5 Ciri-Ciri Perawat Yang Langgar Hukum Syarak




Assalamualaikum wahai pembaca budiman. Terima kasih kerana sudi membaca artikel blog saya ini.

Kebanyakan pesakit yang saya pernah rawat sebelum ini ada juga yang keliru dengan perawat yang benar-benar mengikut hukum syarak. Ramai pesakit yang terjebak dengan rawatan yang mengelirukan kerana tiada rujukan yang sahih.

Dikesempatan kali ini, saya berkongsi  kepada anda 5 ciri-ciri perawat yang  bertentangan dengan syarak.

Ini bertujuan agar anda kita dapat mengenali perawat yang bagaimana sepatutnya anda dapatkan bantuan pengubatan yang dibenarkan syarak. 


1) Menggunakan khidmat makhluk halus

Sebahagian perawat menggunakan khidmat makhluk halus dalam kalangan jin sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses perawat pesakit. Allah SWT telah memberi peringatan tentang kesan orang-orang yang menjadikan jin sebagai pendamping dengan firmanNya :


" Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang daripada manusia, menjaga, melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat" - Surah al-Jinn (72):6


Namun begitu, pandangan Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Majmu' al-Fatawa telah menyatakan :


" Mana-mana orang yang boleh  mengarahkan jin mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya, beribadat kepada Allah, mentaati Nabi-Nya sebagaimana ia menyuruh manusia maka ini adalah semulia-mulia wali Allah. Dia juga adalah pengganti para khalifah Rasul dan pembantunya. "


Sekiranya jin itu digunakan untuk tujuan yang harus samalah dengan menyuruh  manusia kepada perkara yang harus. Sebagaimana juga para nabi yang dianugerahkan Allah SWT kelebihan mereka, seperti Nabi Allah Sulaiman, Nabi Yusof, Nabi Ibrahim, Nabi  Musa, Isa dan Nabi Muhammad SAW.

Tetapi kalau mereka disuruh untuk melakukan sesuatu yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya, sama ada berbentuk syirik, membunuh orang yang tidak berdosa, atau menyeksa orang sehingga merosakkan otaknya sehingga mereka lupa, maka perbuatan ini adalah berdosa disisi Allah SWT.


2) Memperlihatkan perkara-perkara ajaib dan luar biasa

Terdapat perawat melakukan perkara yang aneh dan luar biasa walaupun kelihatan seolah-olah selari dengan syariat Islam. Antara perbuatan tersebut ialah melakukan pembedahan batin, menangkap jin dan mengurungnya dalam botol, membaca hati pesakit, mengaku menerima kasyaf, mendapat keramat dan sebagainya.


3) Mengajar ilmu dan amalan kebatilan

Sesetengah perawat mengajar ilmu-ilmu kebatinan yang bukan berasal daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Antara contoh ilmu kebatinan tersebut ialah Ilmu Persilatan Saidina Umar, Ilmu Persilatan Saidina Ali dan sebagainya. Rasulullah SAW tidak pernah mengajar akan ilmu-ilmu sebegini tetapi baginda menggalakkan umatnya agar melindungi diri dengan iman dan pertahanan diri melalui amalan-amalan yang tidak bertentangan dengan syarak.


4) Menggunakan tangkal, azimat dan barang-barang hikmat


Sesetengah perawat membekalkan pesakit mereka dengan azimat, tangkal atau barang barang hikmat sebagai pelindung, pelaris, pengasih dan seumpamanya. Malah, para pesakit turut dikelirukan oleh para perawat tersebut yang mendakwa barang hikmat tersebut seperti cincin, minyak kasturi telah dibaca dengan ayat-ayat al-Quran.


5) Memperoleh ilmu daripada sumber dan kaedah yang aneh


Sesetengah perawat mempelajari ilmu daripada sumber yang aneh dan sukar dipercayai seperti melalui mimpi berjumpa wali, malaikat dan orang-orang yang soleh. Kaedah mempelajari ilmu sebegini bertentangan prinsip pengajaran dan pembelajaran dalam Islam.

Bidang perubatan merupakan suatu bidang yang memerlukan minat, kesungguhan, penekunan, disiplin yang tinggi dan aqidah yang mantap. Selain itu, penuntut mesti menghadapi suatu tempoh masa untuk dibimbing oleh guru. Secara tegasnya, melahirkan seorang perawat pengubatan Islam adalah sama seperti melahirkan seorang doktor yang pakar dalam perubatan moden.

Selain itu, seseorang perawat itu dapat dikenalpasti bahawa kaedah rawatannya tidak mengikut kehendak syariat berdasarkan amalan kebiasaan berikut:

i. Menanyakan nama pesakit dan nama ibunya.

 

ii. Mengambil sesuatu barang kepunyaan pesakit seperti sapu tangan, secebis kain atau sejenisnya.

 

iii. Pesakit hendaklah memberitahukan namanya, kampungnya dan masalah yang sedang dihadapinya. (Untuk tujuan tilikan. Jika untuk rekod, HARUS)

 

iv. Menuliskan susunan huruf-huruf atau simbol yang tidak beraturan atau membacanya.

 

v. Meminta binatang atau sembelihan haiwan untuk dijadikan korban atau sembahan.

 

vi. Memberikan sesuatu kepada pesakit agar pesakit menanamnya di dalam tanah sebagai pendinding.

 

vii. Memberikan kain kepada pesakit untuk dijadikan sebagai pendinding atau didakwa kain sebagai penjaga.

 

viii. Menyuruh pesakit untuk tidak bergaul dengan masyarakat.

 

ix. Meminta pesakit untuk tidak menyentuh air dengan meletakkan syarat-syarat yang tidak masuk akal atau bertentangan dengan syariat.

 


Walaupun pada asalnya sebahagian amalan perbomohan dalam masyarakat Melayu itu bertentangan dengan ajaran Islam, namun selepas kehadiran dan penerimaan Islam secara meluas oleh masyarakat Melayu, aspek-aspek tertentu dalam pengamalan perbomohan itu telah diubah agar serasi dengan ajaran Islam.

Sumber : Ebook 40 Soal Jawab Pengubatan Islam


Kesimpulan

Sebagai perawat Islam, tugas menyampai dakwah tentang ilmu pengubatan Islam harus dilakukan demi kebaikan umat Islam khasnya. Ramai masyarakat Islam khususnya di Malaysia masih keliru dengan pengubatan Islam yang benar-benar mengikut syarak. Ada yang menganggap dengan hanya menggunakan ayat Al-Quran walaupun kaedah yang tidak mengikut syariat Islam adalah syarat ia adalah rawatan Islam.  

Tugas sebagai perawat Islam bukan sekadar mengubati malah sebagai pendakwah yang menyampaikan kebaikan. Jadi...nasihat saya berhati-hatilah memilih perawat Islam.

Semoga artikel blog kali ini membantu membuka minda anda. InsyaAllah. 

Sekian. Terima kasih.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama