Cinta Jin Asyik



Salam hormat rakan pembaca blog ini. Terima kasih kerana sudi singgah blog ni yer. Baiklah....untuk post kali ini saya ingin berkongsi pengalaman saya merawat seorang pesakit yang tanpa disedari telah terperangkap dengan cintai jin asyik. Pesakit ini tidak menyedari sama sekali bahawa punca kesakitan, penderitaan yang ditanggung selama ini disebabkan lamaran tanpa disedarinya oleh makhluk jin asyik ini.

Begini kisahnya.

Pesakit ini merupakan pesakit yang tinggal disalah sebuah taman perumahan di kawasan  Telok Panglima Garang. Nama taman tu ?..biarlah ia dirahsiakan demi menjaga aib pesakit. Beberapa kali juga lah rawatan susulan telah saya lakukan kepada pesakit ini.

Hasil dari beberapa rawatan, sebenarnya pesakit ini telah disihir oleh rakan sejawatnya seorang lelaki yang marah dan berdendam kepadanya hanya kerana sedikit perselisihan faham yang berlaku ditempat kerja. Selama hampir 3 tahun juga menanggung sakit sihir yang dialaminya. Merata tempat dan beberapa perawat telah dijumpai sehingga anak-anaknya juga turut terkena tempiasnya. Namun penyakit sihir hanya sembuh seketika sahaja dan selang beberapa hari serangan sihir akan datang kembali.

Buat makluman semua, jin sihir ini boleh datang silih berganti disebabkan oleh kerja-kerja bomoh yang telah dibayar upah.

Alhamdulillah setelah beberapa sesi rawatan, sihir telah berjaya dibatalkan. Disebabkan kekerapan diserang sakit sihir walaupun telah sembuh, akhir sekali pesakit mengalah dengan membuat permohonan maaf terus kepada rakan sejawatnya seorang lelaki yang merupakan bos kepada pesakit tentang perselisihan faham yang berlaku 3 tahun lepas. Ternyata kebenaran terbongkar apabila respon lelaki ini cukup meragukan dan penuh keegoaan. MasyaAllah. Semoga Allah mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang lupa tentang dosa dan pahala dan saya doakan semoga Allah merahmati pesakit ini dari kesabaran yang ditanggung akibat serangan sihir dari manusia yang tidak bertanggungjawab.

Semoga si pelaku diberi taufik dan hidayah melalui jalan taubat dan permohonan maaf kembali kepada pesakit di atas penderitaan yang pesakit  dan keluarga telah tanggung selama ini.

Alhamdulillah pesakit telah sembuh dari sakit sihir yang ditanggung selama ini. Namun....

Perangkap Cinta Jin Asyik


Selang beberapa bulan, pesakit ini meminta untuk dirawat lagi. Tetapi kali ini simptom yang berlainan. Kesakitan yang ditanggung juga berlainan dari simptom sihir sebelum ini. Namun pesakit akui pernah juga mengalami simptom seperti ini ketika menanggung kesakitan sihir sebelum ini.

Ketika rawatan dilakukan rupa-rupanya pesakit ini terkena serangan cinta haram dari makhluk jin saka dari rakan baiknya yang merupakan rakan sejawatnya. Macam pelik bunyinya kan. Saya pun sukar nak mengarang ayat agar anda faham kisah perkongsian saya ini. Tapi saya cuba. Beberapa sesi dialog dengan makhluk jin dan sedikit sebanyak terbongkarlah perasaan sebenar mahluk jin asyik tersebut. Sebenarnya jin telah jatuh cinta dengan pesakit yang saya rawat ini.

Macam tak logik sebenarnya. Tetapi itulah hakikatnya.

Berkenaan sesi dialog dengan jin ini, nasihat saya seboleh bolehnya minimumkan perbualan dengan jin. Mengikut pengalaman saya dan ilmu yang dipelajari, 90% percakapan jin adalah dusta. Jin yang kufur dan mushrik sebenarnya mempunyai agenda mereka iaitu untuk menyesatkan manusia yang beriman. Pelbagai fitnah akan cuba dilakukan oleh mereka untuk menyesatkan kita sebagai makhluk manusia yang telah dilantik sebagai khalifah di muka bumi ini. Supaya apa....supaya kita golongan dari keturunan nabi Adam yang beriman akhirnya akan dimasukkan ke dalam api neraka bersama mereka di akhirat kelak. Jadi berhati-hati lah !

Berbalik kepada kisah jin asyik tadi, cintanya kepada pesakit sangat dalam sehingga memuji kehebatan pesakit. Katanya "dia hebat..", "tiada yang hebat dari golongan jin betina yang dia jumpa melainkan pesakit" dan pelbagai lagi. Sampai jin ini katakan aku dah jemu berpasangan dengan ramai jin. Ketika rawatan itu saya cuba memohon doa kepada Allah agar memberi jin ini pasangan  dari kalangannya sendiri dengan membaca rukyah dari Surah Ar-Rum ayat 21. Alhamdulillah dengan izin Allah, dinampakkan pasangan yang cantik pada pandangan jin ayik ini. Namun jin ini membalas dengan mengatakan jin betina ini memang hebat (jelmaan bakal pasangan dari kalangan jin) tapi jin asyik ini tetap tidak mahu dengannya dan dengan sombong tetap teguh mengatakan pesakit lebih hebat lagi dari jin betina tadi.

Apabila saya bersoal jawab dengan jin tadi tentang sejak bila dia suka kepada pesakit, rupa-rupanya jin ini menyukai pesakit sejak sebelum pesakit disihir lagi. Seperti saya katakan jin ini merupakan jin saka dari rakan baik pesakit atau boleh dikatakan BFF setelah jin diasak dengan pertanyaan asal dari mana dan siapa tuan jin ini. Jawapannya tetap dari tuannya iaitu kawan baik pesakit. Wallahua'lam.

Hubungan Orang Bercinta

Tidaklah nampak janggal sekiranya seorang perempuan mempunyai teman rapat aka BFF dalam hidup  mereka. Tetapi andai kata di mata ramai perempuan lain berpandangan hubungan mereka terlampau pelik dan menjengkelkan dari sudut pandang seorang perempuan, sudah pasti dan ternyata ia sungguh pelik. Ya...apa yang saya cuba terangkan adalah hubungan pesakit dengan BFF telampau rapat dan pelik sehinggakan tidak peduli dengan pandangan rakan-rakan perempuan yang lain.

Timbul tanda tanya dari hati rakan-rakan lain, kenapa dengan dia (pesakit) dan BFF ?

Anda bayangkan hubungan mereka seperti orang bercinta. Walhal mereka sama-sama perempuan. Makan bersuap, selalu berdua ketika bertugas, kerap BFF datang ke rumah pesakit, sering BFF memberi hadiah kepada pesakit, dan macam-macam lagi. Pesakit terasa keprihatian dan layanan yang BFF lakukan seperti seorang lelaki kepada seorang perempuan, seperti pakwe dan makwe yang mabuk bercinta walaupun pada mulanya hubungan mereka pada peringkat awalnya bukanlah seperti itu. Itulah komen pesakit ketika dirawat.

Semuanya terbongkar sedikit demi sedikit. Ini adalah kerja jin saka BFF yang telah menguasai otak BFF agar sentiasa dekat dengan pesakit. Nauzubillah. Dengan apa cara sekalipun jin asyik ini akan membuat helah bagaimana untuk sentiasa dekat dengan pesakit. Begitulah kejahatan jin asyik ini.  Pesakit benar-benar tidak sedar apa yang berlaku sehinggalah rawatan dilakukan.

Ugutan Pertama

Ketika sesi rawatan, pesakit kesurupan dan dengan izin Allah jin asyik mula terkesan dengan ayat rukyah yang saya bacakan. Tetapi jin ini berdegil tidak mahu keluar. Dia tetap  ingin bersama dengan pesakit. Dia menegaskan akan bersama pesakit selama-lamanya.

Setelah dibacakan ayat azab dan tarbiyah kepada jin ini, alhamdulillah jin mahu keluar meninggalkan tubuh pesakit.

Tidak semudah itu jin untuk keluar melainkan dengan ugutan untuk disembelih jin tersebut. Jin diberi amaran terakhir sebelum jin tadi keluar dari tubuh badan pesakit. Saya memberikan syarat kepada jin itu agar bersumpah dengan nama Allah sekiranya jin ini masuk dan mengganggu lagi pesakit ini dan keluarganya, bermakna jin ini akan diazab Allah. Alhamdulillah setelah jin mengungkapkan sumpah azab, selang beberapa minit kemudian dengan izin Allah jin tadi pun keluar dari tubuh pesakit dan pesakit mula sedar.

Zasssss....Ugutan Akhir

Setelah hampir 2 bulan juga pesakit dalam keadaan sihat dan tenang bersama keluarga. Tiba-tiba suami pesakit PM Whatsapp saya mengatakan isterinya sakit seperti sesak nafas, mimpi menakutkan dan ada perasaan seperti tak suka kepada suami.

Sebelum merawat seperti biasa, proses analisa soal selidik kepada pesakit dilakukan terlebih dahulu. Tanda-tanda sakit tubuh dan tanda-tanda mimpi tidak ketara seperti rawatan sebelum ini. Lebih malang lagi sebelum saya merawat, sebenarnya jin telah mengganggu mak dan adik pesakit di kampung sehingga menjadi kesurupan secara tiba-tiba. Kalau ikut maklumat pesakit, gangguan ini mula terjadi ketika berada di kampung ketika musim cuti sekolah.

Setelah pesakit kembali dari kampung, barulah saya mula merawat pesakit. Ketika sesi rawatan rukyah, pesakit kesurupan dan sesi dialog dengan jin mula berlaku dengan izin-Nya. Seperti biasa saya akan tanya siapa kamu, dari mana kamu datang, apa agamamu, apa tujuan ganggu pesakit ni.

Ternyata dari maklumat dari jin tersebut, jin ini rindu kepada pesakit sebab telah lama tak berjumpa. Jin membalas dalam keadaan menangis. Saya terus bertanya, kamukah jin yang suka sangat kepada pesakit ini suatu ketika dahulu. Jin tersebut membalas ya.

Saya lanjutkan soalan pernahkah kamu datang ke dalam tubuh pesakit ini. Jin membalas dengan berkata mengangguk sebagai tanda "ya".

Kemudian saya katakan, tidak takutkah kamu dengan azab Allah. Jin tadi terdiam dalam keadaan sedu sedan. Tiba-tiba jin berkata lagi "...dia dah tak suka aku". Saya katakan kepadanya.."memang sejak dulu lagi dia tak suka kau". 

Tanpa membuang masa, dengan doa dan bacaan Ayatul Qursi, saya terus menyembelih jin asyik tersebut dan menggelepar dari leher dan tubuh pesakit disebabkan kesakitan jin ketika disembelih dengan izin Allah. Alhamdulillah.

Selang beberapa minit kemudian, pesakit mula tersedar dan tertanya-tanya apa yang berlaku dalam keadaan sangat lemah.

Reaksi pesakit merasa tubuh badan lebih ringan dan tiada kesakitan seperti pinggang seperti ditarik kuat sampai rasa terlalu sakit, nafas seperti sesak dan lain-lain. Alhamdulillah. Apa sahaja yang berlaku dengan izin Allah. Wallahua'lam.


Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya saya ingin menasihatkan kepada pembaca diluar sana, bersederhanalah dalam segala hal kehidupan. Islam mengajar kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan dan bersederhanalah. Berukhwah tidak salah tapi pastikan ada batasnya. Jika berkawan dengan sesiapapun biarlah secara sederhana. Sederhana yang berlandaskan syariat Islam. Tidak keterlaluan sehingga melampaui batas dan norma sebagai manusia yang mempunyai jiwa dan akal yang sihat. Sekian.

Semoga post ini memberi manfaat kepada anda. InsyaAllah jumpa lagi di post yang lain.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama