Assalamualaikum kepada anda kerana sudi menjengah blog saya. Sekarang saya ingin kongsikan kepada anda tentang apakah faktor gangguan jin. Sekiranya kita kenal apakah faktor gangguan ini maka mudahlah untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga selepas ini.
Ramai dikalangan orang awam yang terlepas pandang tentang gangguan jin. Kadang-kadang kita ada perasaan kepada sesuatu yang bukan kehendak kita. Kita tidak mahu melakukan itu dan ini tetapi tanpa sedar kita tetap melakukannya.
Sebagai contoh anda tiba-tiba tersedar kepada sesuatu yang anda sangat marah walhal anda tak sepatutnya marah sampai sedemikian rupa. Marah yang bersangatan. Anda kenal diri anda macam mana tetapi semuanya berlaku secara tiba-tiba sehinggakan rakan baik anda sedar akan perubahan mendadak anda.
Jadi di sini saya kongsikan antara faktor gangguan jin yang seharusnya kita mengambil langkah berjaga-jaga.
8 Faktor Gangguan Jin Yang Harus Kita Waspada
Sebenarnya 8 faktor ini adalah sebahagian sahaja walaupun sebenarnya terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan gangguan jin (yang berpunca dari sihir, saka, lintasan atau 'ain) yang tidak dapat dihilangkan sepenuhnya.
Berikut adalah faktor-faktor tersebut..
1) Setiap Penyakit / Masalah adalah ujian - Sebagai orang beriman kita wajib percaya bahawa dunia ini adalah tempat ujian sebelum kita berhijrah ke akhirat yang kekal abadi. Ia termaktub dalam rukun Iman kita iaitu percaya kepada qada' dan qadar. Penyakit / masalah yang dialami merupakan ujian, hikmah pengajaran, kifarah (pengampunan dosa-dosa lampau) dan peningkatan darjat ke atas diri pesakit dari Allah SWT selagi pesakit terus beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.
2) Tak Yakin sepenuhnya pada Allah - Allah Maha Berkehendak dan tiada satu makhluk pun yang dapat menghalangnya. Sebagai orang Islam kita hendaklah serahkan sepenuhnya semua perkara kepada Allah SWT. Serahkan bulat-bulat kepada Allah SWT; Tuhan Maha Penyembuh segala penyakit dan masalah. Setiap apa jua jenis ujian yang kita hadapi adalah suratan takdir yang telah ditentukan-Nya. Namun ikhtiar dengan penuh yakin bahawa Allah akan menyembuhkan dan menyelesaikan segala penyakit dan masalah.
3) Tidak ada keserasian di antara ilmu perawat dengan penyakit yang dirawat - Mungkin ilmu perawat tidak mencukupi untuk menentang kekuatan jin disebabkan perawat baru. Perawat baru belajar kursus satu hari/ separuh hari terus ingin merawat.
4) Perawat mengamalkan amalan perubatan yang salah - Ada sesetangah perawat yang mengamalkan perubatan yang berdampingan dengan jin (khadam) sama ada disedari ataupun tidak disedari oleh perawat. Hanya dengan mengamalkan beberapa amalan atau kaedah khusus, perawat berasa yakin bahawa amalan itu boleh merawat pesakit. Walhal amalan tersebut disertai pendamping tanpa disedari.
5) Diri pesakit dan/atau Rumah pesakit yang masih didiami oleh jin - Tanpa sedar kehadiran unsur-unsur yang disukai jin seperti tangkal, azimat, rajah, barang-barang lama atau baru seperti keris, kacip, batu, kayu, buluh, rotan, apa-apa logam (besi, tembaga, perak atau emas), kain dan sebagainya yang berunsur syirik, khurafat dan haram atau aktiviti ahli isi rumah yang mungkar.
6) Rumah pesakit merupakan istana/ rumah/ sarang tempat tinggal jin sejak sebelum didirikan rumah lagi - Mungkin sesebuah rumah yang dibina pada asalnya merupakan bekas kawasan hutan, bukit, paya, kolam, lombong dan sebagainya merupakan istana/ sarang tempat tinggal jin.
7) Pesakit suka / sering pergi ke kawasan jin - Ada juga segilintir pesakit yang tidak sedar bahawa minat ataupun hobi mereka yang sering / suka ke kawasan jin seperti kawasan hutan dan air terjun. Tempat lain yang sering dikunjungi seperti kedai makan yang menggunakan pelaris jin (tangkal, azimat, ilmu sesat dan sebagainya), tempat kotor, pasar dan sebagainya.
8) Iqtikad, Niat dan Perbuatan yang menyimpang - Perawat dan/atau Pesakit mempunyai niat, iqtikad yang salah sehingga perbuatannya menyalahi tuntuan syariat Islam secara sedar ataupun tidak sedar. Ini juga boleh mengundang gangguan jin yang sepatutnya kita jauhi.
Demikianlah perkongsian saya pada post kali ini. Semoga dengan cara mengenali faktor-faktor gangguan jin ini, kita dapat ambil langkah berwaspada dan berjaga-jaga agar terhindar sebarang bentuk gangguan jin laknatullah.
Semoga post ini memberi manfaat kepada anda. Sampai jumpa lagi di lain post. InsyaAllah. Sekian.