5 Sebab Gangguan Jin Pada Kaum Wanita


Sepanjang pengalaman saya merawat pesakit yang terkena gangguan jin, majoriti tergolong dari kalangan wanita. Pasti perkara ini bermain-main difikiran anda sekarang  kan! 

Baiklah ..saya kongsikan serba sedikit pengalaman dan pandangan ulama tentang tajuk artikel pada post blog saya kali ini.

Macam-macam tanggapan umum yang bermain difikiran kalau nak dibincangkan perkara ini. 

Dari sudut fitrah kejadian pun telah membuktikan asal kejadian wanita wujud dari rusuk lelaki seperti mana penciptaan Hawa untuk Nabi Adam. Kedudukan dirusuk kiri lelaki menggambarkan wanita perlu sentiasa dilindungi.

Wanita dicipta dari tulang rusuk yang bengkok memberi gambaran bahawa kecenderungan wanita sentiasa melakukan kesalahan dan perlukan peringatan serta bimbingan dari para lelaki.

Perbezaan yang ketara dari sudut penciptaan fizikal turut menjadi bukti bahawa wanita adalah makhluk yang lemah. Mereka perlu selalu diingatkan agar tidak mudah terpesong.

Berikut saya kongsikan 5 sebab gangguan jin pada kaum wanita sebagai panduan anda.


1) Lemah Semangat

Dari sudut kekuatan semangat mungkin ia perkara subjektif untuk dibincangkan. Namun dari sudut gangguan jin kaum wanita mudah menjadi lemah semangat berbanding kaum lelaki yang diciptakan dengan jiwa yang lebih kasar dan keras. Paling ketara kaum wanita menjadi lemah semangat apabila tekanan emosi yang membawa kepada depresi dan mental. Ia memudahkan gangguan jin mudah berlaku pada kaum wanita.


2) Keuzuran Syarie'

Ini salah satu sebab gangguan jin pada kaum wanita. Disebabkan keuzuran seperti didatangi haid dan nifas kaum wanita dilarang untuk mendirikan solat, berpuasa, membaca al-Quran dan pelbagai lagi ibadah khusus yang lain. Hal ini menjadi sebab mereka sentiasa terdedah kepada unsur-unsur gangguan jin kerana keadaan rohani yang lemah.


3) Jin Jatuh Cinta Pada Wanita

Kes seperti ini banyak berlaku pada kaum wanita. Apabila jin mencintai wanita tertentu maka jin akan berusaha untuk menguasai diri wanita tersebut agar sentiasa mendampinginya. Cinta ini boleh berpunca gangguan sihir, saka dan gangguan jin asyik. Kelalaian ketika bersendirian membuka aurat tanpa membaca 'bismillah' sekurang-kurangnya boleh menjadi asbab terdetiknya rasa cinta jin pada wanita. Antara salah satu sebab sukarnya wanita hari ini bertemu jodoh, rumah tangga cerai-berai, tiada nafsu untuk berkahwin, kes lesbian dan pelbagai halangan pada wanita disebabkan jin telah jatuh cinta pada wanita.


4) Penyakit 'Ain

Ingin sentiasa kelihatan cantik tidak dapat dipisahkan dari naluri seorang wanita. Ketika mana mereka mempamerkan kecantikan mereka pada orang lain tanpa mengikut syariat Islam menyebabkan orang lain merasa dengki dan penyakit 'ain mula berlaku. Fitrah wanita yang mempunyai kehendak nafsu yang tinggi kepada kebendaan dunia mendorong wanita sentiasa ingin memiliki lebih dari orang lain. Ditambah pula dorongan rasa sombong ketika hidup senang turut melalaikannya.


5) Mengamalkan Perkara-perkara Syirik, Khurafat dan Tahyul

Perkara-perkara syirik boleh berlaku apabila dukun membekalkan tangkal dan azimat, jampi serapah yang diamalkan atau ritual tertentu yang diajarkan. Hal ini menjadikan mangsa jauh kepergantungannya dengan Allah. Ada sesetengah kes apabila dukun itu sendiri menjadi penyebab berlakunya gangguan jin seperti histeria, kerasukan dan lain-lain bagi tujuan mangsa terikat untuk mendapatkan rawatan daripadanya. Langkah berhati-hati memilih perawat yang syarie' adalah wajar dipertimbangkan terlebih dahulu tanpa perlu terburu-buru mendapatkan rawatan.


Syurga Bagi Wanita Yang Sabar

Bagi anda para wanita yang sekarang sedang diuji dengan musibah penyakit yang disebabkan gangguan jin harus teruslah bersabar dengan ujian Allah ini. Percayalah anda merupakan insan yang cukup istimewa kerana telah dipilih diantara kalangan hamba-hamba-Nya yang bakal masuk ke syurga Allah kelak. Anda perlu yakin dengan penuh rasa keimanan bahawa anda sedang mendapat perhatian sebagai rahmat dan kasih sayang Allah.

Ia bertepatan dengan dalil dari Riwayat al-Bukhari (5652) ini...

Atha’ bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas r.a. telah berkata kepadaku: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha’ menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibn Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh. Nabi SAW bersabda: Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu. Lalu wanita itu berkata: Aku (pilih untuk) bersabar. Wanita itu berkata lagi: Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah. Maka Nabi berdoa untuknya”.


Kesimpulan

Wanita cukup istimewa kejadiannya. Beruntunglah kepada anda yang sentiasa diuji dengan ujian yang berat di dunia yang fana ini. Istimewanya wanita sehingga Allah wujudkan surah khusus untuk wanita (An-Nisa') dalam Al-Quran. Nampak tak betapa beruntungnya anda sebagai wanita.

Ditambah pula pada anda para wanita yang sentiasa diuji dengan gangguan jin tanpa kesudahan. Dari satu gangguan kepada satu gangguan yang lain. Tidak pernah putus dengan ujian gangguan jin.

Bertabahlah para wanita sekalian kerana syurga itu tinggi harganya. Hanya yang mampu bertahan dan sabar dengan ujian pasti mendapat ganjaran yang besar disisi Allah.

Sekian dulu perkongsian saya pada kali ini. Semoga bermanfaat kepada anda. Sudi-sudilah berkongsi artikel ini kepada mereka yang anda sayang. Jumpa lagi. Terima kasih.


Sumber & kredit : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama