Assalamualaikum para pembaca blog ini. Apabila menyebut pukau, apa yang membayangi fikiran anda sekarang ?
Adakah pukau satu amalan khusus untuk sihir ataupun ia sama macam hipnotis.
Apakah maksud Pukau ?
Menurut DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) ialah sejenis tepung (drpd biji kecubung dll) atau jampi serapah (tangkal dan sebagainya) yang digunakan untuk memabukkan orang atau membuat orang tidur lelap; kena ~ a) ki hilang akal, tidak dapat berkata (berbuat) apa-apa, bingung, terdiam; b) dipukau (oleh pencuri).
Ia sinonim dengan bahan jampi, bahan serapah, ubat guna-guna.
Menurut ilmu rawatan Islam, pukau adalah salah satu dari amalan ilmu sihir yang menggunakan bantuan jin bagi tujuan mengkhayalkan mangsa agar tunduk setiap kata-kata pemukau. Perbuatan ini adalah haram menurut Islam.
Kebiasannya tujuan pemukau adalah untuk merampas hak mangsa secara tidak sedar dan ia berlaku dalam masa yang sangat singkat.
Disebabkan hilangnya pedoman dan terhakisnya iman menyebabkan segelintir manusia sanggup mempelajari ilmu pukau demi memenuhi kepentingan nafsu.
Tambahan hidup zaman sekarang ini yang sangat mencabar dari sudut ekonomi. Kos sara hidup yang tinggi memberi tekanan kepada segelintir individu sanggup melakukan amalan yang diharamkan dalam Islam ini.
Kisah Saya Merawat Mangsa Pukau Seorang Penghantar Makanan
Kisah ini diceritakan sendiri oleh pesakit setelah kesan sihir pukau telah berjaya dibatalkan dengan izin Allah.
Ketika mula-mula saya melakukan sesi analisa sebelum diteruskan dengan rawatan rukyah, pesakit tidak menceritakan kisahnya kena pukau. Saya hanya dapat mengenal pasti beberapa simptom-simptom seperti..
- pesakit tidak bersemangat untuk bekerja (setiap kali telah bersiap sedia untuk keluar bekerja, pesakit akan duduk termenung dan kemudian terus tidur)
- fikiran menjadi kosong.
- sakit kepala (bahagian atas kepala).
- kurang selera makan.
Ia berlarutan dari hari ke hari .
Rawatan Rukyah di Mulakan
Ketika sesi rawatan rukyah dimulakan pesakit tiba-tiba berasa sedih sambil menitik air mata. Saya bertanya.."kenapa sedih ?"
Pesakit balas " tak tau"
Saya teruskan rukyah sehinggalah pesakit kesurupan sehingga jin yang menguasai sepenuhnya minda pesakit.
Dalam keadaan jin seperti sangat marah. memberontak dan ingin menyerang saya, saya terpaksa mengunci seluruh sendi tangan dan kaki pesakit.
Tujuan mengunci ini bagi mengelakkan jin bergerak lebih liar dan ganas. Jika tidak dikunci besar kemungkinan perkara lebih buruk berlaku dan kesannya lebih teruk pada badan pesakit dan orang sekeliling.
Alhamdulillah jin tidak mampu bergerak dan kaku dengan izin Allah.
Jin Pukau Duduk Dalam Organ Buah Pinggang
Jin masih sombong dan cuba ingin menyerang saya.
Saya pun bertanya "Kau jin sihir ?"
Saya tanyakan soalan berulang sebanyak 3 kali kerana jin tidak menjawab.
Lepas soalan ketiga jin pun mengangguk menandakan ia adalah sihir.
Saya lanjutkan soalan "Kau bertuan ?"
Jin pun menjawab dengan mengangguk kepala tanda ya.
Jin tetap berdegil tidak mahu keluar setelah diarahkan keluar dari tubuh pesakit dengan cara yang baik dan sopan.
Saya terpaksa guna kaedah sedikit keras dengan menekan point buah pinggang.
Tak semena-mena jin menjerit kesakitan yang teramat sangat.
Walaupun begitu jin tetap bertahan tidak mahu keluar.
Baca Juga : Kisah Saya Merawat Pesakit Terkena Cinta Jin Asyik
Apa Kena Mengena Jin Berada Di Organ Buah Pinggang Dan Sihir Pukau ?
Pertama sekali kita perlu faham apakah fungsi buah pinggang.
Antara fungsi utama buah pinggang ialah menapis bahan-bahan tertentu daripada darah untuk dibuang melalui air kencing dan sebahagian bahan itu juga dikembalikan semula ke dalam darah.
Menurut pakar kesihatan, antara simptom sekiranya mengalami masalah buah pinggang ialah seperti berikut :
- Merasa keletihan dan tidak bertenaga.
- Mudah hilang fokus.
- Hilang selera makan.
- Mengalami masalah tidur.
- Mengalami kekejangan otot pada waktu malam.
- Mengalami bengkak pada kaki dan sendi.
- Mengalami bengkak di sekeliling mata terutama pada waktu pagi.
- Mempunyai kulit yang kering dan gatal.
- Membuang air kecil yang kerap terutama pada waktu malam.
Sebenarnya terdapat banyak fungsi buah pinggang yang dicipta oleh Allah untuk menstabilkan tubuh badan manusia.
Jin sihir pukau ini boleh dikaitkan dengan kawalan emosi melalui cara melemahkan sistem peredaran darah manusia. Saluran darah diperlahankan dan manusia yang kena pukau akan mudah hilang fokus, mudah rasa letih dan tidak bertenaga, tidak bersemangat dan sebagainya.
Inilah yang terjadi pada pesakit mangsa pukau yang saya rawat.
Pesakit tidak bersemangat, sering merasa letih dan suka tidur.
Fikiran mangsa pukau ini menjadi "kosong". Tidak boleh berfikir dengan baik.
Akhirnya Jin Pukau Keluar Dari Tubuh Pesakit Pukau
Setelah diugut dengan membaca ayat pembatal sihir dan ayat-ayat azab, alhamdulillah jin pukau ini keluar dari tubuh badan.
Sebelum jin pukau keluar, saya meminta jin pukau berikrar melakukan sumpah dengan nama Allah berjanji tidak akan mengganggu tubuh badan pesakit lagi.
Setelah jin itu setuju dan barulah jin pukau keluar dari tubuh badan pesakit.
Alhamdulillah. Jin keluar dengan izin Allah.
Badan Ringan dan Wajah Mangsa Pukau Lebih Ceria
Selepas selesai sesi rawatan, pesakit memberi respon badan menjadi lebih ringan dan terasa seperti satu beban besar telah hilang dari badan.
Saya cuba menekan kembali point-point yang berkemungkinan besar jin masih tinggal di badan.
Alhamdulillah, tiada rasa apa-apa dari pesakit.
Inilah Punca Terkena Sihir Pukau
Cerita sebenar bagaimana pesakit terkena sihir pukau dikongsikan setelah selesai semua sesi rawatan.
Ia bermula ketika mana pesakit balik dari bekerja sebagai penghantar makanan Grab Food. Waktu tu hari agak lewat malam.
Ketika pesakit sampai suatu kawasan berdekatan masjid Perodua di Bukit Sentosa, Rawang, pesakit tiba-tiba ditahan oleh seorang pakcik yang juga penunggang motosikal. Pakcik itu memberi isyarat tangan seperti ingin meminta bantuan dari pesakit.
Setelah pesakit berhenti pakcik itu menyapa pesakit dan bertanya untuk menunjukkan jalan ke Bukit Beruntung.
Pesakit seperti biasa menunjukkan jalan ke arah Bukit Beruntung yang sebenarnya tidak jauh pun dari Bukit Sentosa.
Dalam masa berbual itu tiba-tiba pakcik tadi menepuk perlahan bahu dan tangan pesakit. Disitulah bermulanya pesakit tidak sedar apa yang berlaku.
Pesakit menjadi tidak ingat langsung apa yang berlaku selepas itu.
Cuma yang pesakit ingat selepas memberi tahu jalan mana yang pakcik tadi tu boleh lalu untuk ke Bukit Beruntung, pesakit terus balik ke rumah dan terus tidur.
Keesokan harinya selepas memeriksa dompetnya hanya tertinggal baki duit RM50 sahaja dari beratus ringgit yang dimilikinya. Pesakit merasa terkejut.
Pesakit menceritakan sebenarnya pada malam tu duit dalam dompet adalah dari hasil bekerja dan ia habis begitu sahaja.
Mujur pakcik yang melakukan pukau itu tidak mengambil handphone pesakit. Pesakit berpendapat mungkin tidak gamak untuk mengambil handphone pesakit disebabkan gambar di skrin handphone adalah gambar pesakit bersama anaknya yang masih bayi. Mungkin rasa kasihan pakcik pemukau itu kepada pesakit agaknya. Begitulah yang diceritakan pesakit.
Bermula dari keesokan hari selepas dipukau itulah pesakit menjadi malas, tiada semangat untuk bekerja walaupun telah bersiap-siap seperti biasa, fikiran kosong dan lain-lain simptom yang saya sebutkan di atas.
Kesimpulan
Pukau merupakan satu amalan yang tidak sepatutnya kita sebagainya orang Islam mengamalkannya walau apa jua alasan sekalipun. Ia dilarang sama sekali.
Berhati-hatilah dalam kita melakukan pekerjaan harian. Bermohonlah doa kepada Allah agar kita terlindung dari gangguan apa jua jenis sihir.
Sentiasa mengamalkan amalan benteng diri seperti Al-fatihah, ayat kursi dan 3 qul setiap kali selesai solat agar kita dijauhkan dari apa jua mala petaka dan masalah mendatang.
Semoga perkongsian pada post kali ini memberi manfaat kepada anda.
Sekian untuk post kali ini dan berjumpa pada post yang seterusnya. InsyaAllah.
Sumber rujukan : MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia