Orang Melayu kebanyakannya begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah Melayu yang menyatakan " Biar Mati Anak Jangan Mati Adat " . Pepatah ini menunjukkan betapa kuat dan kukuhnya pegangan orang-orang Melayu tentang adat istiadat mereka.
Persoalannya golongan manakah yang mengada dan memperkenalkan adat istiadat dan perkara Khurafat tersebut dan sejak bilakah mulanya adat istiadat dan perkara Khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu ?.
Persoalan yang yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu itu bertepatan dan selari dengan Hukum Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak.
Amalan Khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat Melayu moden sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu.
Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu antara contohnya ialah apabila ada majlis perkahwinan dengan upacara persandingan yang seolah-olah satu kewajipan, sedangkan persandingan itu merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita.
Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari ( makan serabai ), kenduri pecah perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu ruh berpisah dengan waris dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki dalam jemaahnya sebagai ahli kubur.
Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal ehwal adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat yang menyeleweng dan bertentangan dengan Syariat Islam ini adalah terdiri daripada Tok Bomoh, Tok Pawang, Mak Bidan, tok dukun, tok guru latihan pertahanan diri, mak andam dan seumpamanya. Peranan mereka dalam menghidupkan adat istiadat dan perkara Khurafat ini bergantung kepada Bidang masing-masing.
Antara Contoh-contoh adat istiadat dan perkara Khurafat yang sering dilakukan oleh orang-orang Melayu sampai sekarang antaranya ialah seperti :-
a. Mendirikan Rumah Baru.
Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.
Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Tok Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada diganggu oleh Jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu Jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.
b. Upacara Menurunkan perahu / kapal yang baru ke laut.
Upacara ini di lakukan oleh Tok Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya.
c. Kenduri tolak bala.
Kenduri ini di lakukan setahun sekali di tengah padang di sesebuah kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Tok imam di jemput untuk membaca doa dan Tok Bomoh pula di jemput untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana pada tahun tersebut.
Kenduri tolak bala sebenarnya boleh di buat pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua dengan syarat :-
i. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut
ii. Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu.
d. Upacara Persandingan.
Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita. Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Tok Bomoh sebagai pengiringnya.
Kedua-dua mempelai ini di arak dan di sanjung serta di puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.
e. Mengandung / Kelahiran bayi
Sebelum ibu melahirkan anak, Mak Bidan di jemput untuk mengadakan upacara Lenggang perut . Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan menyediakan kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning serta pulut kuning dan putih. Duri di letakkan di bawah rumah supaya jangan di ganggu oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas bersalin pula adalah selama 45 hari.
f. Adat meninggal dunia dan selepas kematian.
Semasa seseorang meninggal dunia Tok Bomoh akan meletakkan gunting di atas mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat kekubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian, diadakan kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan serabai ( sejenis kuih ). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari waris. Kenduri 100 hari sebagai kenduri turun batu nisan dan ruh si mati telah masuk ke dalam kumpulannya di alam kubur.
Sebenarnya memperbanyakkan sedekah walau apa cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah itu untuk disampaikan kepada aruah-aruah orang yang telah mati daripada orang-orang Islam oleh waris-warisnya yang masih hidup, adalah memang menjadi amalan kebanyakan ulama-ulama mazhab khasnya di Asia Tenggara daripada dahulu hinggalah sekarang.
g. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri.
Upacara ini biasanya di lakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang juga merupakan seorang Tok Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan semasa berlatih.
Antara alat dan upacara yang dilakukan ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam dimana darah ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang. Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian pertahanan diri. Selepas itu Tok Bomoh tersebut akan menyeru namanama panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya.
Akhir sekali Tok Bomoh tersebut akan mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang latihan pertahanan dirinya.
Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi atau di padang-padang atau ketika hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu yang kononnya menunggu tempat tersebut dengan menyebut ´ Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu bahasa, nak tumpang kencing " atau " Minta ampun tok nenek anak cucu nak tumpang lalu ". Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut.
Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran daripada pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat istiadat orang-orang Asli yang memuja roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu, yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan Islam.
Wallahua'lam