. Ada juga sebahagian mereka yang sakit kepala makan panadol tapi tak juga sembuh-sembuh. Setuju tak ?
Cabaran #2 - Gangguan Musuh Allah
Perawat lebih banyak akan diuji dengan gangguan daripada syaitan dikalangan jin dan syaitan dikalangan manusia. Sebelum saya menceburi bidang ini sebagai mujahadah saya sebagai seorang Islam dan jalan untuk saya lebih dekat dengan Allah, saya tahu akan cabaran yang bakal dihadapi oleh saya. Jika saya berani buat keputusan ini, maka saya perlu berani menghadapi serangan musuh Allah ni. Macam-macam ujian dihantar dalam hidup saya disebabkan sikap dendam, marah, dengki dan sebagainya setelah merawat seseorang pesakit. Bukan saya sahaja yang terkena serangan malahan ahli keluarga juga turut diserang gangguan dari musuh Allah ini. Dah semestinnya inilah cabaran yang saya perlu tempuh demi mujahadah saya dalam bidang ini. InsyaAllah. Anda doakan saya juga yer! Terima kasih.
Cabaran #3 - Akidah di Uji
Inilah cabaran paling bahaya dikalangan perawat Islam. Adakala usaha merawat TIDAK memberi kesembuhan kepada pesakit dan adakala pesakit sembuh dari penyakit. Akan datang bisikan dalam hati, yang menyembuhkan adalah "usaha aku" bakal terlintas dalam hati. Jika anda berada pada tahap ini, sebagai perawat kita perlu perbanyakkan amalan istighfar sebanyak mungkin agar akidah tidak jauh tersasar. Inilah cabaran yang saya khuatir dari setiap cabaran lain. Penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah adalah sangat penting sebagai seorang perawat Islam. Amalan benteng diri perlu dilakukan secara istiqamah dan mantap agar dihindarkan dari bisikan syaitan dalam hati yang boleh memesongan akidah. Nauzubillahi min zaliq.
Cabaran #4 - Keikhlasan di Uji
Betulkan niat adalah langkah pertama jika keikhlasan kita diuji. Cabaran keikhlasan akan wujud apabila masa berharga kita bersama keluarga terpaksa digunakan untuk membantu pesakit. Tambahan lagi jika kita kekurangan wang pada masa tu, akan mengurangkan nilai keikhlasan kita untuk membantu pesakit. Alhamdulillah, dalam prinsip Pusat Rawatan Islam Darul Muallij kami diajar agar tidak menjadikan bidang ini sebagai punca pendapatan utama. Perawat mesti mempunyai kekukuhan kewangan dan tidak bergantung sepenuhnya rawatan Islam sebagai punca pendapatan buat permulaan. Cabaran ini perlu diatasi secepat mungkin sekiranya anda mahu berkecimpung dalam bidang rawatan Islam. Nilai keikhlasan seseorang hanya perawat sendiri yang boleh tahu kerana ia terletak pada hati masing-masing. Inilah cabaran ke empat sebagai perawat Islam.
Cabaran #5 - Amalan Selepas Rawatan
Cabaran terakhir yang saya boleh kongsikan di sini ialah dari segi amalan selepas rawatan yang disyorkan kepada pesakit. Kebiasannya selepas rawatan, saya akan berikan beberapa amalan selepas rawatan untuk benteng diri pesakit. Pada tahap ini, sebagai perawat kita perlu banyak bersabar dengan cabaran ini dan berusaha memberi penerangan tentang kepentingan melakukan amalan benteng diri selepas rawatan. Tiada apa yang boleh dilakukan oleh perawat sekiranya pesakit tidak mahu istiqamah dengan amalan benteng diri. Sampai satu tahap saya hanya mampu berdoa kepada Allah agar pesakit dapat istiqamah dengan amalan yang disyorkan agar terus sihat walafiat. Mana mungkin mahu sihat sekiranya amalan fardhu seperti solat, zakat dan lain-lain amalan sunnah nabi yang lain tidak mahu diamalkan oleh pesakit. Inilah benteng utama yang perlu dilakukan sebagai seorang penganut agama Islam. Solat adalah tiang agama. Inilah benteng utama kita selain amalan tadabbur Al-Quran, sedeqah dan amalan-amalan baik yang lain.
Begitulah seadanya perkongsian saya tentang 5 cabaran sebagai perawat Islam.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya dapat saya rumuskan bahawa setiap apa yang kita lakukan pasti ada cabaran tersendiri. Ejen affiliate ada cabaran tersendiri, pemilik bisnes ada cabaran tersendiri, dropshipper juga ada cabaran tersendiri termasuklah bidang rawatan Islam juga ada cabarannya tersendiri. Kita perlu pandai menguruskan setiap cabaran yang dihadapi berpandukan syarak. Apa yang penting ialah setiap cabaran yang ditempuhi tidak menjauhkan kita dari melakukan perintah Allah dan yang paling penting tidak mensyirikkan Allah.Semoga kita semua dijauhkan menjadi hamba Allah yang kufur nikmat. InsyaAllah. Aamiin.
Saya berharap artikel kali ini memberi manfaat yer. Jumpa lagi. Insya Allah.