Syair Terakhir Al-Imam Syafi'e Bertajuk Elaika (Buat Mu)


Salam hormat..Saya sebenarnya dah lama tercari-cari lagu nasyid bertajuk Elaika yang didendangkan oleh Mohammed Obaid. Pertama kali saya mendengar lagu ini di corong radio saluran IKIM suatu masa dulu hati saya terus rasa tenang. Alhamdulillah. 

Sebenarnya saya tak faham apa pun maksud lagu tu. Cuma saya rasa tenang hati mendengarnya.

Mungkin secara kebetulan saya cuma nak search di Google tentang cabaran seorang penulis sebenarnya. Tengah search, jumpa satu blog yang menulis tentang lagu nasyid ni. Saya terus baca perkongsian maksud lagu ni. Bila baca maksud lagu ni rupanya seperti satu syair luahan perasaan seorang hamba yang zuhud kepada Allah. 

Saya search lagi...ohh rupanya lirik lagu ini adalah dari titipan doa terakhir Imam Syafi'e (R.A) sebelum beliau meninggal dunia. Masyaa Allah.

Saya cari video di Youtube, manalah tau kot-kot ada yang berkongsi video beserta maksud lirik Elaika nyanyian Mohammed Obaid. Rupanya ada. Rasa gembira betul hati saya. Saya terus kongsikan pada post saya yang ini.

Usaha Anak Murid Kesayangan Imam Syafie iaitu Imam Muzani

Syair terakhir Al-Imam Syafi'e ini dirakamkan oleh anak murid kesayangannya iaitu Imam Muzani.

Berikut adalah riwayat syair ini...

Di saat akhir kehidupan Imam Syafi'e, murid kesayangan beliau Imam Muzani masuk menziarahi gurunya.

Dengan penuh prihatin, syahdu dan sayu Imam Muzani bertanyakan khabar kesihatan gurunya.

Imam Syafi'e menangis, menjawab dalam pilu, bersenandung merintih penuh harapan, seolah beliaulah hamba Allah yang paling hina.

Betapa beliau mengharapkan redha Allah dengan penuh tunduk kepada penciptanya.

Tidak lama kemudian Al-Imam dengan penuh syahdu menghembuskan nafasnya yang terakhir disamping Imam Muzani.

Buat kenangan generasi akan datang, setiap patah kata gurunya dengan teliti, dicatat kalimah demi kalimah supaya dunia mengenang dan menyaksikan betapa jiwa yang agung ini merintih ke hadrat Tuhan Yang Maha Tinggi.

Syair terakhir penuh syahdu, lahir dari jiwa yang bersih merindui Tuhan Yang Maha Perkasa.

-Kalam dari lisan Al-Imamud Dunia, As-Syafi'e-

Kat bawah nilah video yang saya berjaya cari dan anda hayatilah lagu dan maknanya sekali. Baru anda faham maksudnya. Insyaa Allah.



Syair Terakhir Al-Imam Syafi'e (Terjemahan)


إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي

BuatMu, Tuhan segala makhluk, ku persembahkan harapanku


وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا

Sekalipun aku seorang pendosa, wahai Maha Pemberi dan Pemurah


ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي

Tatkala keras hatiku dan sempit jalan hidupku


جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا

Ku jadikan sendu rayuku manifestasi keampunanMu


فـمـا زلــتَ ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل

Selamanya masih Engkau sahaja yang mengampuni dosa yang tidak terhapus ini


تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرّمــا

Kasih dan ampunanMu adalah kurnia dan kasih sayangMu


***

ألــســت الـّـــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي

Bukankah Engkau yang memberiku makan, jua petunjuk?


ولا زلــــت مـنـانــا عــلـــيّ ومـنـعـمــا

Selamanya masih Engkau yang memberi anugerah dan nikmat kepadaku


عـسـى مــن لــه الإحـســان يـغـفـر زلـّتــي

Moga Yang Maha Memiliki Ihsan mengampunkan kegelinciranku


ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدّمــا

Dan menutup dosa-dosaku dan setiap yang telah lalu


فــإن تـعـف عـنــّي تـعــف عـــن مـتـمـرّد

Andai Engkau ampunkan daku, ampunkan jua semua kederhakaanku


ظــلــوم غــشــوم لا يــزايـــل مـأتــمــا

Aku yang zalim dan degil, tak terpisah dari dosa


و إن تنـتـقـم مــنــّي فـلـســت بـئايــس

Dan jika Engkau menghukumku, tidak akan ku berputus asa


ولـــو أدخـلــوا نـفـسـي بـجــرم جـهـنـّمـا

Walau semua manusia mencampakkan diriku kerna salahku ke dalam neraka


***

فصيـحـا إذا مــا كــان فـــي ذكـــر ربـــه

Lidah masih fasih pada detik mengingati Tuhannya


وفيما سواه في الورى كان أعجما

Bila bersama selainNya ia jadi terasing


يـقــول : حبـيـبـي أنـــت سـؤلــي وبغـيـتـي

Ia berkata : Kekasihku, hanya Dikau pinta dan mintaku


كـفــى بـــك للـرّاجـيـن ســـؤلا ومـغـنـمـا

Cukuplah Engkau buat yang menagih harapan dan ganjaran


أصـــــون ودادي أن يـدنــســه الـــهـــوى

Kupelihara kasihku yang telah dikotori nafsu


وأحــفــظ عــهــد الــحـــبّ أن يـتـثـلـّمـا

Akan kujaga janji kasih yang telah tercalar


فـفـي يقظـتـي شــوق وفــي غـفـوتـي مـنــى

Tika jaga ku rindu, tika lelap ku berharap


تــلاحــق خــطــوي نــشــوة وتـرنــّمــا

Langkahku diiringi semangat dan irama,


فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث

Dosa-dosaku besar dari dulu hingga kini


وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا

Tapi keampunanMu pada sang hamba, meninggikannya dan memuliakan



Semoga post ini memberi manfaat kepada iman kita dalam meniti kehidupan sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Sekian. Wasalam.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama