Cara Memilih Perawat Yang Mengikut Syariat


Assalamualaikum. Lama tak berkongsi ilmu di blog ini. Artikel terakhir saya berkongsi ilmu di blog ini adalah pada bulan Januari 24. Agak lama dah tu. Tak pasti blog ini masih disukai ataupun tidak.

Tetapi takpelah, saya akan terus berkongsi selagi memberi manfaat kepada semua pembaca budiman seperti anda.

Berdasarkan pengalaman saya merawat pesakit sihir, saka, penyakit yang tidak diketahui doktor dan pelbagai penyakit gangguan rohani saya dapati ramai pesakit mengalami episod hitam setelah tersilap langkah menemui perawat batil yang tidak berlandaskan syariat.

Apa yang saya maksudkan di sini adalah BOMOH.

Jawapan yang sering dibalas apabila ditanyakan mengapa merawat dengan bomoh, kebanyakannya tidak tahu atau tidak selidiki dulu kaedah rawatan yang digunakan. 

Ada juga pesakit yang jawab disebabkan terdesak kerana kecemasan pada ketika itu dan yang paling menyedihkan adalah 'asal sembuh'. Asalkan pesakit boleh sembuh dari penyakit yang dialami sudahlah walhal mendapat murka dari Allaah.

Kebanyakannya punca penyakit yang dialami para pesakit tidaklah seberat mana pada asalnya tetapi setelah mereka sedar gangguan yang dialami semakin menjadi-jadi barulah mereka kenalpasti punca yang berkemungkinan besar asbab rawatan dari bomoh.

Ada juga kes dimana pesakit berjumpa perawat yang mengaku perawat Islam tetapi kaedah rawatan tidak mengikut syariat Islam sampai menjadi persoalan adakah perawat ini merawatkah atau merabakah.

Berikut saya kongsikan cara memilih perawat yang diyakini dan semestinya mengikut syariat agama Islam.

  • Pastikan perawat TAK PERNAH melihat jin. Sekiranya perawat mengaku boleh melihat jin, tahu berapa ekor jin dalam badan seseorang dan seumpamanya, tinggalkan lah !

  • Pastikan perawat itu bila ditanyakan boleh scan penyakit perawat jawab boleh scan penyakit yang dialami pesakit dari dekat dan jauh, maka dinasihatkan jauhkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK BOLEH scan melalui melalui Nama / Gambar. Kalau perawat mengaku boleh lakukan, maka saya nasihatkan jauhkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENJAWAB waktu mula merawat selepas jam 12 malam sahaja. Sekiranya jumpa, maka jauhkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENGAKU mempunyai pengalaman telah bunuh jin. Jika ada maka tinggalkanlah !

  • Pastikan ketika perawat merawat pesakit mensyaratkan hanya perawat dan pesakit sahaja di bilik ketika proses rawatan. Jika ada perawatan seperti ini maka tinggalkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENSYARATKAN meminta korban/sembelihan/kenduri sebagai syarat rawatan. Jika ada maka tinggalkan lah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENGGUNAKAN kaedah Alih Telor sebagai kaedah rawatan. Semestinya perawat ini menggunakan jin sebagai khadam maka jauhkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENGGUNAKAN kaedah perawatan yang mengarahkan malaikat. Sah-sahlah tidak mengikut syariat maka tinggalkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENGGUNAKAN kaedah mediumisasi ataupun menggunakan pembantu perawat untuk tujuan dirasuki jin untuk tujuan dialog. Maka jauhkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENGGUNAKAN kaedah Bedah Batin. Ramai pesakit tertipu dengan trik magik dari perawat seperti ini. Jangan  mudah terpedaya maka saya nasihatkan tinggalkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENGGUNAKAN keadah tenaga dalam (aura) ketika merawat. Majoriti perawat yang menggunakan tenaga nafas tanpa langsung ataupun sedikit sekali diperdengarkan ayat rukyah dari Al-Quran ketika merawat. Saya nasihatkan, tinggalkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK membekalkan tangkal/wafak/azimat/batu cincin/minyak pengasih/buluh perindu dan lain-lain selepas rawatan. Jika ada, maka jauhkanlah !

  • Pastikan perawat TIDAK MENGHISAP rokok dulu sebelum memulakan rawatan. Kebiasannya jika ada perawat seperti ini sebenarnya perawat sedang menunggu kedatangan khadam untuk membantunya merawat. Jika anda bertemu perawat seperti ini maka tinggalkanlah !

Sebenarnya banyak lagi contoh lain yang anda perlu hati-hati jika ingin mendapatkan rawatan dengan perawat. Terlalu banyak ciri-ciri perawat a.k.a bomoh mutakhir ini. Senarai ciri-ciri perawat bermasalah yang saya senaraikan di atas adalah sebahagian kaedah yang biasa ditemui oleh pesakit-pesakit.

Apa yang penting dalam kita merawat, kita mendapat redho Allaah. Terdapat ramai sebenarnya perawat Islam yang benar-benar mengikut syariat agama diluar sana. Cuma pesakit perlu ikhtiar mencari dan tahu menilai antara perawat yang hak dan perawat yang bathil.

Memang benar ada beberapa individu katakan apa jua kaedah yang perawat gunakan bukankah ia salah satu ikhtiar kesembuhan.

Ya benar, Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah kurniakan kita akal untuk memilih. Allah janjikan kalau kita usaha, Allah akan berikan kesembuhan tidak kiralah jalan salah atau betul. 

Tetapi adakah jalan yang kita pilih itu mendapat redho Allah ataupun tidak. Adakah rawatan yang kita terima itu bertepatan dengan apa yang telah diajarkan oleh baginda Rasululloh Shollallahua'laihi Wasallam ataupun tidak.

Percayalah setiap apa yang berlaku dalam hidup kita di dunia ini adalah UJIAN Allah. Walau sekecil mana sekalipun ia adalah ujian Allah hatta kena gigit semut api sekalipun adalah ujian Allaah. 

Diakhirat nanti Allah akan mengadili setiap laluan / pilihan yang kita pilih adakah benar ataupun salah. Disitu tiada lagi penyesalan. Apa yang ada hanyalah hukuman. 

Jadi sementara kita mempunyai akal yang sihat dan masih memiliki iman di hati maka carilah jalan perawatan yang benar-benar mengikut syariat Islam. Jangan sampai tersalah pilih!


Kesimpulan 

Sebagai kesimpulannya ikhtiar rawatan adalah hak kita tetapi penyembuhan tetap milik Allaah. Pilihlah rawatan yang menepati syariat Islam. Jangan mudah tersasar dari landasan Islam. Sementara kita mempunyai pilihan, maka buatlah pilihan yang terbaik demi mencapai redho Allaah.

Sampai sini dulu perkongsian saya pada artikel kali ini.

Sekian. Terima kasih kerana sudi baca sampai perenggan akhir ini. Alhamdulillah.

Jumpa lagi. InsyaAllaah.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama