Zaman sekarang terdapat ramai yang mengaku sebagai pengamal perubatan Islam ataupun perawat Islam. Ia tumbuh bagai cendawan sehinggakan mereka yang ingin mendapatkan rawatan menjadi ragu-ragu tentang ciri-ciri perawat Islam yang tulen dan menepati syariat Islam.
Ada juga kes yang di mana pesakit kena tipu dengan perawat yang mengaku sebagai pengamal perubatan Islam, walhal melakukan banyak pelanggaran syariat sebagai perawat Islam.
Kes kena tipu dengan perawat sehingga dikenakan caj rawatan melampau juga tidak ketinggalan banyak yang berlaku.
Ada juga yang mengaku perawat Islam tetapi ketika merawat melakukan ritual tertentu yang diragui dan tidak bersandarkan syariat Islam.
Jadi pada post kali ini saya ingin berkongsi pencerahan dari Jabatan Mufti Negeri Pahang terhadap salah seorang penanya yang ingin tahu cara mengenali ciri-ciri pengamal perubatan Islam yang mengikut syariat.
Persoalan Tentang Cara Mengenali Perawat Islam Yang Tulen
Soalan :
Assalam, Nama saya Zaikiah. Boleh pihak tuan bantu saya untuk mengenali ciri-ciri seorang pengamal perubatan Islam yang tulen dan betul mengamalkan kaedah perawatan berlandaskan Islam ? Boleh ke seseorang yang mendakwa dirinya seorang pengamal perubatan Islam memberitahu seseorang itu didampingi saka keturunan di depan orang ramai sedangkan orang tersebut tidak pernah tahu dan menyatakan tidak pernah mimpi atau alami tanda-tanda didampingi atau diganggu saka.
Jawapan :
Islam adalah agama yang mementingkan kesempurnaan dan menjaga kemaslahatan umatnya. Ia meliputi pelbagai aspek kehidupan antaranya akidah, ibadah, siasah, ekonomi, muamalah, jenayah dan termasuklah berkaitan kesihatan dan pengubatan.
Berkaitan dengan soalan puan, untuk mengenali seseorang pengamal perubatan Islam perlu dilihat dari pelbagai sudut iaitu, ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh pengamal, amalan yang diamalkan oleh perawat, kaedah yang digunakan oleh pengamal untuk mengesan penyakit, bahan-bahan yang digunakan oleh pengamal sewaktu membuat rawatan, tingkah laku serta sikap pengamal, latar belakang dan pengalaman pengamal perubatan tersebut.
Perkara-perkara ini perlu dilihat dan diteliti terlebih dahulu sebelum seseorang pesakit menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam ini. Ianya bertujuan untuk menjaga kesucian Islam itu sendiri dan menjauhkan dari perkara-perkara syirik dan khurafat.
Berikut adalah penjelasan dari klasifikasi di atas :
1. Bacaan ayat-ayat Al-quran oleh perawat
-Perawat hendaklah menghafaz ayat-ayat ruqyah dengan lancar,
-Bacaan ayat-ayat Al-Quran tersebut hendaklah mengikut tajwid yang betul,
-Perawat hendaklah menepati bacaan dari segi fasahah yakni tidak mengubah makna ayat
-Ayat-ayat yang dibaca hendaklah selari dengan syariat.
2. Amalan yang diamalkan oleh perawat
-Setiap amalan yang lakukan oleh perawat rawatan Islam hendaklah tidak bertentangan dengan syariat Islam dan pengijazahan mereka juga hendaklah mengikut syariat.
-Perawat rawatan Islam juga tidak dibenarkan mengenakan pengeras dan pemutus ubat kepada pesakit mereka.
-Perawat juga tidak boleh mengamalkan pantang larang yang bercanggah dengan syariat Islam.
3. Kaedah mengesan penyakit yang digunakan oleh perawat Islam
-Perawat rawatan Islam juga hendaklah tidak mengamalkan kaedah rawatan yang bertentangan dengan syariat Islam.
4. Bahan-bahan yang digunakan oleh perawat semasa rawatan
-bahan-bahan yang seharusnya digunakan oleh perawat hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur syirik dan bahan-bahan tersebut juga mestilah halal dan selamat digunakan serta tidak memudaratkan pesakit.
5. Tingkah laku dan etika
-Perawat hendaklah menyimpan segala kerahsiaaan dan aib pesakit (tidak menceritakan penyakit pesakit kepada orang lain).
-Perawat hendaklah memaklumkan kepada pesakit setiap proses rawatan yang dilakukan dan bayaran yang akan dikenakan kepada pesakit mereka.
-Perawat juga hendaklah memastikan kehadiran mahram / penjaga bagi kes yang pesakitnya berlainan jantina / dibawah umur.
-Perawat juga hendaklah berketrampilan yang mematuhi syariat Islam.
-Perawat juga hendaklah mempunyai pengetahuan dalam mengendalikan kes-kes kecemasan semasa rawatannya.
6. Latar belakang pendidikan perawat
-Perawat hendaklah mempunyai pendidikan agama secara formal dan berstruktur yang boleh dipercayai.
7. Pengalaman perawat dalam rawatan Islam
-Perawat hendaklah mengikuti/menjalani kursus dan latihan rawatan melebihi 6 bulan.
-Perawat juga hendaklah mempunyai pengalaman lebih dari 5 tahun dalam bidang rawatan.
Setiap perawat rawatan Islam tidak boleh memberitahu seseorang pesakit itu didampingi saka di hadapan orang ramai kerana perbuatan tersebut dianggap tidak beradab dan tidak menjaga aib pesakit.
Perawat rawatan Islam hendaklah menjaga etika dan tingkah laku terutamanya dalam menjaga kerahsiaan dan aib pesakit.
Berdasarkan kepada syarat-syarat di atas dapat dilihat bahawa Islam amat mengutamakan kesempurnaan dan kemaslahatan dan menjaga kesucian Islam itu sendiri.
Setiap perawat hendaklah mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan agar tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Justeru itu sebagai umat Islam kita hendaklah teliti dalam membuat pemilihan sebelum menggunakan khidmat perawatan Islam agar kesucian Islam itu terus terpelihara.
Semoga bermanfaat.
Rujukan :
1. Pembangunan Standard Pengukuran Pematuhan Syariah Bagi Pengamal Rawatan Tradisional Dan Komplementari