Formula 3S Bagi Perawat Pengubatan Islam


Assalamualaikum para pembaca blog yang budiman. Terima kasih kerana sudi menjengok blog saya ini.

Kali ini saya ingin berkongsi maklumat istimewa kepada perawat pengubatan Islam tentang formula untuk merawat pesakit. Jika anda sebagai perawat, saya sarankan anda amalkan formula ini.

Formula ini saya pelajari dari pengasas Pusat Rawatan Darul Mualij iaitu Ustaz Hassan bin Ishak. 

Sebagai perawat kadang-kadang kita terlupa dengan siapa sebenarnya kita cuba lawan. Musuh yang ingin kita perangi adalah makhluk jin yang memang tidak mampu kita lihat. Perawat yang cekal dan sabar perlu tempuhi pelbagai cabaran sebagai perawat khususnya dalam bidang pengubatan Islam.

Dengan formula 3S ini semoga menjadi peringatan bagi diri saya khususnya dan juga perawat lain amnya agar mempraktikkan formula tersebut.

Berikut adalah formula yang saya maksudkan.


1) S - SEBELUM

Formula S yang pertama iaitu SEBELUM merawat. Perkara pertama yang perlu seseorang perawat lakukan sebelum merawat ialah amalan pendinding diri. Kadangkala ada yang sebut sebagai amalan benteng diri. Walau bagaimanapun persiapan diri perlu sentiasa dilakukan kerana serangan musuh yang tidak nampak ini sentiasa wujud di mana sahaja dan bila-bila masa.

Persiapkanlah diri dengan amalan pendinding diri yang mantap. Sentiasa beramal secara istiqamah agar terhindar dari musuh nyata dan tidak nyata.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Formula S pertama ini perlu dilakukan jika anda sebagai seorang perawat pengubatan Islam.

Sebagai contoh kami sebagai perawat di Pusat Rawatan Islam Darul Mualij diajar agar istiqamah dengan amalan Manzil setiap hari sebagai amalan pendinding diri. Tidak kiralah apa jua amalan yang muktabar dan diperakui ulama dibolehkan untuk beramal seperti Mathurat, Hizib Bahr, Wirid Sakran dan lain-lain amalan pendinding diri dari gangguan syaitan.

Sebagai perawat kita perlu selalu diperingatkan agar turut membentengi ahli keluarga juga sebelum keluar merawat pesakit kerana gangguan juga boleh menyerang keluarga terdekat kita.

Persiapkan diri mereka dengan amalan dan sentiasa berwaspada setiap perubahan atau kelainan yang berlaku disekeliling rumah dan pada diri ahli keluarga sendiri.

Formula S pertama ini jika tidak dilakukan, syaitan mudah menyerang dari arah yang tidak disangka-sangka. Perbanyakkan doa semoga Allah melindungi diri serta ahli keluarga dan memudahkan setiap urusan perawatan.



2) S - SEMASA

Saat yang paling kritikal adalah ketika merawat pesakit terutama pesakit yang memang ada gangguan sihir, saka dan asyik. Walaupun pada mulanya perawat ingin melakukan rawatan bekam sebagai contoh, jika pesakit memang telah ada gangguan pasti perubahan emosi yang drastik, sakit tubuh dan boleh sampai ke tahap berlakunya kesurupan.

Menyantuni pesakit dengan kaedah yang  betul semasa merawat adalah momen yang kritikal sebenarnya. Ramai juga perawat yang terkandas dan gagal semasa merawat. 

Sebaiknya terlebih dahulu kenal pasti apa masalah pesakit dengan melakukan beberapa sesi ujian dan analisa bagi mengenalpasti punca penyakit.

Apabila telah kenal pasti puncanya, insyaAllah mudah bagi perawat untuk merawat.

Bab ikhtilat juga menjadi ujian bagi perawat. Sebagai perawat pengubatan Islam, bab ini sangat penting untuk dijaga. Pastikan menjaga batas jika ingin merawat wanita yang bukan mahram. 

Seboleh-bolehnya biarlah pesakit wanita dirawat oleh perawat wanita sahaja dan begitu juga disebaliknya.

Pemakaian menutup aurat dengan sempurna adalah yang terbaik selain daripada mengelak dari menyentuh kulit pesakit yang bukan mahram. Sebaiknya pesakit wanita ditemani suami atau ahli keluarga yang terdekat mereka agar terhindar dari sebarang fitnah.

Semasa merawat adalah ujian yang sangat besar bagi perawat. Di sinilah hati perawat akan diuji. Syaitan akan mula menghasut, menfitnah, menguji dan cuba membolak-balikkan hati perawat khususnya dan pesakit umumnya.

Disinilah juga hati perawat akan diuji dengan kehebatan diri perawat sejurus pesakit sembuh dari penyakit yang telah lama dialami. Perawat akan merasa bangga serta hati selaputi rasa ujub dengan sikap 'akulah yang menyembuhkan pesakit itu' . Nauzubillahiminzalik. Semoga dijauhkan.

Kami di Pusat Rawatan Islam Darul Mualij diajar supaya sentiasa menjaga disiplin ketika merawat. Analisa pesakit adalah sangat ditekankan sebelum memulakan rawatan. Kenal pasti terlebih dahulu apakah masalah pesakit, menjadi pendengar setia setiap luahan pesakit, catat dan rekod setiap keluhan dalam borang pesakit, kenal pasti punca penyakit dan maklumkan kepada pesakit ini hanyalah jalan ikhtiar sahaja, segala kesembuhan kita kembalikan kepada Allah.

Selepas perawat telah kenal pasti apakah punca penyakit barulah perawat boleh mula merawat pesakit. Proses merawat perlukan ilmu dan pengalaman. Penyakit mudah sembuh jika perawat berjaya kenal pasti punca sebenar sesuatu penyakit.

Apa yang penting sebagai perawat letakkan sepenuh hati bahawa "Kita hanya ikhtiar, kesembuhan milik Allah". Tiada siapa yang boleh menyembuhkan penyakit melainkan izin Tuhan yang menguasai seluruh langit dan bumi.



3) S - SELEPAS

Ini formula 'S' terakhir untuk perawat pengubatan Islam iaitu SELEPAS rawatan. Apa yang patut kita sebagai perawat lakukan.

Sebagai perawat kita perlu sentiasa diingatkan bahawa musuh yang ingin kita berdepan adalah musuh yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Mereka mampu menyerang perawat dari arah kiri, arah kanan, arah depan dan arah belakang dengan izin Allah. Jika kita leka dan lalai maka mudah para syaitan mempengaruhi hati kita dan yang paling malang akan menyakiti fizikal kita.

Sehebat manapun amalan kita jika Allah ingin menguji seseorang perawat...ia pasti akan diuji. Berat atau ringan sesuatu ujian itu bergantung kepada Tuhan yang memiliki segala makhluk langit dan bumi.

Sebagai contoh apa yang berlaku pada Ustaz Datuk Kazim Elias yang diuji dengan ujian sihir yang dihantar kepada beliau. Beliau bukan sahaja seorang pendakwah terkenal malah beliau juga pengamal ilmu perawatan Islam yang hebat juga. 

Berbalik kepada formula S terakhir ini, sebagai perawat elakkan sejurus merawat terus bercampur dengan ahli keluarga di rumah seperti makan bersama, bersantai bersama dan sebagainya tanpa kita membersihkan diri kita terlebih dahulu.

Selepas merawat pesakit sebenarnya terdapat bisa yang melekat pada diri perawat. Bersihkan terlebih dahulu bisa sebelum sampai di rumah dengan amalan rukyah asas seperti 3 qul, selawat, ayatul qursi dan sebagainya. Kemudian tiup dan sapu seluruh badan.

Jika boleh sejurus sampai dirumah, perawat dinasihatkan amalkan mandian ais limau untuk pembersihan bisa secara total di tubuh badan agar ahli keluarga kita tidak diserang syaitan yang mungkin berdendam dengan perawat. Kebiasaanya apabila perawat telah mula mengganggu ketenteraman jin syaitan pada pesakit, mereka akan mula menyerang perawat. Jika mereka sukar menyerang perawat, ahli keluarga perawat pula akan menjadi sasaran mereka. Jadi berhati-hatilah !



KESIMPULAN

Ketiga-tiga formula ini saya cuma kongsikan secara dasarnya sahaja. Mungkin anda sebagai perawat mempunyai buah fikiran anda sendiri berdasarkan ilmu dan pengalaman sendiri. Apa yang penting di sini adalah disiplin perawat rawatan Islam yang benar-benar mengikut syarak agar mendapat keredhaan Allah Subhanawataa'la.

Inilah matlamat perjuangan sebagai perawat pengubatan Islam. 

Semoga bermanfaat. Sekian. Terima kasih.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama