Assalamualaikum para pembaca blog yang budiman. Teringat saya pada kisah seorang ustaz (maaf saya dah tak ingat nama ustaz tu) dari negara seberang yang menceritakan pengalaman merawat seorang hafizah dari pesantren yang dirasuki jin.
Pengalaman ini diceritakan kembali buat pengajaran kepada pelajar-pelajar pesantren di sana.
Kalau difikirkan secara logik, bagaimana seorang hafizah yang telah menghafal 30 juz Al-Quran dalam kepalanya boleh terkena rasukan jin. Kita sebagai orang awam secara automatik akan terfikir bahawa syaitan akan takut untuk mengganggu mereka yang dalam dadanya penuh ayat Al-Quran. Tetapi bagaimana syaitan boleh merasuk ke dalam tubuh badan hafizah tersebut.
Menurut penerangan ustaz tu pula hafizah ini bukan calang-calang hafizah. Walaupun telah menghafaz 30 juz Al-Quran beliau setiap hari akan muraja'ah 6 juz demi mengekalkan hafalan ayat Al-Quran. MasyaAllah.
Secara langsung ini membuktikan keikhlasan hafizah tersebut agar terus mengingati hafalan ayat Al-Quran dikepalanya dengan amalan muraja'ah secara istiqamah.
Punca Kerasukan Hafizah
Ustaz menceritakan ketika rukyah dibacakan hafizah tersebut kesurupan lalu berlakulah komunikasi diantara ustaz dan jin yang telah berada dalam tubuh hafizah tadi.
Ustaz itu bertanya kepada jin "Ya ma'syaral jin, bagaimana kamu masuk ke dalam tubuh perempuan ini sedangkan perempuan ini menghafaz 30 juz Al-Quran dan muraja'ah sahaja 6 juz setiap hari ?"
Jin itu menjawab "Aku tahu semua tu dan inilah masanya aku duduk ke dalam tubuh dia"
Ustaz bertanya lagi "Bagaimana kamu masuk ke tubuh badan perempuan ini ?"
Jin pun menjawab "Aku memang telah lama ingin masuk ke dalam tubuh perempuan ini dan aku menunggu ketika mana dia lalai semasa minum menggunakan tangan kiri dan inilah masanya untuk aku masuk ke tubuh perempuan ini"
Ustaz bertanya kembali "Jadi kamu masuk ke dalam tubuhnya hanya kerana perempuan ini minum menggunakan tangan kiri"
Jawab jin itu "Ya....hahahah"
Begitulah kisahnya punca bagaimana seorang hafizah 3o juz Al-Quran terkena rasukan jin syaitan hanya kerana minum menggunakan tangan kiri.
Seperti yang Rasulullah telah ajarkan agar makan dan minum hendaklah menggunakan tangan kanan kerana jin syaitan makan dan minum menggunakan tangan kiri. Jangan sesekali mengikuti amalan syaitan ! Ini sebagai peringatan bersama.
Muzium Penjara Melaka
Saya teringat ketika mana salah seorang ahli keluarga saya terkena serangan jin qarin banduan yang telah mati selepas balik dari menziarahi Muzium Penjara Melaka. Perkongsian kisah ini bukan berniat untuk menakutkan anda supaya jangan datang ke muzium itu. Jauh sekali ye. Saya harap anda tidak salah faham.
Saya kongsikan kisah ini kerana punca terjadinya gangguan jin juga lebih kurang sama dengan kisah yang berlaku pada hafizah 3o juz Al-Quran di atas
Bagi saya Muzium Penjara Melaka cukup menarik untuk dilawati. Disitu terdapat banyak maklumat bersejarah tentang penubuhan penjara di Malaysia, sejarah penjara Melaka, tempat banduan mandi beramai-ramai, bilik hukuman gantung, bilik kraftangan banduan, bilik penjara yang sempit dan macam-macam lagi.
Seperti biasa saya akan mengajar dan mengingatkan kepada ahli keluarga agar berdoa sebelum memasuki Muzium Penjara Melaka ni. Doa ini sebagai melindungi diri dan ahli keluarga dari semua makhluk yang berniat jahat. Ia amalan sunnah yang telah diajarkan Nabi ketika mana sampai ditempat yang pertama kali kita datang, maka amalkan doa ini. Doa yang diajarkan nabi seperti di bawah.
"A'udzu Bikalimatillahi Taammaati min syari maa Khalaq"
Maksud : Aku berlindung dengan kalimah-kalimah ALLAH yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya
Dalilnya :
Daripada Saad bin Abi Waqash, beliau berkata, "Aku mendengar Khaulah binti Hakim al-Salamiyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang singgah di satu-satu tempat, lalu dia membaca A'udzu Bikalimatillahi Taammaati min syari maa Khalaq (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah ALLAH yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya), maka tiada satu pun yang membahayakannya sehingga ia berganjak dari tempatnya."
Selepas doa perlindungan ini dibaca kami pun masuk ke dalam Muzium Penjara Melaka. Kami menyoroti semua bilik pameran, bilik penjara yang sempit, bilik mandi banduan, bilik hukuman sebatan, melihat hasil kraftangan banduan, dapur penjara, bengkel para banduan, bilik hukuman tali gantung dan lain-lain. Boleh dikatakan hampir semua bilik kami masuk.
Boleh dikatakan agak luas kawasan Muzium Penjara Melaka. Agak letih jugalah kalau berjalan sambil tenung dan baca maklumat yang diletakkan di dinding muzium ini.
Yang paling menyentuh hati saya ialah apabila membaca luahan perasaan mereka melalui lorekan dan contengan lukisan pada dinding bilik penjara yang sempit dan sunyi. Saya tak dapat bayangkan perasaan banduan yang tinggal sendirian di penjara tanpa ada apa-apa alat komunikasi, tidur dalam kesejukan dan berbantalkan lengan ditutupi selimut yang nipis. Dibilik penjara yang sempit itulah tempat tidur mereka dan disitulah juga tandas mereka.
Gangguan Jin Qarin Banduan Yang Telah Mati
Selepas selesai menziarahi Muzium Penjara Melaka, kami terus merancang untuk balik terus ke rumah. Pada malam itu juga salah seorang ahli keluarga saya mengadu sakit bahagian leher sebelah kanan dan apabila ditanya sejak bila alami sakit ini. Rupanya mula merasa sakit sejak petang tetapi tidak terlalu ketara.
Sakit yang dialami semakin worse ketika menjelang malam.
Sesi rukyah pun dilakukan dan sejurus itu pesakit terus kesurupan jin. Gaya dialek bahasa jin tersebut bukan bangsa melayu kerana bunyinya berlainan.
Tanpa buang masa, saya memberi amaran kepada jin itu agar kembali ketempat asal dan jangan datang lagi masuk ke dalam tubuh pesakit. Alhamdulillah, selesai rawatan rukyah dengan izin Allah ahli keluarga saya telah sembuh. Sakit dileher sebelah kanan telah hilang dengan izin Allah.
Kesakitan dileher yang dialami pesakit seperti terikat sesuatu yang menyebabkan leher kaku. Ia seumpama tali menjerut leher dan rasa sakit hanya sebelah kanan. Begitulah perasaannya. Anda dapat bayangkan tak.
Wallahua'lam, menurut firasat saya kemungkinan jin yang mengganggu pesakit adalah jin qarin dari banduan yang telah mati ketika hukuman gantung sampai mati.
Apabila ditanya kepada pesakit semasa di Muzium Penjara Melaka tadi adakah pernah hadir perasaan sangat takut pada kawasan tertentu di sana. Jawapan pesakit tiada perasaan sangat takut sepanjang berada di situ. Namun pesakit telah maklum ada juga perasaan takut dan perasaan itu datang pun semasa berasa di bilik hukuman tali gantung.
Saya berfikiran bukan sebab ketakutan yang menjadi punca gangguan. Jadi saya berfikir lagi apakah punca yang menyebabkan jin qarin banduan ini masuk ke tubuh pesakit. Pasti ada 'kunci' telah dibuka yang menyebabkan jin qarin itu masuk ke dalam tubuh pesakit.
Kemudian saya teringat satu insiden ketika mana ahli keluarga saya memasuki tandas di Muzium Penjara Melaka pada penghujung lawatan di situ. Saya dapat rasakan punca yang menyebabkan jin masuk ke dalam tubuh pesakit kerana kesilapan memasuki tandas melalui kaki kanan. Wallahua'lam, bagi saya yang cetek ilmu ini merasakan kemungkinan inilah punca yang menyebabkan jin mudah masuk ke tubuh pesakit. Sama seperti kisah hafizah 30 juzuk yang saya kongsikan di atas.
Kita perlu diingatkan bahawa setiap amalan sunnah nabi pasti ada hikmahnya. Semestinya jika bersalahan dengan sunnah nabi pasti ada kesan yang tidak baik kepada kita. Nabi telah meninggalkan terlalu banyak amalan sunnah untuk seharian dari kita mula bangun tidur sehinggalah kita tidur kembali.