Terapi Al Zahran Pemangkin Semangat Saya

Assalamualaikum pembaca budiman. Kalau ikut sejarah latar belakang pendidikan saya sebenarnya adalah dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik. Saya tak pasti macam mana saya boleh berkecimpung dalam bidang yang sangat berbeza dunianya.

Saya pernah bercita-cita untuk membuka kedai membaiki alat elektronik dan menjual komponen elektronik. Takdir Allah menentukan sebaliknya dan saya telah membuka kedai terapi pula. 

Agak lama juga masa saya ambil untuk berfikir untuk memilih salah satu bidang ini. Setelah dihitung kira dan menggali minat saya maka bidang terapi adalah pilihan saya. MasyaAllaah.

Namun sebagai terapi risiko tetap ada. Cabaran ekonomi sekarang ini membuatkan saya perlu juga mempelbagaikan sumber pendapatan saya untuk menongkah arus kehidupan masa kini.

Waktu post ini dikarang adalah hampir penghujung tahun 2023, saya masih lagi memberi khidmat kepada masyarakat dalam bidang terapi dan dalam masa yang sama saya masih bertugas sebagai seorang penyelia disalah sebuah kilang dari syarikat antarabangsa di kawasan Telok Panglima Garang.

Demi memberi keyakinan pada diri saya dan perjuangan saya dalam bidang terapi ini maka saya telah membina satu laman sesawang rasmi khusus dalam bidang terapi di www.terapialzahran.blogspot.com

Sila layari laman sesawang saya ini yer untuk mengetahui perkongsian ilmu dan informasi tentang rawatan dan lain-lain berkaitan kesihatan.


Cabaran Masa Kini

Pelbagai cabaran yang telah saya lalui dalam bidang ini. Pelbagai pahit maung telah dilalui dan sekarang tibalah masanya saya maju setapak untuk terus fokus dalam bidang ini.

Saya harap usaha saya ini memperolehi redho Allah kelak. Tolong doakan yer pada pembaca budiman.

Tidak dinafikan cabaran ekonomi juga menjadi faktor kenapa saya turut serta berada dalam bidang ini. Walaupun saya masih bekerja dan mempunyai pendapatan yang agak stabil tetapi ada sesuatu yang 'missing'. Saya cuba cari dan mencari dan rupanya inilah yang takdirkan Ilahi.

Berbekalkan minat dalam ilmu kesihatan khusus dalam pemakanan kesihatan menjadi salah satu asbab terjerumus dalam bidang terapi.

Antara asbab lain macam mana saya terdorong dalam bidang terapi Islam ini adalah kerana ahli keluarga saya sendiri terkena gangguan makhluk halus. Saya cuba mendalami apakah simptom utama yang mengganggu kesihatan manusia.

Faktor yang menjadi punca terjejasnya kesihatan manusia selain dari pemakanan sihat, gaya hidup, kualiti sosial dan sebagainya, gangguan jin juga menjadi asbab tertinggi berdasarkan pengalaman saya sebagai perukyah.

Ini bersandarkan dari dalil Al-Quran yang Allah mengingatkan sumpah Iblis untuk menyesatkan Bani Adam yang beriman sehingga hari qiamat. Walau apa cara sekalipun Iblis sedang berusaha menarik seramai mungkin makhluk dikalangan jin dan manusia agar masuk ke dalam api neraka bersama-samanya.

Tiada siapa yang terlepas dari gangguan syaitan (kuncu-kuncu Iblis dikalangan jin dan manusia) agar sentiasa dalam keadaan lalai. Menjadi alpa dengan nikmat dunia, lalai melakukan perintah Allah dan seronok dengan maksiat. Semoga kita semua kuat menempuh ujian Allah.


Perkhidmatan Terapi

Bermula sebagai tukang urut pada mulanya dan ilmu digarab sedikit demi sedikit bermula dari mempelajari ilmu urutan therapuetik, urutan tradisional dan urutan sukan. Kemudian teruskan pembelajaran ilmu bekam, akupuntur dan diikuti dengan ilmu pembetulan tulang belakang menjadikan saya terfikir sejenak betapa luasnya ilmu terapi ni.

Semakin lama saya explore, semakin kerdil ilmu saya ni. Saya rasa tiada apa pada saya sebenarnya.

Mungkin disebabkan minat yang mendalam dalam ilmu terapi ini menyebabkan saya semakin dahagakan ilmu dalam kontek yang lebih luas. Saya masih tak pasti sejauh mana saya boleh bantu masyarakat dengan ilmu yang saya pelajari ini.

Alhamdulillah, feedback pelanggan yang positif juga menjadikan saya lebih bersemangat untuk membantu masyarakat.


Bergiat Aktif Dalam Perawatan Rukyah Syari'ah

Ketika saya mula dalam bidang urutan dalam masa yang sama saya juga turut mendalami ilmu rawatan Islam melalui kaedah Rukyah Syari'ah. Sejarah saya berkecimpung dalam bidang rukyah adalah disebabkan masalah gangguan makhluk halus pada keluarga saya.

Pada mulanya saya hanya mempelajari ilmu rukyah melalui kitab-kitab yang ditulis oleh beberapa ustaz dalam bidang rukyah sahaja. Saya amalkan dan ikut caranya. Alhamdulillah penyakit gangguan dalam keluarga saya dapat sembuh walaupun tidak sepenuhnya.

Tapi semakin lama semakin tak puas dan perlu ada sesuatu yang perlu saya gali lagi. Maka terlintas dalam kepala saya "saya perlu berguru". Ya...saya perlu cari guru untuk belajar selok belok dalam rawatan Islam.

Saya mula membuat carian di Google mana-mana kursus rawatan Islam yang terdekat. Saya cuba menghubungi salah satu pusat rawatan Islam yang terkenal dan pengasasnya juga sering masuk TV suatu ketika dulu. Apabila ada topik tentang rawatan Islam, ustaz ini akan dijemput. Saya tak dapat nak mention nama pusat rawatan Islam mana di blog saya ini kerana pada masa itu saya gagal mendapat respon dari salah seorang urusetia walaupun telah berkali-kali saya hubungi.

Saya cuba pula carian kedua. Pusat rawatan yang ini tidaklah saya kenali. Walaupun tidak terkenal tetapi hasil dari penyelidikan saya dari segi modul, latihan, review, aktiviti dan sebagainya bagi pandangan saya ia masih menepati syariat. Saya cuba hubungi Pusat Rawatan Islam Darul Muallij melalui Forum di Telegram di mana sehingga kini masih aktif. Kalau anda ingin sertai Forum Darul Muallij di Telegram anda boleh KLIK SINI ! Terbuka pada orang awam untuk pertanyaan tentang ilmu rawatan Islam.

Kemudian saya teruskan pendaftaran untuk kursus Rawatan Islam pertama saya di mana ketika itu dilakukan di Terengganu pada tahun 2017. Alhamdulillah bertitik tolak dari situ, saya mula mendalami ilmu rawatan Islam khususnya rukyah syari'ah.

Pelbagai onak duri yang telah saya lalui sebagai seorang perukyah. Dari situlah saya kenal hakikat kehidupan sebenar sebagai hamba Allah. Macam-macam masalah gangguan yang berlaku asbab dari sihir, saka dan juga penyakit yang menyerang diakhir zaman ini iaitu penyakit Al-Ain.


Kita Hanya Ikhtiar, Kesembuhan Milik Allah

Ilmu rawatan Islam ni cukup luas. Rukyah adalah asas bagi segala ilmu terapi. Apa juga rawatan semestinya ada doanya dan rukyah untuk memudahkan kesembuhan pada diri mahupun pada pesakit. Rukyah perlu dikuasai bagi semua juruterapi. Ia bagi tujuan memudahkan urusan rawatan dan juga sebagai pendinding diri.

Tidak dinafikan beberapa juruterapi kecundang disebabkan risiko yang perlu dihadapi dengan pesakit. Risiko ni tidak dapat dilihat dengan mata kepala. Hanya yang berada dalam bidang ini sahaja yang akan faham tentang risiko-risiko yang perlu dihadapi sebagai seorang juruterapi.

Bukan mudah sebenarnya menjadi seorang juruterapi. Pergantungan diri sepenuhnya pada Allah dan BUKANnya pada makhluk insyaAllaah urusan kesembuhan akan menjadi mudah. 

Yakin bahawa juruterapi dan pesakit/pelanggan adalah manusia. Masing-masing tiada kekuatan untuk menyembuhkan sesuatu penyakit melainkan dengan izin Allah. Ikhtiar dengan jalan terbaik dan yang penting mengikut syariat Islam dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).


Kesimpulan

Saya hanya mampu mengharap dan berusaha untuk menjadikan bidang ini sebagai medan untuk saya berjuang demi membantu masyarakat diluar sana. Saya masih akui diri saya tidaklah hebat mana, tetapi usaha yang kecil ini sekurang-kurangnya dalam memberi harapan pada mereka yang menghadapi musibah penyakit untuk sembuh seperti sedia kala.

Semoga usaha ini diberkati Allah dan tolong doakan saya agar mendapat redho Allah di akhirat kelak. Aamiinnn.

Sekian. Jumpa lagi. InsyaAllaah.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama