“Mereka (Muslim) sentiasa berada dalam sejenis ‘kubah pelindung’ dan sangat sukar untuk menyusup masuk (melalui sihir) ke dalam diri mereka." - Zhanna Kushnir
Ayat di atas adalah komen dari seorang penyihir terkenal di Rusia yang bernama Zhanna Kushnir. Beliau menjadi tular di Twitter ketika satu video temubual di sebuah wawancara tentang pengalamannya sebagai penyihir tegar.
Dalam video berkenaan, dia menceritakan bahawa amat sukar untuk mempengaruhi Muslim berbanding penganut agama lain kerana bagi Kushnir, umat Islam sentiasa menunaikan solat wajib setiap hari.
Mengulas lanjut, Kushnir berkata, ritual doa bukan satu gangguan seperti penganut Kristian yang hanya datang ke gereja ketika hidup mereka ditimpa kesusahan.
Hal ini menurutnya, berbeza dengan orang Islam yang beriman dan mempunyai hubungan yang utuh dengan Allah SWT.
“‘Pelindung’ mereka (orang Islam) ialah Allah SWT yang melindungi mereka yang menyembahnya.
“Allah SWT sangat melindungi. Jadi, menyerang seorang Muslim yang taat apabila dia berpegang kepada agamanya adalah sangat sukar,” akui Kushnir.
Dalam Islam, khususnya terkandung dalam kitab suci al-Quran kaedah bagi mengelakkan sihir, salah satu caranya adalah memohon perlindungan kepada Allah SWT dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran seperti Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas.
Dengan izin Allah SWT, insya-Allah, Allah SWT akan memberikan kesembuhan. Justeru, umat Islam hendaklah yakin sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 82 yang bermaksud:
“Dan kami turunkan al-Quran sebagai ubat kesembuhan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”
Kesimpulan
Solat adalah tiang agama Islam. Mereka yang meninggalkan solat sama seperti mereka meruntuhkan agama. Turutilah segala titah perintah Allah. Tinggalkan apa yang dilarang-Nya dan beramal apa yang diperintah-Nya.
Terdapat banyak amalan yang diajar oleh baginda Rasulullah dan ia telah dipermudahkan oleh ulama' untuk kita amalkan sebagai amalan benteng diri. Bukanlah suatu yang sia-sia setiap ibadah yang dilakukan jika kita ikhlas kerana Allah Subhanawata'ala.
Semoga pandangan penyihir ini menjadi penguat keimanan bagi setiap penganut agama Islam.
Sekian. Terima kasih.
Sumber : HarakahDaily