10 Jalan Keluar Depresi

Image credit to : https://www.aubreymarcus.com


Assalamualaikum rakan pembaca sekalian. Terima kasih kerana sudi singgah membaca blog ini. Pasti anda tercari-cari apakah solusi untuk keluar dari penyakit Depresi atau dipanggil dalam bidang kedoktoran dipanggil sebagai Anxiety Disorder.

Perkongsian untuk post kali ini adalah berkenaan penyakit yang kebanyakan masyarakat pandang remeh dan salah faham apakah maksud sebenarnya penyakit depresi ini. Masyarakat hanya memandang dari segi luaran semata-mata. Tetapi jika kita selami perasaan mereka dengan lebih dalam tentang penyakit ini, sebenarnya masyarakat sekeliling terutamanya ahli keluarga seharusnya perlu lebih memberi sokongan dan perhatian kepada pesakit ini.

Walaupun pesakit depresi dilihat seperti manusia normal yang lain, tetapi dalaman mereka seperti ada satu suara yang membisik kan sesuatu untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka, apa yang mereka patut buat jika ada masalah tertentu dan sebagainya. Kebanyakan bisikan adalah lebih menjurus kepada perkara-perkara negatif.

Apabila penyakit depresi ini mula menyerang, pesakit akan mula beremosi dan mula menyendiri tanpa menghiraukan sesiapa pun yang ada di sekelilingnya. Ada juga dikalangan pesakit ini kelihatan seperti normal seperti orang lain, bersosial seperti biasa, berdiskusi dengan baik, sempurna dan sebagainya. Namun apabila sampai pada satu tahap di atas beberapa faktor, pesakit akan mula bertindak diluar dugaan. Anda terkejut dengan perubahan mereka. Mungkin anda pernah jumpa pesakit seperti ini.

Apa yang boleh saya nasihatkan, anda jangan mudah terkejut apabila terjumpa situasi seperti ini. Apa yang anda boleh cuba lakukan adalah tenangkan hati anda terlebih dahulu dan mula menjadi pendengar setia yang empati untuk pesakit seperti ini. Empati di sini maksudnya anda tunjukkan rasa sokongan kepada pesakit dan tunjukkan rasa sayangnya anda kepadanya. Jika boleh...anda elakkan posisi sebagai pemberi nasihat dan apa jua cadangan dan tunjuk ajar kepada pesakit ini kecuali pesakit ini bersedia menerima nasihat.

Jadilah pendengar setia yang empati terlebih dahulu untuk mendapatkan perhatian dan kepercayaan daripada pesakit seperti ini, kemudian barulah membantu apa yang seharusnya.


Kajian WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia)

Berdasarkan kajian beban penyakit yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit depresi ataupun lebih mudah difahami dengan penyakit kemurungan dijangka menjadi penyakit kedua teratas menjelang 2020 selepas penyakit jantung di seluruh dunia. Ini menunjukkan bahawa potensi untuk membunuh diri semakin ramai bagi pesakit ini.


Faktor Penyakit Depresi

Kalau nak ceritakan dari segi faktor penyakit jenis ini, ia terlalu subjektif. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang akan terkena penyakit depresi. Tiada fakta yang lengkap dan tepat untuk mengetahui faktor penyakit ini berpunca daripada apa.

Terlalu banyak faktor yang boleh disenaraikan. Ada yang diserang penyakit ini dari kecil, ada tekanan apabila dewasa dan sebagainya. Ia bergantung kepada keadaan dan faktor sekeliling ketika itu.

Secara saintifiknya apabila penyakit depresi ataupun kemurungan ingin menyerang akan menyebabkan hormon serotonin, dopamin dan norepinefrin yang bertanggungjawab mengawal perasaan di otak mula tidak seimbang. Maka jadilah kemurungan.

Kebiasaannya doktor pakar psikiatrik akan memberi ubat anti kemurungan, ubat tidur, ubat mengawal anxiety. Ubat-ubat ini diberikan bergantung kepada tahap pesakit.

Ada beberapa indikasi penghidap depresi yang tersembunyi seperti mana yang dikongsikan di website MyHealth KKM. Anda boleh baca untuk kefahaman bersama.

10 Amalan Untuk Keluar Dari Penyakit Depresi ataupun Kemurungan

Amalan ini adalah hasil perkongsian dari bekas penghidap penyakit depresi yang bernama Syahirah Omar di Mingguan Wanita. Saya kongsikan di blog ini agar menjadi rujukan kepada anda amnya dan saya sendiri khususnya. Manalah tahu, andai kata ada ahli keluarga, saudara, rakan dan taulan yang menghidap penyakit ini dapat ikuti amalan yang Puan Syahirah Omar telah lakukan untuk keluar dari penyakit depresi.

Antara 10 amalan yang beliau kongsikan adalah seperti berikut.


1) Fahami Penyakit Ini Adalah Ujian Kiriman Allah

Beliau menyatakan setiap kali menghadapi tekanan perasaan, dia akan cari sesiapa sahaja untuk meluahkan perasaannya. Antara respon yang beliau tidak gemar dari mereka yang telah mendengar masalahnya sejurus meluahkan perasaanya ialah perkataan SABAR.

Beliau mengharapkan respon seperti kata-kata semangat seperti "kuatkan semangat", "kami semua sayangkan kau" dan beberapa lagi.

Untuk amalan pertama ini, beliau menyatakan agar fahami setiap penyakit adalah ujian kiriman Allah. Beliau menjadikan penyakit ini adalah HADIAH dari pemberian Allah.



2) Mencari Allah Yang Lama Hilang

Perkara kedua yang beliau lakukan ialah beliau menganggap setiap masalah yang dihadapi hendaklah dipulangkan kepada Allah. Selama beliau menghidap penyakit ini sebelum ini, beliau tidak langsung rasa adanya Allah walaupun pada hakikatnya Allah sentiasa bersamanya selama ini.

Beliau mula tersedar dan mula melakukan ibadah seperti zikir yang sentiasa basah dibibir, meningkatkan kualiti solat dengan memahami makna dalam solat, memulakan setiap amalan dengan "Bismilllah", istiqamah solat diawal waktu, istiqamah solat malam dengan melakukan solat taubat ke atas dosa-dosa yang lalu dan beberapa amalan sunnah yang telah diajar oleh baginda Rasulullah Shollallah Hua'laihi Wasallam.



3) Sabar

Walaupun beliau BENCI mendengar nasihat dari perkataan SABAR tetapi beliau belajar menerimanya dengan hati terbuka. Beliau mengambil dalil dari Al-Quran dari Surah Al-Baqarah dari ayat 155 sebagai semangat untuk bersabar. Dan maksud ayat Al-Quran itu adalah seperti berikut..

" Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar "

Beliau yakin dengan firman Allah ini dan beliau mula belajar bersabar dan mengerjakan solat. Kerana dengan sabar dan solat pasti akan ada perkhabaran gembira kelak seperti mana yang Allah telah janjikan.



4) Kau Lihat Nikmat Kau Ada

Beliau mula belajar bersyukur semua nikmat yang Allah telah kurniakan kepadanya. Beliau sentiasa berterima kasih kepada Allah kerana masih bernafas, paru-paru masih berfungsi dengan baik, dikurniakan zuriat yang sangat comel dan sempurna walaupun ada hamba Allah yang masih tidak dikurniakan zuriat dan sebagainya.

Beliau berkongsi agar sentiasa ada rasa bersyukur kepada Allah untuk setiap nikmat yang dikecapi dari sekecil-kecil nikmat hingga sebesar-besar nikmat.



5) Ego

Beliau belajar buang sikap ego. Jangan terlampau keras kepala jika gagal mendapatkan sesuatu yang diimpikan. Setiap perancangan yang dilakukan tidak semestinya seindah yang ditetapkan.

Tip yang beliau kongsikan untuk membuang sikap ego ialah meminta maaf kepada mereka yang pernah hatinya disakiti sebelum ini. Amalan kelima ini ialah BUANG SIKAP EGO !



6) Dendam Itu Pembunuh Jiwa

Amalan keenam beliau lakukan ialah memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya. Walaupun ia sukar untuk dilakukan, tetapi beliau telah berjaya melakukannya. Beliau menganggap setiap sejarah hitam yang berlaku walaupun perit, semuanya hadir dengan izin Allah untuk menguji tahap keimanan seseorang. Beliau berjaya memaafkan semua kesalahan mereka yang pernah menyakiti hatinya.




7) Cari Ilmu

Antara perkara lain yang beliau lakukan anda mencari ilmu. Beliau mencari ilmu bagaimana menguruskan emosi seperti banyakkan aktiviti membaca, pergi ke kelas-kelas pengajian seperti kelas tadabbur, kelas memahami makna solat dan sebagainya.

Antara alternatif beliau mempelajari ilmu-ilmu tersebut adalah melalui YouTube. Beliau sebagai ibu yang telah dikurniakan anak seramai tiga orang mempunyai pergerakan yang agak terbatas selain beberapa komitmen yang lain.



8) Jaga Pemakanan

Beliau jaga pemakanan. Jika selama ni beliau makan tak tentu masa yang kebiasaanya waktu tengah malam. Kerap di waktu malam beliau akan makan dengan banyaknya seperti kata beliau seperti badannya ada saka.

Beliau telah mengubah corak pemakanan beliau mengikut waktu yang normal mengikut diet yang seimbang. Beliau melakukan secara disiplin mengikut portion makanan yang bersesuaian.



9) Hidup MESTI Ada Matlamat & Perancangan

Beliau berpesan, langkah ini sangat PENTING. Jika sebelum ini beliau hidup tanpa matlamat yang jelas, sekarang beliau mempunyai matlamatnya sendiri seperti mana beliau kongsikan iaitu "MATLAMAT AKU NAK MASUK SYURGA FIRDAUS". Itu matlamat yang beliau kongsikan.

Antara amalan awal pagi yang beliau amalkan adalah seperti ...

5.15am - Tahajjud (Solat Taubat, Solat Hajat)
5.50am - Solat sunat subuh dan solat subuh
6.30am - Al-Quran 3 muka surat
7.00am - Morning walk sambil sedekah air mineral pada yang memerlukan


Beliau nasihatkan agar tidur awal untuk bangun awal dan mengajak pembaca agar sayangi diri. Jangan zalimi diri sendiri dengan perkara yang sia-sia !



10) Bergerak!

Beliau menasihatkan kepada pesakit depresi agar tidak statik satu tempat sahaja. Apabila merasa sesuatu yang menjengkelkan beliau akan bangun dan bergerak. Kalau rasa down, rasa sangat bodoh, beliau akan terus bergerak agar emosi yang menyedihkan itu berlaku pergi.

Buatlah apa sahaja yang anda suka. Seperti Puan Syahirah Omar apa yang beliau suka lakukan untuk 'drag' emosi yang tengah down ialah beliau akan pergi ke dapur untuk kemas peti ais, potong cili kering dan mula masak non-stop. Itu cara beliau.

Lakukan sesuatu yang boleh membuatkan perasaan tertekan anda dilepaskan dengan sesuatu yang anda suka buat.


Sumber : Mingguan Wanita

Kesimpulan

Semoga perkongsian saya kali ini memberi manfaat kepada anda. Sebagai Juru Terapi dan Pengamal Rawatan Islam yang berpengalaman merawat pesakit depresi memerlukan serba sedikit kefahaman tentang penyakit ini. Sebagai perawat, kita perlu buat sedikit kajian untuk mengetahui apakah punca sebenar depresi. Adakah ia kerana faktor keturunan, gangguan dari sihir dan saka, faktor sekeliling seperti tekanan hidup dan sebagainya. Jika kita telah mengenal pasti punca masalah, insyaaAllah memudahkan proses rawatan kelak.

Penyakit depresi ini ada yang boleh diselesaikan dengan cara tausiah sahaja, ada juga dengan cara rukyah, dan ada juga kesinambungan beberapa teknik rawatan lain seperti akupuntur, bekam dan sebagainya. Ia bergantung kepada keadaan pesakit tersebut. Apa jua pun yang berlaku, semua dengan izin Allah.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda. Jumpa lagi untuk perkongsian yang lain. Insyaa Allah.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama