Benarkah Penyakit Al-Ain Mendahului Takdir ?



Assalamualaikum wahai pembaca budiman blog ini. Alhamdulillah saya masih boleh berkongsi informasi tentang perubatan Islam melalui wadah blog ini.

Sebelum saya kongsikan persoalan di atas, adalah lebih baik kita faham apakah itu penyakit Al-Ain. Saya kongsikan maklumat yang saya rujuk dari sumber penulisan daripada Kapten Hafiz Firdaus Abdullah melalui website beliau di HafizFirdaus.com.

Apakah penyakit Al-Ain ?


Penyakit al-‘Ain adalah salah satu bentuk penyakit ghaib yang berlaku kerana unsur hasad atau dengki. Ia boleh disebabkan oleh jin atau manusia atau kedua-duanya. 

Contoh pertama, apabila seorang yang bersih hatinya memuji bayi, jin menjadi dengki lalu mengganggu bayi dengan sesuatu penyakit. 

Contoh kedua, apabila seseorang yang kotor hatinya melihat sesuatu yang indah umpama bayi yang comel, dia mengharapkan berlaku keburukan sehingga akhirnya benar-benar berlaku keburukan. 

Contoh ketiga, orang yang memelihara jin akan menghantar jinnya mengganggu sesiapa yang dia merasa dengki ketika melihatnya, umpama bayi yang comel. 

Penyakit al-‘Ain boleh berlaku kepada sesiapa jua tanpa terhad kepada bayi. Ia boleh berlaku kepada wanita yang cantik, lelaki yang tampan, keluarga yang duduk di rumah mewah dan tuan punya kereta yang canggih. Asalkan seseorang itu memiliki sesuatu yang menyebabkan orang lain merasa dengki, maka penyakit al-‘Ain boleh berlaku.

Tidak ada ciri khusus penyakit al-‘Ain. Ia boleh jadi penyakit fizikal seperti lemah badan, demam dan pengsan. Ia boleh jadi penyakit batin seperti imaginasi bukan-bukan, histeria dan mengamuk. Ia boleh jadi kedua-dua sekali, fizikal dan batin.

Satu contoh penyakit al-‘Ain yang berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah seperti berikut: Abu Umamah menerangkan, ayahku –Sahal bin Hunaif mandi di sungai, dia melepaskan jubah yang dipakai lalu dilihat oleh ‘Amir bin Rabi’ah melihatnya.Sahal adalah seorang pemuda yang putih dan cantik kulitnya (sehingga) ‘Amir bin Rabi’ah berkata kepada Sahal: “Aku tidak pernah melihat kulit yang secantik ini, bahkan kulit seorang gadis sekalipun.” 

Kemudian Sahal diserang penyakit dan penyakit tersebut bertambah parah. Seseorang pergi menemui Rasulullah dan mengkhabarkan kepada baginda: “Sesungguhnya Sahal sakit, dia tidak dapat datang bersama anda, Wahai Rasulullah!”

Rasulullah lalu menziarahinya, lalu Sahal mengkhabarkan tentang apa yang telah dilakukan oleh ‘Amir terhadapnya. Rasulullah bertanya: “Kenapa salah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Tidakkah (sebaiknya) engkau mendoakannya agar diberkati? Sesungguhnya penyakit al-‘Ain itu benar. Berwudhulah kamu untuknya!”

‘Amir lantas berwudhu untuk (menyembuhkan) Sahal. Setelah itu Sahal dan Rasulullah berangkat dengan keadaan sehat. [Muwattha’ Imam Malik, no: 1471]

Benarkah penyakit al-ain mendahului takdir ?


Jawapan:

Tidak benar. Hadis yang dimaksudkan ialah:


الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَيْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا.


" Penyakit al-‘Ain memang ada. Seandainya ada yang dapat mendahului taqdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-‘Ain. Justeru apabila kamu disuruh mandi, maka mandilah.[1] "

Al-‘Ain ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata. Orang dengki lagi jahat, dengan sebab pandangan matanya saja sudah cukup untuk mengenakan orang yang dipandangnya dengan sesuatu penyakit. Akan tetapi ada sebahagian orang yang menolak penyakit al-‘Ain kerana pada perkiraannya ia mustahil. Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membetulkan penolakan ini dengan penetapan: “Penyakit al-‘Ain memang ada.”

Akan tetapi walau dengan pandangan mata yang amat “berkuasa” sekalipun, ia tidak akan memberi pengaruh kepada orang yang dipandangnya melainkan dengan kehendak Allah Subhanahu waTa’ala. Ini kerana pandangan mata hanyalah sebab manakala musababnya tetap bergantung kepada qadar dan qadha Allah.

Adapun maksud sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam: “Seandainya ada yang dapat mendahului taqdir, tentulah ia didahului oleh penyakit al-‘Ain” , maka ia seperti berikut:

Semua penyakit termasuk al-‘Ain berlaku dengan kehendak Allah. Tidak ada penyakit yang dapat mendahului taqdir.

Seandainya ada yang dapat mendahului taqdir, maka yang pertama sekali ialah penyakit al-‘Ain. Ini sebagai satu perumpamaan bagi menunjukkan betapa benar dan berkuasa penyakit al-‘Ain itu.

Antara cara memelihara diri dari penyakit al-‘Ain dan mengubati diri seandainya terkena penyakit al’Ain ialah mandi. Inilah maksud penghujung hadis: “Justeru apabila kamu disuruh mandi, maka mandilah.”


Hadis ini juga memiliki beberapa pengajaran penting di sebaliknya:

  1. Semua penyakit berlaku kerana qadar dan qadha Allah Subhanahu waTa’ala

  2. Sebab-sebab penyakit ada pelbagai seperti pemakanan yang salah, cuaca, bakteria dan virus yang tersebar, jangkitan dan rasukan jin. Namun semua ini adalah sebab yang dapat memberi pengaruh namun musababnya – yakni penyakit – hanya akan berlaku jika Allah mengkehendakinya berlaku.

  3. Sebab-sebab penyakit dipertanggungjawabkan atas manusia. Maka hendaklah kita berusaha untuk menjauhi sebab-sebab yang memberi pengaruh kepada penyakit. Jika sudah terkena penyakit, maka hendaklah kita mengusahakan sebab-sebab penyembuhannya.

  4. Musabab penyakit disandarkan kepada Allah kerana ia hanya dapat menimpa seseorang dengan kehendak Allah. Allah menjadikan penyakit itu berlaku sebagai ujian kepada hamba-Nya, penghapus dosa, merehatkan badan, peringatan kepada yang leka dan pelbagai hikmah yang lain.


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 4058 (Kitab al-Salam, Bab penjelasan tentang pengubatan, sakit dan ruqyah).


Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama