Kenapa SKM Wajib Bagi Perawat Pengubatan Islam ?


Assaamualaikum para pembaca budiman. SKM ataupun Sijil Kemahiran Malaysia adalah bukti yang mengesahkan seseorang perawat / juruterapi mempunyai kemahiran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Sijil ini dikeluarkan oleh JPK (Jabatan Pembangunan Kemahiran) yang dikawal selia bawah satu sistem bersepadu MySpike (Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia).

Sebagai perawat / juruterapi usaha mendapat pengesahan dari pihak berwajib pada zaman sekarang adalah satu kewajiban malah satu keperluan juga sebenarnya.

Berikut saya terangkan kenapa SKM perlu diusahakan sebagai perawat pengubatan Islam. Buat makluman anda ini hanyalah pandangan peribadi saya sahaja sebagai perawat dan saya harap ia membuka minda anda.

1) Arahan Kementerian Kesihatan Malaysia

Akta 775 akan mula dikuatkuasa pada 1 March 2024 khusus kepada pengamal PT&K (Perubatan Tradisional & Komplementari) yang mengamalkan amalan diiktiraf dibawah akta ini. Terdapat 7 bidang amalan diiktiraf seperti berikut ..
  • Perubatan Tradisional Melayu
  • Perubatan Tradisional Cina
  • Perubatan Tradisional India
  • Homeopati
  • Osteopati
  • Kiropraktik
  • Pengubatan Islam
Bagi perawat yang engkar dengan arahan ini, selepas 29 Februari 2024 akan menerima hukuman denda RM30,000 ataupun penjara sekurang-kurangnya 2 tahun. Berhati-hati para perawat sekalian. Masih ada masa lagi.

2) Mengawal Perawatan Yang Bermasalah

SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) ini juga dapat mengawal perawatan yang tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan KKM. Masih ramai dikalangan orang awam yang memerlukan khidmat rawatan tidak tahu bagaimana membezakan rawatan hak dan rawatan yang bathil. 

Orang awam sering menjadi mangsa kepada perawat yang bermasalah ini. 

Alhamdulillah SKM menjadi satu kaedah yang ampuh untuk mengawal perawatan yang memberi masalah kepada pesakit.

3) Membanteras Mangsa Penipuan Perawat Yang Bermasalah

Akta 775 ini juga bakal membanteras mangsa penipuan perawat yang sering memberi masalah. Terlalu banyak kes-kes mangsa penipuan dari perawat yang mengaku perawat Islam sedangkan teknik rawatan yang diamalkan melanggar syariat Islam.

Uskun ataupun singkatan bagi Ustaz Dukun ini sering melakukan rawatan bathil sehingga mengelirukan ramai pesakit.

Insyaallah dengan penguatkuasaan Akta 775 ini mampu membanteras penipuan perawat yang bermasalah.

4) Mengiktiraf Perawat Yang Benar-Benar Berkemahiran

SKM ini memberi pengiktirafan kepada perawat yang mahir dan menepati syariat Islam. Bukan mudah untuk menjadi perawat Islam terutama dalam bidang amalan ruqyah ini.

Dengan adanya SKM ini juga menjadikan pesakit lebih yakin untuk mendapatkan rawatan Islam. Tiada keraguan lagi dan lebih selamat. 

Akta 775 ini memberi implikasi positif kepada semua pihak dan terutamanya kepada masyarakat amnya memandang tinggi amalan pengubatan Islam kelak.

5) Menaiktaraf Bidang Pengubatan Islam

Amalan pengubatan Islam yang selama ini dipandang enteng oleh sebilangan masyarakat tidak boleh mendabik dada dengan adanya sijil SKM ini. KKM menetapkan syarat bagi amalan pengubatan Islam sekurang-kurangnya perawat memiliki DKM (Diploma Kemahiran Malaysia) ataupun SKM4 menjadikan perawat Islam bakal dijadikan kerjaya profesional suatu masa kelak.

Siapa sangka hasil usaha pelbagai badan NGO menyakinkan pihak KKM agar menjadikan pengubatan Islam adalah satu kaedah rawatan yang mampu menyembuhkan pelbagai penyakit seperti mana termaktub di dalam Al-Quran.

Anda sebagai perawat Islam khususnya dalam bidang ruqyah syari'ah sepatutnya rasa bangga dengan penuh rasa syukur kepada hadrat Allah Subhanawataa'la kerana usaha yang digembelingkan selama ini bakal menaiktaraf bidang pengubatan Islam. MasyaAllah Tabarakallah.


Kesimpulan

Saya sebagai perawat Islam yang juga mengamalkan pengubatan Islam secara ruqyah syari'e turut serta mendapat pengiktirafan SKM demi kemaslahatan bersama. Inilah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia supaya menyokong setiap usaha yang baik bagi kesejahteraan rakyat Malaysia.

SKM yang dikelola bawah JPK (Jabatan Pembangunan Kemahiran) telah lama menawarkan pelbagai kursus kemahiran oleh kerajaan namun tidak bagi pengubatan Islam. Apabila telah ada usaha-usaha untuk memartabatkan rawatan Islam mengikut acuan Al-Quran dan Sunnah ini bakal memberi impak positif kepada usaha dakwah Islamiyah kepada masyarakat yang menganuti agama lain.

Semuanya akan bermula tidak lama lagi (Akta 775) dan bersediakah anda sebagai perawat khususnya untuk terbang jauh ?

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda. Sekian. Jumpa lagi.

Semakan SKM - DI SINI 

Garis Panduan Pengubatan Islam - DI SINI 

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama