Saka Mengurut - Pesakit / Pelanggan Tolong Berhati-hati !


Assalamualaikum para pembaca budiman. Antara kesan bagi mereka yang telah mendapatkan rawatan urutan pada tukang urut yang memiliki saka urut adalah badan akan kembali sakit pada masa-masa tertentu setiap bulan. Simptom penyakit yang dialami selalunya adalah sama.

Pesakit juga akan teringat pada tukang urut untuk mendapatkan khidmat urutan ketika sakit dan kadang-kala bantu mempromosi perkhidmatan tukang urut yang memiliki ilmu saka urut kepada kawan-kawan, keluarga dan jiran.

Kebiasaanya bagi pesakit yang istiqamah beramal akan ada satu-satu masa perasan bahawa dirinya yang semakin lama semakin kurang beramal. Rasa diri lebih sibuk melakukan perkara-perkara yang melalaikan. 

Kemudian bagi yang beramal akan kerap sendawa ketika beramal ibadah seperti mengaji, solat, zikir dan sebagainya. Ia cukup berbeza dengan keadaan tubuh sebelum berurut dengan tukang urut yang memiliki saka urut dan selepas mengurut.

Selalui pesakit akan ada rasa ta'jub dengan ilmu tukang urut yang mempunyai saka antaranya...

  • tukang urut tahu di mana point sakit
  • tukang urut tahu sakit apa yang dialami pesakit (selalunya tepat)
  • urut hanya dengan sapu-sapu tanpa tekanan yang kuat (macam urut spa)
  • kaedah urutan berbeza dan unik
  • boleh mengurut pesakit dalam jumlah yang ramai tanpa rasa penat


Disebabkan rasa ta'jub, ia mendorong pesakit untuk terus mempercayai bahawa khidmat tukang urut yang memiliki saka urut ini memberi kesan yang terbaik pada diri pesakit.


Kisah Saya Merawat Pesakit Yang Terkena Gangguan Jin Urut

Ini adalah salah satu pengalaman saya merawat salah seorang pesakit yang terkena gangguan jin urut. Pesakit ini mengadu sakit pada bahagian perut dan badan berasa lesu.

Setelah beberapa bulan menahan kesakitan yang dialami, pesakit menghubungi saya untuk rawatan. Menurut maklumat yang diberikan pesakit telah pun mendapatkan rawatan klinik dan keputusan kesihatan adalah normal. Tekanan darah, kuman darah dalam badan, suhu dan sebagainya adalah normal. Tiada menunjukkan tanda-tanda tubuh pesakit tidak sihat.

Seperti mana kebiasaan rawatan, pesakit perlu di analisa terlebih dahulu sebelum sesi rawatan diteruskan.

Daripada maklumat yang diisi dalam borang rawatan menunjukkan ada tanda-tanda gangguan cuma saya tak dapat nak pastikan apakah punca sebenar gangguan yang berlaku.

Setelah selesai sesi analisa, maka rawatan rukyah dilakukan.

Ketika rukyah pesakit mengalami sendawa "bulppp....bulppp.....bulpppppp". Ia berlaku tidak henti-henti ketika rukyah.

Ada sesekali pesakit kerasukan dan menjerit seperti marah cuma nada suaranya berlainan.


Pesakit Mendapat Bisikan "Urut"

Ketika kerasukan, jin tidak memberi respon untuk berbicara melainkan nada marah sahaja. Saya bertanya kamu sihir ke ? Jin itu cuma menggeleng kepala sahaja.

Kamu bertuan ke ? tanya saya

Jin hanya menggangguk sahaja.

Kemudian saya lanjutkan soalan apa tujuan kamu menggangu dia ?

Jin tidak memberi respon melainkan tunduk sahaja.

Berulang saya tanyakan soalan yang sama sebanyak tiga kali, namun jawapannya hanya diam membisu seribu bahasa sahaja.

Kemudian saya memanggil pesakit untuk sedarkan pesakit kembali. 

Sejurus sedar dari kesurupan pesakit memberi respon ketika saya bertanyakan soalan tujuan jin itu menggangu, pesakit memaklumkan pada saya bahawa ditelinganya ada satu bisikan "tukang urut" setiap kali soalan saya tentang apakah tujuan jin ini mengganggu pesakit ?


Soal Jawab Tentang Sejarah Mengurut

Setelah mendapat idea dari jawapan yang diberikan saya terus bertanya kepada pesakit dalam keadaan pesakit sedar. Setiap soal jawab ini membantu memudahkan rawatan selanjutnya.

Pernah ke mendapatkan khidmat mengurut dengan seseorang sebelum ni ? tanya saya.

Pesakit menjawab .." Ada... dan setiap bulan akan mengurut dengan tukang urut ni "

Sejak bila ? tanya saya lagi

"Sejak awal tahun ini (iaitu Jan 2023) sampai bulan lepas (Oct 2023)" jawab pesakit

Saya tanya lagi "Kenapa berurut dengan tukang urut ni ?"

Pesakit menjawab " Rasa selesa bila berurut dan harga pun lebih murah dari tukang urut biasa"

Selepas mendapat pengesahan bahawa maka sahihlah memang pesakit mendapat khidmat tukang urut maka saya lanjutkan soalan untuk bertanya tentang tukang urut pula kepada pesakit.


Tanda-Tanda Tukang Urut Mempunyai Ilmu Saka Urut

Kesan kepada tubuh pesakit boleh jadi berpanjangan jika tidak dikesan awal. Langkah berhati-hati ketika memilih perawat adalah penting supaya terhindar dari gangguan jin saka urut.

Antara tanda-tanda seseorang tukang urut itu mempunyai ilmu saka urut ialah...

➡️ Pandai mengurut setelah bermimpi. Belajar dalam mimpi sahaja.

➡️ Tahu di mana point sakit tanpa memegang pesakit

➡️ Urutan hanya biasa sahaja tetapi sembuh dengan segera

➡️ Sembuh hanya pada tempoh tertentu sahaja. Pesakit rasa ta'jub.

➡️ Akan mudah teringat dengan tukang urut setiap kali sakit walaupun dalam tempoh terdekat.

➡️ Mengurut pada hari dan masa tertentu sahaja.

➡️ Kebiasaannya ketika mengurut, tukang urut akan diam sebentar sambil menekan point tertentu terutamanya kawasan sekitar perut ke bawah sambil membaca sesuatu.


Adakah Tukang Urut Tahu Diri Memiliki Ilmu Saka ?

Kebanyakannya mereka tahu bahawa mereka memiliki saka urut dan hanya sebilangan kecil yang tidak tahu bahawa diri memiliki ilmu saka urut.

Ada juga yang sediakala tahu keturunan mereka adalah tukang urut yang terkenal di sesebuah kampung suatu ketika dulu tetapi tidak mengetahui bahawa mereka perlu mewarisi ilmu saka urut itu. 

Pelbagai kesakitan yang berulang dialami dalam sesebuah keluarga atau keturunan itu. Apabila makan ubat akan sembuh sementara kemudian akan sakit kembali. Begitulah seterusnya sehingga mereka sedar bahawa keturunan mereka mempunyai ilmu saka urut.

Kebanyakan penyakit yang dialami oleh mereka yang memiliki saka urut ini memiliki simptom yang sama sahaja. Mereka sering sakit kepala, kepala terasa berat, sering sakit pada bahagian sendi-sendi tangan terutamanya tangan kanan, kerap sendawa ketika melihat orang lain diurut dan paling ketara ketika mengurut orang maka akan lebih kerap sendawa panjang "bulrkkkkkkkk" secara berulang.


Adakah Saka Urut Boleh diBuang ?

Semua gangguan saka boleh dibuang dengan izin Allah termasuk juga ilmu saka urut. Kebanyakan mereka yang sedar mempunyai kelebihan mengurut orang agak sukar untuk membuang ilmu saka urut. Ini kerana mereka telah merasa hasil imbuhan dari rawatan urut yang dilakukan secara aktif.

Tukang urut ini merasa seronok melihat pesakit gembira kerana berjaya menyembuhkan penyakit yang dialami para pesakit. Namun dalam keadaan tidak sedar pesakit ini kerap berulang mengurut dengannya. Mereka khayal dalam dunia mereka.

Mereka tidak perlu susah payah menghadiri kursus urutan seperti mana tukang urut profesional lakukan. Tak perlu sijil (SKM), sijil kursus dan sebagainya kerana urutan mereka pun boleh menyembuhkan penyakit.

Ada juga tukang urut yang memiliki ilmu saka urut ni merasa sayang untuk buang saka urut mereka kerana yakin ini adalah ilmu warisan. Mereka merasa sayang dan ia perlu dipelihara sampai ke anak, cucu dan cicit. Nauzubillahiminzalik.

Mereka merasa diri mereka sihat dan mereka tidak sedar sebenarnya anak atau adik beradik mereka merasa sakit yang berulang. Hanya dengan rawatan klinik sahaja telah membantu ahli keluarga mereka sembuh walhal punca penyakit adalah disebabkan pengaruh jin saka urut yang memakan sesuatu dalam tubuh mereka. Wallahua'lam.


Kesimpulan

Bagi pesakit saya nasihatkan berhati-hatilah jika ingin mengurut. Selidiki dulu latar belakang tukang urut. Cuba tanya jiran, rakan dan kenalan yang pernah mendapatkan perkhidmatan urut dengan tukang urut tertentu. Adakah mereka mempunyai tanda-tanda tukang urut seperti mana yang saya telah ceritakan di peranggan atas.

Jika tiada anda... boleh teruskan mengurut dengan tukang urut itu.

Bagi tukang urut yang memiliki saka urut pula saya nasihatkan buanglah saka urut yang dimiliki sekiranya anda ingin menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Selidiki keturunan anda adakah datuk, nenek moyang dulu pernah mewariskan barangan saka yang perlu dijaga dari turun temurun dengan syarat-syarat tertentu.

Percayalah bahawasnya bersekongkol dengan jin adalah perkara maksiat yang Allah murka. Allah telah ingatkan kepada kita dalam Surah Jin ayat yang ke 6


Maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."


Begitulah peringatan Allah kepada manusia agar menjauhi diri dari bekerjasama dengan jin. Berikhtiarlah sehabis baik untuk membuang segala amalan saka atau ilmu warisan yang ditinggalkan oleh keturunan dulu dan semestinya mereka pun tidak tahu bahawa perbuatan mereka adalah salah.

Orang zaman dulu agak sukar untuk memahami ilmu agama Islam seperti mana zaman sekarang ni. Jangan pula kita persalahkan datuk nenek moyang kita dulu yer. Ini semua adalah takdir Allah untuk menguji siapakah dikalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar bertaqwa kepada Allah. Berbaik sangkalah pada Allah. Wallahua'lam.

Saya rasa setakat ini dulu perkongsian saya tentang saka mengurut ni. Kalau saya rajin saya cuba kongsikan pengalaman merawat saka mengurut untuk kisah yang lain pula. Semoga dikurniakan kesihatan yang baik kepada anda dan kefahaman yang terbaik tentang apa yang saya cuba sampaikan pada post kali ini.

Jumpa lagi. Sekian. Wasallam.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama