5 Panduan Asas Elak Ditipu 'Penunggang Agama' Dalam Rawatan Islam


Assalamualaikum kepada anda pembaca budiman. 

Kadang-kadang timbul rasa kesian dengan mangsa yang ditipu oleh perawat yang kononnya mengaku perawat Islam tetapi menggunakan kaedah bathil. Bukan itu sahaja malah ditipu pula dengan upah yang membebankan pihak pesakit.

Scammer yang menggunakan agama untuk keuntungan dunia ni memang ramai. Mungkin kita selamat dari ditipu oleh perawat a.k.a bomoh tetapi bagaimana pula dengan adik-beradik, saudara-mara, kenalan dan sahabat handai kita. 

Sedih juga sebenarnya apabila ramai bangsa saya sendiri sanggup menipu pesakit yang memang memerlukan khidmat rawatan Islam. Sesiapa pun jika di dalam keadaan terdesak, sanggup melakukan apa sahaja walaupun dengan harga yang tinggi. Ada juga mangsa yang sanggup bergolok gadai hanya untuk ikhtiar kesembuhan.

Bagaimana cara mengatasi masalah ini supaya tidak ditipu oleh 'Penunggang Agama' dalam rawatan Islam ?

Saya kongsikan 5 panduan asas elak ditipu oleh scammer dalam bidang rawatan Islam.


1) Imej Perawat dan Keadaan Sekitar Pusat Rawatan

Imej Islamik tidak menentukan seseorang perawat itu ikhlas dalam merawat. Walaupun penting untuk anda kenal pasti imej Islam tu penting sebenarnya sebelum menentukan perawat ini benar ataupun scammer.

Apa yang dikatakan imej Islam ? Asalkan perawat dalam keadaan imej yang  bersih, menutup aurat, kemas dan mengikut standard pemakaian sunnah cukup membantu untuk membuat keputusan awal sebelum mengambil perkhidmatan rawatan Islam.

Pastikan juga kawasan persekitaran di pusat rawatan adalah dalam keadaan bersih, teratur dan kemas. 


2) Caj Bayaran

Bab kewangan ni memang agak sensitif pada masa kini. Tambahan pula zaman sekarang ekonomi semakin mencabar. Kos sara hidup yang semakin lama semakin meningkat menyebabkan ramai perawat a.k.a bomoh terpaksa mengenakan caj bayaran yang tinggi.


Isu caj bayaran ni perkara subjektif sebenarnya. Islam pun tidak melarang mengenakan caj bayaran sekiranya perawat telah melakukan rawatan kepada pesakit. Cuma janganlah diletakkan harga yang terlampau tinggi. Janganlah sampai menekan pesakit yang sedia tertekan dengan cabaran penyakit yang sedang dialami.


Namun pesakit janganlah mengambil kesempatan kepada perawat yang mengatakan caj bayaran ikhlas. Pengorbanan masa, tenaga, kos-kos lain seperti elektrik, sewa dan sebagainya perlulah diambil kira dan dibayar dengan bayaran setimpal.


3) Perihal Bacaan

Asas rawatan Islam adalah rukyah menggunakan ayat Al-Quran. Perawat Islam yang benar ialah sentiasa mengutamakan rukyah untuk setiap penyakit yang hendak dirawat. Doa dan ayat Al-Quran yang dibaca hendaklah dibaca dengan jelas dan tertil.

Setiap sebutan huruf, tanda baris, sabdu dan sebagainya dibaca dengan betul dan jelas. Jika perawat yang merukyah membaca secara semberono, hukum tajwid main langgar sahaja maka saya nasihatkan elakkan lah.


4) Menjaga Aurat dan Batas-Batas yang berkaitan

Syariat telah menetapkan walau dalam keadaan apa sekalipun aurat perlulah menjadi perhatian utama. Penjagaan aurat sangat penting dalam prinsip rawatan syari'yyah. Jika anda mendapatkan rawatan dengan mana-mana perawat pastikan aurat perawat adalah menepati syariat Islam.


Jika anda lihat perawat berseluar pendek, tidak berbaju dan sebagainya pastikan dihindari. Secara logiknya jika bab aurat pun tidak difahami oleh perawat, apa lagi bab rawatan.


Perawat rukyah syari'yyah sentiasa mengingatkan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan agar menjaga aurat, perlu hadir dengan mahram dan sebagainya.


5) 'Follow Up Treatment'

Perawat Rukyah kebiasaannya tidak menekankan rawatan susulan kecuali jika perlu sahaja. Kebiasaannya bagi kes yang dikategorikan sebagai 'hardcore' memerlukan rawatan susulan dan itupun bergantung kepada keadaan.


Perawat Rukyah kebiasaannya hanya memberikan amalan selepas rawatan dan pesakit boleh datang kembali untuk rawatan sekiranya masih belum menemui kesembuhan.


Bagi perawat 'penunggang agama' pula kebiasaannya menetapkan rawatan susulan pada bilangan tertentu sebagai syarat rawatan. Ada juga yang menyatakan untuk melakukan amalan pemutus ubat pada hari terakhir rawatan dan sebagainya.

Jadi berhati-hatilah !


Kesimpulan

Zaman mutakhir ini ramai perawat yang mengaku perawat Islam tetapi amalan dan kaedah yang digunakan tidak mengikut syariat Islam. Ramai juga pesakit yang menjadi mangsa oleh perawat 'penunggang agama' hanya untuk kesenangan dunia semata-mata.


Bidang rawatan Islam khususnya rukyah syari'yyah ini bukan bidang yang mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui oleh perawat dan hanya yang benar-benar perawat rukyah yang faham apa yang saya maksudkan.


Bagi anda yang ingin mendapatkan rawatan Islam sila pastikan selidik dulu serba sedikit latar belakang perawat dan yang paling penting adakah kaedah menggunakan rukyah syari'yyah ataupun syirkiyyah.

Sekian. Terima kasih.


Sumber : Vocket

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama