Gila Isim - Kerana Amalan atau Gangguan ?



Ramai juga yang keliru tentang penyakit gila isim ni. Adakah ia penyakit gila yang biasa kita dengar seperti gila babi, gila meroyan, gila talak, gila ketagih video game dan lain-lain penyakit gila yang kita biasa dengar.

Sebelum kita pergi lebih jauh cuba kita ambil tahu apakah makna 'isim' itu sendiri.

Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka, terdapat dua maksud isim, 1) gila yang berakibat daripada tersalah amal ilmu batin, 2) nama : ia duduk sambil membaca ~ Allah

Merujuk kepada perkongsian Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek (pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah) tentang maksud isim secara literalnya bermakna nama. Maksudnya nama bagi zat Allah, atau mana-mana  nama sifat  jalal dan jamalnya,  seperti Al-KhaliqAl-KabirAl-Muta’aliAr-RahmanAr-Rahim dan  sebagainya  lagi  dari  nama-nama  Allah  yang  diulang-ulang  sebut terus-menerus dalam amalan zikir dan tafakkur ahli tarekat tasawuf.


Apakah Gila Isim ?

Stigma masyarakat tentang perspektif gila isim ini sering disalah ertikan, sehingga menjadi tanda tanya dalam masyarakat kita, apakah yang sebenarnya dikatakan gila isim ?

Ada yang beranggapan, gila isim adalah seseorang yang cuba mendalami ilmu agama terutama ilmu tasawuf, tetapi dek kerana gagal memahami asas ilmu yang dipelajari, menyebabkan dia mengalami gangguan mental.

Ada juga yang berpandangan, gila isim hanya terjadi apabila seseorang mengamalkan zikir-zikir tertentu, atau mendalami ilmu agama tanpa mempunyai guru yang benar, sehinggakan syaitan pula menjadi gurunya.

Bahkan bagi yang mengalami gila isim, mereka bukan sahaja mengalami gangguan mental, tetapi mereka seakan mempunyai naluri yang buas dan tidak terkawal, sehingga sanggup membunuh sesiapa sahaja, termasuklah di kalangan ahli keluarganya sendiri.

Keadaan ini berpunca dari mendengar arahan suara-suara bisikan, yang menyuruh membuat itu dan ini.

Banyak juga kisah-kisah mangsa disebabkan gila isim ini yang mengakibatkan penderitaan sepanjang hidup seperti contoh kisah mangsa gila isim yang dikongsikan dari blog CikguEmmet.com ini. Ia cukup menyayat hati saya.

Penyakit gila isim ini bagi saya merupakan penyakit yang disebabkan amalan zikir dan tafakkur tanpa merujuk kepada gurunya ataupun beramal ilmu tanpa guru sehingga memberi kesan kepada rohaninya. Amalan zikir dan tafakkur dilakukan tanpa mengikut tahap kemampuan menyebabkan jin syaitan yang berada sekian lama dalam tubuh dalam keadaan  kepanasan dan mengakibatkan seluruh jiwa dikuasai.

Apabila melakukan amalan tidak megikut tahap kemampuan seseorang, ia menjadikan jin syaitan menjadi cacat fikiran sehingga menjadi gila dan dalam masa yang sama ia turut menguasai minda seseorang agar turut menjadi gila isim. 

Saya tidaklah maksudkan adalah salah melakukan amalan zikir tertentu kerana tidak terdapat pun amalan zikir yang bila dibaca akan menyebabkan seseorang itu akan merasai kepanasan , kecuali jika individu tersebut ada mengamalkan suatu amalan yang bercanggah dengan Islam seperti seseorang yang mengamalkan mantera2 sihir yang berlandaskan ilmu hitam untuk tujuan tertentu seperti kebal, pengasih , penggerun , penarik duit dan sebagainya. Ini kerana, mereka yang mengamalkan ilmu hitam, tidak dibolehkan untuk membaca apa sahaja ayat atau zikir yang menyebut nama Allah swt.

Disebabkan itu jugalah sekiranya seseorang yang mengamalkan ilmu hitam, khurafat dan apa jua amalan yang menghampiri kesyirikan hendaklah dimulakan dengan bertaubat sungguh-sungguh kepada Allah, mengikuti segala titah perintah Allah seperti solat fardhu 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan lain-lain serta memperkukuhkan amalan yang mengikut syariat sebelum mempelajari amalan zikir dan tafakkur supaya tidak menjadi gila isim.


Kisah Gila Isim dari Fail Pusat Rawatan Islam Manarah

Kisah ini saya salin dan tampal dari perkongsian Tuan Guru Dr Jahid untuk kita  lebih mudah faham apakah yang dimaksudkan dengan gila isim.

Kisah 1

Haji Sulaiman,  berumur  47  tahun,  tinggal  menetap  di  Sepang  telah  mengalami  gila isim. Beliau menderita diserang gila isim semasa bersuluk kali pertama di Madrasah Manaratil-‘IlmiKuantan Pahang pada tahun 2016. Biasanya,  seorang  yang  bersuluk  diserang  oleh gila  Isim apabila  seseorang  yang bersuluk melepasi zikir nafi isbat. 

Haji Sulaiman mengalami gila isim sesudah beliau sampai ke tingkat zikir tersebut. Khalifah yang bertugas, dapat melihat tanda-tanda Haji Sulaiman  akan  diserang  gila  isim  ketika  beliau  berada  di  tingkat zikir  latifatul kulli  jasad,  kerana  fikiran,  emosi,  tingkah  laku  dan  percakapan  beliau sudah  mulai kurang normal. 

Oleh yang demikian, khalifah yang bertugas sepatutnya mengarahkan Haji Sulaiman  supaya  berhenti  daripada  berzikir  dan  tidak  ditingkatkan  ke  tingkat zikir nafi isbat. Tetapi kesilapan telah berlaku, maka Haji Sulaiman jadilah gila isim. Beliau segera dikeluarkan daripada suluk dan terus dihantar pulang ke rumahnya di Sepang. 

Sesudah habis suluk, beliau dibawa oleh saudara maranya ke Pusat Rawatan Islam Manarah bagi menerima rawatan dan pemeriksaan. Salah seorang ahli keluarga Haji Sulaiman tidak puashati, akhirnya  disebabkan Haji Sulaiman  nampak  agresif,  dua orang  pegawai  polis  daripada  Balai  Polis  Kuang  pun datang untuk membantu mententeramkan keadaan. 

Haji Sulaiman hendak dibawa ke Balai Polis Kuang tetapi beliau tidak mahu dan kedua-dua Pegawai Polis pun berasa takut tetapi dengan pujukan penulis akhirnya beliau mahu pergi ke Balai Polis Kuang.

Di Balai Polis tersebut Haji Sulaiman bertingkah laku tidak siuman dan menakutkan semua  orang  dan  tidak  mahu  mengikut  arahan,  kecuali  arahan  penulis. 

Sesudah report dibuat Haji Sulaiman dibawa oleh penulis ke Hospital Sg Buloh  semata-mata untuk memuaskan hati anggota keluarga. Ketika  di  Hospital,  penulis  minta  pada  pakar  Ilmu  Jiwa  (Psiktrik)  untuk  melakukan suntikan (untuk menenangkan dan menidurkan) pada Haji Sulaiman. Setelah disuntik Haji Sulaiman terus tenteram dan tidur.

Pada  hari  esoknya  penulis  mengarahkan  dua  orang  jemaah  untuk  merawat  Haji Sulaiman. Kedua orang jemaah mendapati Haji Sulaiman telah terlibat dengan amalan bertapa dan alat-alat pertapaan pun dimusnahkan. Semua catitan amalan yang salah dibakar.   Setelah   dirawat   selama   dua   hari,  akhirnya   Haji   Sulaiman   sembuh sepenuhnya.

Kesimpulannya, Haji Sulaiman jadi gila isim adalah disebabkan syaitan atau jin yang telah  menghuni  di tubuh  badannya.  Syaitan  atau  jin  tersebut  masuk  ke tubuh badannya  akibat  dari  amalan  pertapaan  yang  dilakukannya.

Menurut  beliau, beliau bertapa selama tujuh malam di tepi sebuah tasik secara berjemaah. Lepas  itu  beliau  bertapa  di tempat  yang  sama  sendirian, juga  selama  tujuh  malam berturut-turut. Semasa  bertapa  seorang  diri  itulah  beliau  berasa  ada  satu  lembaga yang  datang  dari  arah  belakang tetapi  beliau  tidak  tahu  ke  mana  perginya  lembaga itu  akhirnya.

Sebenarnya  syaitan  atau  jin  yang  datang  itu  telah  masuk  ke dalam tubuhnya. Kita dapat lihat dengan jelas wujud anggota keluarga yang seolah-olah menuduh ilmu dan  amalan Tarekat  Naqsyabandi  yang  terdiri  dari zikir, uzlah dan khalwat itulah yang menyebabkan Haji Sulaiman jadi gila isim. Baik juga isteri Haji Sulaiman adalah seorang   ustazah   yang   segera   memahami   masalah sebenar   yang   dihadapi   oleh suaminya. Isterinya benar-benar bekerjasama ketika suaminya dirawat.


Kisah 2

Cikgu Fatimah  berusia  54  tahun  telah  mengalami  gila  isim  pada  tahun  1998, ketika bersuluk  di  Surau  Babul-Khayrat  Jalan  Suka  Kg  Melayu  Majidi  Johor  Baharu. Para perawat yang ditugaskan mendapati ada tiga syaitan atau jin dalam tubuhnya. 

Syaitan atau  jin  pertama, sebab  sihir  yang  dilakukan  oleh  seorang  pemuda  yang  berhasrat menjadikannya sebagai isteri. Syaitan atau jin sebab sihir ini berjaya dikeluarkan, kerana beberapa simpulan sihir yang ditanam di sekitar rumah keluarga cikgu dapat ditemui dan dimusnahkan. 

Syaitan atau jin kedua merupakan saka dari datuk nenek sebelah ibu cikgu tidak boleh dikeluarkan, kerana keluarga sebelah ibunya tidak mahu berkerjasama. Mereka tidak mahu   memusnahkan   barang-barang warisan dari datuk nenek, atas alasan, kononnya, barang-barang tersebut sangat berharga dan  banyak memberi tuah kebaikan.

Syaitan atau jin ketiga berpunca dari amalan ayah cikgu sendiri. Ayah cikgu Fatimah seorang imam masjid di kampungnya yang selalu membaca khutbah. Beliau mengaku belajar zikir tarekat menerusi mimpi. Dalam mimpi syeikh tarekatnya, seorang wali akan datang mengajar wirid dan zikir. Semua wirid dan zikir yang dipelajari semasa mimpi itu ditulis dalam sebuah buku khas. Syaitan  atau  jin  ini  mengaku akan keluar dari tubuh badan cikgu sekiranya  semua catatan amalan  ayahnya itu dibakar.    Malangnya ayah cikgu tidak mahu membakarnya. Kononnya amalan itu betul. 

Ketika ini cikgu Fatimah tidak menderita diserang gila isim, tetapi beliau tidak boleh meningkatkan  tahap zikirnya  ke tahap zikir nafi ithbat. Beliau  boleh  bersuluk  dan berzikir  di peringkat permulaan  sahaja iaitu zikir pada lataif atau pada sebahagian daripada lataif. Beliau jika bersuluk sentiasa diletakkan di bawah pengawasan khas. Kesan  syaitan  atau  jin  yang  masih  dalam  tubuhnya  menyebabkan  beliau  ketika mengerjakan solat, tubuh badannya tidak stabil, tidak boleh diam tenang, kepalanya terangguk-angguk , badannya bergelombang.


Kisah 3

Haji Ali pada tahun 1999, semasa berumur 50 tahun, telah diserang gila isim. Ketika bersuluk  di  surau  Babul  Khayrat  Jalan  Suka  Johor  Baharu. Sebelum  beliau  belajar tarekat  dan  bersuluk,beliau  dikenali  oleh  rakan  sepejabat  dan  orang  kampungnya sebagai “Haji Ali  kasyaf”. 

Beliau digelarkan demikian sebab beliau mengaku diletakkan oleh Allah dalam keadaan kasyaf semata-mata. Beliau mendakwa boleh nampak syaitan, jin dan pelbagai jenis hantu. Beliau  mengaku  telah  belajar untuk  duduk  dalam  alam  kasyaf dari  seorang  guru kasyafnya yang bernama Tengku Karim.

Beliau setiap hari harus membaca al-Fatihah sebanyak 300 kali dan puasa selama 44 hari. Sepanjang  masa 44 hari beliau tidak boleh makan atau minum makanan atau minuman yang kena api. Sebab  itu  beliau makan buah dan minum air tebu. Setelah tamat puasa  44  hari, maka  beliau  pun kasyaf, nampak syaitan dan jin.

Ketika bersuluk, beliau tidak boleh berzikir menyebut Allah...Allah...Allah dalam hati. Syaitan telah mengajar beliau supaya bayangkan kalimah Allah berwarna keemasan, kemudian  niatkan  rohnya  masuk  dalam  kalimah  Allah  itu.  

Setelah  rohnya berada dalam kalimah Allah hati niatkan nak pergi ke ‘Arasy. Sedetik sahaja, kononnya beliau telah berada di ‘Arasy. Kemudian beliau niatkan melawat tujuh lautan, sebentar sahaja beliau sudah berjaya melawat tujuh lawatan dan menyaksikan pelbagai makhluk yang ajaib.   

Beliau akhirnya menemui penulis supaya zikir Allah...Allah...Allah...ditukar sahaja memandang  kalimah Allah. Amalan zikir Allah...Allah...Allah... sangat leceh keran lamba untu sampai kepada hakikat. Dengan memandang kalimah Allah kononnya cepat sampai kepada hakikat dan makrifah.

Sehari dua selepas itu, beliau pun jadi gila, lalu dikeluarkan daripada suluk dihantar ke rumah. Keluarganya membawa Haji Ali menemui gurunya Tengku Karim. Gurunya melarang beliau untuk  meneruskan amalan Tarekat Naqshabandiyyah Khalidiyyah, kerana kononnya gurunya iaitu penulis sendiri adalah guru yang mengajarkan ajaran sesat menggunakan syaitan dan jin. Akhirnya  Haji  Ali  jadi baik semula sesudah meninggalkan zikir bertahun-tahun.


Kesimpulan

Sesungguhnya tidak ada istilah Gila Isim dalam ajaran Islam. Seseorang Muslim bebas untuk mengamalkan sesuatu zikir dan bacaan yang thabit asalnya dari Rasulullah saw atau yang terdapat dalam kitab suci Al-Quran Al-Karim tanpa sebarang keraguan dan pantang larang.

Gila isim ni boleh terjadi kerana seseorang itu menuntut ilmu yang salah dengan menggunakan zikir2 Allah SWT untuk tujuan tertentu. Islam menyuruh umatnya agar sentiasa mengingati Allah dalam keadaan apa keadaan sekalipun. Ketika berdiri, duduk dan sebagainya. Di antara tanda-tanda kebahagiaan ialah apabila seseorang itu berupaya mengingati Allah ketika dalam keadaan senang, juga dalam keadaan susah. Kerana itulah zikir itu dianggap penting dalam usaha mengingati Allah s.w.t .

Atas keyakinan dan ajaran seumpama inilah maka masyarakat Melayu pada umumnya menganggap bahawa sesuatu amalan yang terangkum dalamnya zikir sama ada yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan sebagainya adalah amalan yang baik. Keyakinan seumpama ini dipergunakan atau diperalatkan oleh iblis dan syaitan yang jelas tidak dapat dilihat mata, ataupun oleh manusia yang bersifat jahat seperti iblis dan syaitan untuk menipu manusia, iaitu dengan cara menggunakan kalimah-kalimah yang mengandungi nama-nama Allah, nama-nama rasul atau nabi, nama-nama malaikat, ataupun nama-nama pahlawan Islam terbilang dalam usaha atau amalan yang menyesatkan.

Pada hakikatnya, zikir-zikir yang tersebut dalam amalan kebatinan termasuk ilmu isim seperti yang seseorang itu pelajari tidak membuktikan atau memastikan bahawa amalan yang dilakukan itu benar tidak menyalahi ajaran Islam. Hal seumpama inilah ada kalanya melahirkan kekeliruan mereka yang mengamalkan, juga mereka yang cuba membanteras amalan ajaran sesat.

Semoga kita semua dilindungi dari penyakit gila isim dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap amalan kita. Aamin. Sekian. Terima kasih.




Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama