Mungkin anda ragu-ragu dengan rawatan jarak jauh. Agama Islam mempunyai solusi untuk setiap permasalahan bagi penentuan sesuatu hukum menurut syariat Islam.
Rawatan jarak jauh merupakan salah satu solusi bagi mereka yang mempunyai kekangan waktu dan kesukaran untuk pergi ke tempat rawatan. Tetapi adakah semua kaedah rawatan jarak jauh dibenarkan agama Islam ?
Saya kongsikan post pada kali ini tentang persoalan rawatan jarak jauh menurut pandangan jumhur ulama'.
Persoalan Tentang Hukum Rawatan Jarak Jauh
Soalan :
Ada hamba Allah yang bertanyakan pendapat saya tentang kaedah perubatan Islam jarak jauh. Adakah ianya dibolehkan? Adakah kaedah ini haram secara mutlak atau ada perbahasannya?
Kaedah Yang Digunakan :
1. Dari kajian saya melalui pembacaan dan juga cerita yang diterima dari pesakit, antara pendekatan yang digunakan untuk menjayakan kaedah ini ialah dengan menggunakan alat perhubungan telekomunikasi seperti telefon bimbit, telefon rumah, internet (skype, google hangout dan lain-lain).
Dengan penggunaan alat perhubungan yang saya sebutkan di atas, perawat akan membacakan ayat-ayat ruqyah dan pesakit pula akan mendengar bacaan tersebut. Adakah Kaedah ini dibenarkan dari segi syarak ? kerana tidak terdapat sebarang unsur syirik, khurafat dan juga meragukan disini.
Pesakit cuma dapat mendengar dengan jelas bacaan dari perawat. Kaedah ini bagi saya sama sahaja seperti pesakit mendengar bacaan ayat-ayat ruqyah melalui laptop, radio cd, mp3 dan sebagainya.
Cuma perawat sahaja tidak berada bersama pesakit secara bersemuka. Adakah Kaedah ini dibenarkan oleh syarak?
2. Kaedah yang seterusnya pula ialah rawatan jarak jauh menggunakan doa-doa yang mustajab, ZIKIR, SOLAT HAJAT, BERSEDEKAH dan sebagainya. Beza rawatan menggunakan doa ini dengan rawatan menggunakan alat telekomunikasi di atas ialah rawatan ini sesuai untuk pesakit yang enggan untuk dirawat. Ataupun pesakit yang dah terlalu uzur samada disebabkan faktor usia, ataupun tahap kesihatan yang tidak mengizinkan. Adakah Kaedah ini dibenarkan oleh syarak ?
Jawapan :
Kaedah rawatan jarak jauh adalah antara kepelbagaian kaedah rawatan yang dipraktikkan di pusat-pusat rawatan Islam di Malaysia. Hal ini berdasarkan hadith Nabi saw yang menyarankan agar seseorang itu mendoakan sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabatnya itu. Ia juga termasuk dalam konteks doa yang mendapat perkenan Allah swt kemakbulannya.
وعن أبي الدرداء رَضِÙŠَ اللَّÙ‡ُ عَنهُ أنه سمع رَسُول اللَّÙ‡ِ صَÙ„َّÙ‰ اللَّÙ‡ُ عَÙ„َيهِ ÙˆَسَÙ„َّÙ… يقول: ما من عبد مسلم يدعو لأخيه بظهر الغيب إلا قال الملَÙƒ: ولك بمثل
Maksudnya: “Tidak ada seorang hamba Muslim yang mendoakan kebaikan untuk saudaranya di belakangnya (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan terdapatnya Malaikat yang akan berkata: Bagi engkau segala kebaikan yang engkau doakan untuknya.”
عن عبد الله بن عمرو عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ما دعوة أسرع إجابة من دعوة غائب لغائب
Maksudnya: “Tiadalah doa yang segera dimakbulkan (oleh Allah) daripada doa seorang Muslim kepada seorang Muslim yang lain yang tidak bersama dirinya.”
Berkaitan dengan penggunaan kaedah rawatan jarak jauh dalam rawatan penyakit, dapat dibahagikan kepada dua pandangan yang utama dari sudut keharusan dan pengharaman penggunaan kaedah ini.
Pertama: Diharuskan untuk menggunakan kaedah jarak jauh jika terdapat keuzuran dan kepayahan dari sudut keengganan pesakit untuk datang mendapatkan rawatan akibat daripada masalah dan penyakit yang dihadapi seperti masalah gangguan, terkena sihir sehingga menyukarkan pergerakan atau boleh mendatangkan kecederaan jika bersama dengan orang ramai dan lain-lain lagi.
Selain itu, diharuskan juga menggunakan kaedah ini dalam situasi ia dilakukan dalam keadaan langsung di mana perawat dan pesakit saling berhubung dan saling mendengar antara satu sama lain melalui penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon.
Ini bermakna semasa rawatan sedang dilakukan wujud perhubungan langsung antara pesakit dan perawat serta ia dilakukan dalam keadaan kedua-dua pihak sedar.
Walaupun begitu, dari sudut pelaksanaan kaedah ini, perawat perlu menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah dan menggunakan bahan rawatan yang dibenarkan serta menghindari daripada menggunakan jampi yang mengandungi unsur syirik dan pemujaan kepada selain Allah serta bahan-bahan yang diharamkan seperti najis, benda-benda yang kotor, busuk, menjijikkan dan sebagainya lagi.
Dalam situasi yang lain pula, juga termasuk dalam rawatan jarak jauh adalah melalui amalan solat hajat dan mendoakan kesembuhan bagi pesakit.
Melalui amalan ini, ia adalah diharuskan, bahkan Nabi SAW sangat menggalakkan seseorang Muslim itu mendoakan kesejahteraan bagi Muslim yang lain dan adalah lebih berkesan jika doa yang dipanjatkan tersebut tidak diketahui oleh sahabat yang didoakan tersebut melainkan Allah swt sahaja.
Kedua: Diharamkan menggunakan kaedah rawatan jarak jauh sekiranya tidak melibatkan sebarang perhubungan secara langsung antara perawat dan pesakit atau menggunakan perantaraan makhluk halus. Contohnya perawat menyatakan bahawa beliau akan menjalankan rawatan (iaitu selepas mendapatkan maklumat dan persetujuan dari pesakit atau ahli keluarga) apabila tibanya waktu malam, pesakit akan didatangi seseorang yang tidak dikenali ketika tidur (dalam keadaan tidak sedar) untuk merawat pesakit tersebut.
Pesakit juga disyaratkan untuk meletakkan bahan-bahan tertentu yang diberikan oleh perawat di bawah bantal tidurnya dengan tujuan rawatan sedemikian.
Cara rawatan sedemikian jelas mengaitkan dengan pertolongan makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Bahkan, ia menyerupai amalan perbomohan yang mendakwa bahawa akan ada makhluk yang akan membantu merawat pesakit tersebut ketika tidur seperti akan didatangi oleh makhluk berjubah putih dan berserban atau mendakwa bahawa akan didatangi oleh seorang syeikh yang datang merawat pesakit itu dan pelbagai keadaan lagi.
Secara umumnya cara rawatan sedemikian mempunyai unsur mistik dan luar biasa serta rawatannya tidak dilakukan seperti mana rawatan yang normal. Dalam sesetengah keadaan, perawat itu berusaha untuk menunjukkan kelebihan dan kemampuannya dalam rawatan sehingga dirinya dipandang sebagai seorang yang hebat dan dipercayai.