Kredit gambar : Monash University
Assalamualaikum para pengunjung blog ini. Terima kasih kerana sudi menjengok blog saya. Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk berkongsi ilmu tentang suatu penyakit kemurungan ataupun dipanggil sebagai depresi...adakah ia penyakit biasa ?
Buat permulaan kita perlu tahu apa itu kemurungan ?
Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu.
Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Menurut kajian pakar antara penyebab ataupun punca kemurungan adalah seperti berikut.
- Perubahan kimia dalam otak iaitu berlaku ketidakseimbangan kimia (Neurotransmitter Serotonin dan Neropinephine)
- Baka keturunan : seseorang yang mempunyai keluarga yang pernah menghidapinya
- Persekitaran : Peristiwa hidup dan kekurangan sokongan keluarga sosial
- Ubat-ubatan : Sesetengah jenis ubat darah tinggi boleh mencetuskan episod kemurungan. Walau bagaimanapun, ia akan beransur hilang apabila ubat tersebut diberhentikan.
- Penyakit-penyakit lain : Seseorang penyakit lain seperti gangguan fungsi thyroid hypothyroidsm boleh menyebabkan kemurungan.
- Corak pemikiran : terdapat corak tertentu dalam pemikiran yang boleh mencetus kemurungan. Ini termasuklah bagaimana persepsi kita kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya.
- Stressor : Stressor (punca stres) juga berupaya mencetuskan episod kemurungan sekiranya tidak dikawal.
- Peristiwa lain yang boleh mencetuskan kemurungan termasuklah penyalahgunaan atau ketagihan arak, menghidapi penyakit serius/ tinggal dengan orang yang menghidap penyakit tersebut.
- Kehilangan orang yang disayangi, dan
- Baru melahirkan anak.
Saya pernah berkongsi satu post tentang 10 amalan untuk keluar dari penyakit kemurungan ataupun depresi ini berdasarkan perkongsian bekas pesakit tersebut. Sila baca DI SINI !
Kenali tanda-tanda dan gejala kemurungan
- Kesedihan atau "kekosongan" perasaan yang berpanjangan
- Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
- Cepat rasa letih dan tidak bertenaga
- Perasaan pesimistik dan mudah putus asa
- Perasaan bersalah
- Rasa diri tidak berguna
- Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur
- Hilang selera makan dan penurunan berat badan
- "Rasa lebih baik mati", kadangkala disertai dengan percubaan bunuh diri
- Rasa tidak tenteram dan mudah marah
- Kurang daya tumpuan dan ingatan
- Sukar membuat keputusan
- Simptom fisiologi seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman
- Kurang nafsu seksual
- Pergerakan menjadi terhad/ kaku atau menjadi resah gelisah
- Mudah cemas atau fobia
Siapa yang berisiko ?
- Pernah mengalami kemurungan pada masa lepas
- Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kemurungan
- Menghidap penyakit kronik (Kanser, Diabetes, Hipertensi, Sakit Buah Pinggang, Strok, Sakit Jantung atau kesakitan berpanjangan)
- Hilang anggota tubuh badan secara tiba-tiba
- Kematian orang yang disayangi secara tiba-tiba
- Perceraian
- Masalah rumahtangga
- Masalah keluarga
- Penyalahgunaan dadah dan arak
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu
- Mangsa penderaan
- Tekanan di tempat kerja
- Pernah mengalami penderaan semasa kanak-kanak
- Kecenderungan mudah risau atau bimbang
- Perasaan sedih semasa dalam pantang (selepas bersalin)
- Krisis ekonomi
Adakah Penyakit Kemurungan ataupun Depresi ini penyakit biasa ?
Berdasarkan kajian beban penyakit yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit depresi ataupun lebih mudah difahami dengan penyakit kemurungan dijangka menjadi penyakit kedua teratas menjelang 2020 selepas penyakit jantung di seluruh dunia.
Penyakit kemurungan tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat.
Potensi penyakit ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, pangkat, jantina dan bangsa seseorang. Ia perlulah ditangani sebaik-baiknya terutama sekali dikalangan ahli keluarga kita sendiri.
Salah Faham Tentang Kemurungan
Terdapat segelintir masyarakat yang salah faham tentang penyakit kemurungan. Salah faham ini perlulah di perbaiki seberapa segera supaya penyakit ini tidak melarat.
Antara salah faham yang sering berlaku ialah penyakit ini tidak boleh dirawat. Ada juga berpandangan penyakit ini tidak perlu dirawat dan ia boleh hilang dengan sendirinya.
Yang menyedihkan ada segelintir masyarakat berpandangan penyakit kemurungan adalah sesuatu yang memalukan dan mereka merasa pesakit depresi mempunyai karektor yang lemah.
Salah faham ini perlulah diperbetulkan.
Langkah Pencegahan
Sekiranya penyakit ini sedang berlaku kepada anda seharusnya perlu dirawat. Penyakit ini boleh dirawat. Lebih 80% daripada pesakit ini dapat disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang teratur dan intensif seperti penggunaan ubat 'Anti-depressant', terapi elektrokonvulsif (ECT), psikoterapi, kaunseling dan ikhtiar melalui rawatan menggunakan ayat Al-Quran.
Antara langkah pencegahan yang dicadangkan adalah seperti berikut :
1) Ketahui penyakit anda
2) Patuh kepada ubat-ubatan dan rawatan susulan
3) Bertenang dan sentiasa bersikap positif
4) Rancang kewangan anda
5) Amalkan gaya hidup sihat
6) Menyertai aktiviti yang akan membuat kita rasa gembira. Contohnya bersenam, menonton wayang, menyertai aktiviti keagamaan atau sosial
7) Pecahkan tugasan yang besar kepada yang kecil dan beri keutamaan.
Terdapat banyak lagi langkah pencegahan yang disyorkan oleh pakar. Apa yang penting sebagai orang yang beriman kita perlu yakin bahawa setiap ujian yang berlaku menunjukkan Allah sayang kepada hamba-hamba-Nya.
Pasti ada hikmah setiap apa jua yang berlaku dalam hidup ini. Baik, buruh, jahat, baik, malapetaka dan sebagainya pasti terdapat rahsia yang Allah ingin kita fikirkan.
Sekiranya anda salah seorang pesakit daripada penyakit ini, sebenarnya anda telah dipilih oleh Allah dan percayalah Allah ingin meningkatkan darjat anda menjadi hamba-Nya yang lebih bertaqwa. Insyaa Allah.
Kesimpulan
Setiap penyakit yang hadir dalam hidup ini ada ubatnya. Sebagai umat Nabi Muhammad, kita bersyukur kerana kita mempunyai peninggalan mukjizat yang terbesar yakni Al-Quran. Al-Quran adalah syifa' yakni ubat bagi merawati apa jua penyakit termasuk penyakit kemurungan ataupun depresi.
Beramallah dengan Al-Quran sebagai solusi setiap masalah yang berlaku di dunia ini. Dampinginya Al-Quran yang merupakan kalam Allah. Semoga Al-Quran menjadi sahabat/peneman kita ketika di alam barzakh kelak dan memberi syafaat kepada kita di akhirat kelak. Insyaa Allah.
Semoga perkongsian ini memberi sedikit sebanyak manfaat kepada anda. Jumpa lagi di post yang lain kelak. Insyaa Allah.
Sekian. Terima kasih.