Assalamualaikum para pembaca sekalian. Kelicikan syaitan dari kalangan makhluk jin untuk menipu umat manusia memang tidak dapat dinafikan. Tipu daya mereka terhadap manusia boleh menyebabkan kehidupan ramai manusia menjadi porak peranda.
Pelbagai serangan fitnah akan dilakukan bagi tujuan menyesatkan umat manusia. Ia berlaku tanpa kita sedar bahawa sebenarnya kita terperangkap dengan tipu daya mereka. Syaitan tidak pernah jemu untuk menghasut umat manusia agar tersasar dari jalan kebenaran, jalan yang baik dan diredhoi Allah.
Azam dan prinsip yang jelas tanpa prejudis dikalangan jin syaitan demi merelialisasikan impian Iblis laknatullah supaya setiap keturunan Nabi Adam terhumban ke dalam api neraka bersama mereka.
Salah satu tipu daya yang jelas dilakukan oleh Iblis laknatullah ialah melalui gangguan saka. Minda kita dimomokkan bahawa untuk melepaskan diri dari ikatan saka adalah satu kepayahan. Ia adalah satu ikatan yang sukar untuk dibebaskan. Minda kita telah dipasak dengan perjanjian MOU antara keturunan terdahulu dengan jin syaitan agar terikat selama 7 keturunan sebagai syarat. Begitu liciknya Iblis memanipulasi minda manusia.
Berbalik kepada objektif perkongsian penulisan saya pada artikel kali ini iaitu 3 salah faham masyarakat tentang gangguan jin saka seperti berikut.
1) Percaya Punca Saka HANYA Dari Ilmu Warisan Nenek Moyang Orang Dulu SAHAJA !
Gangguan saka bukan hanya berpunca dari ilmu warisan datuk nenek moyang sahaja sebenarnya. Gangguan saka juga boleh juga berpunca dari gangguan sihir dan gangguan asyik.
Masyarakat awam khususnya sering menganggap demikian sehinggakan perawat-perawat dimarahi oleh keluarga pesakit kerana menuduh keturunan mereka memiliki saka. Hanya kerana keturunan ahli keluarga mereka warak, a'lim, beramal soleh menjadikan mereka yakin tak mungkin keturunan mereka memiliki saka. Allah Maha Bijaksana untuk menguji iman di hati mereka agar menjadi hamba yang rendah diri, tawadhu' dan tidak sombong diri.
Sesiapa sahaja yang masih hidup di dunia ini tetap akan diuji dengan gangguan ghaib seperti gangguan saka, gangguan sihir dan gangguan asyik. Tiada siapa yang akan terlepas. Semestinya setiap perkara yang berlaku dan yang akan berlaku dalam perancangan dan genggaman Allah.
Antara ilmu warisan yang sering menjadi gangguan saka seperti saka mengurut, saka buaya, saka harimau, saka bidan dan macam-macam jenis saka.
Orang awam perlu tahu bahawa gangguan saka bukan semata-mata ilmu warisan datuk nenek moyang dulu sahaja. Sekiranya ada perawat Islam memberitahu sipulan bin sipulan mempunyai saka, jangan terus marah dan mengherdik.
Mereka sanggup menafikan tanpa ilmu hanya kerana keturunan mereka belajar agama, menjaga amal ibadah dan yakin keturunan mereka tiada gangguan saka.
Terdapat juga kes dalam rawatan Islam di mana saka bermula dari gangguan sihir. Lama kelamaan ia berubah menjadi gangguan saka. Ini berlaku kerana jin sihir yang telah lama tinggal di tubuh pesakit merasa sayang dan ingin menjadi penjaganya.
Apa sahaja kehendak tuannya yang terlintas difikiran, jin sihir yang bertukar sebagai jin saka akan cuba laksanakan semua kemahuan tuan barunya. Setelah sekian lama berkhidmat dan tuannya meninggal dunia, jin akan pergi kepada keturunan seterusnya pula.
Gangguan jin asyik juga begitu. Boleh bertukar dari jin asyik kepada saka. Kerana rasa sayang kepada pesakit dan telah terlalu lama tinggal di dalam tubuh badan pesakit, mereka boleh bertukar kepada saka yang melantik dirinya sendiri sebagai penjaga keturunan kononnya.
Sebab itulah sekiranya anda mengetahui terdapat tanda-tanda gangguan jin di tubuh anda, maka cepat-cepatlah mendapatkan rawatan dengan perawat Islam yang berkemahiran. Anda perlu ikhtiar sehabis baik agar gangguan jin saka ini terputus diperingkat generasi pertama sahaja dan tidak terkesan untuk keturunan seterusnya.
2) Percaya Saka HANYA Mengganggu Ahli Keluarga Terdekat Sahaja !
Gangguan saka boleh mengganggu sesiapa sahaja walaupun berlainan keturunan sedarah sedaging. Tidak kiralah rakan anda, jiran anda dan sesiapa sahaja.
Saya pernah merawat satu kes pesakit dimana pesakit ini terkena gangguan jin asyik. Jin ini telah jatuh cinta dan suka pada pesakit ini. Ketika pesakit ini kesurupan jin ini mengaku bahawa jin ini adalah jin saka kepada kawan rapatnya.
Hubungan 'best friend' mereka agak pelik bagi pandangan rakan sekeliling. Mereka terlalu rapat. Rupa-rupanya jin saka yang ada pada kawan rapatnya telah jatuh cinta dengan pesakit.
Mitos yang mengatakan jin saka hanya untuk keturunan sedarah sedaging semata-mata adalah tidak benar. Makhluk jin juga mempunyai pilihan mereka sendiri, apa yang hendak mereka lakukan, apa yang mereka inginkan dan sebagainya. Sama seperti manusia. Sentiasa mempunyai pilihan.
3) Gangguan Saka Akan Terputus Setelah Sampai 7 Keturunan
Ini satu lagi rancangan fitnah yang berjaya dilakukan oleh Iblis. Mempercayai bahawa gangguan jin saka akan terputus dengan sendirinya setelah sampai 7 keturunan. Tipu muslihat ini adalah yang paling berjaya dilakukan oleh syaitan.
Tiada istilah gangguan saka akan terhenti pada waktu tertentu. Itu semua tipu daya syaitan kepada manusia supaya bersetuju membuat perjanjian dengan mereka. Setelah membuat perjanjian maka tiada lagi halangan untuk mereka menyesatkan seluruh keturunan seseorang. Tugas mereka menjadi lebih mudah untuk menyesatkan manusia yang beriman kepada Allah agar turut terpesong aqidahnya.
Sumpah Iblis telah dirakamkan dalam Al-Quran di mana Allah memberi peringatan kepada manusia bahawa syaitan akan menyesatkan seramai mungkin keturunan Nabi Adam turut serta masuk ke dalam api neraka bersamanya.
Pelbagai tipu daya syaitan terhadap manusia sentiasa dilakukan supaya termakan dengan hasutan mereka. Mereka tak pernah jemu untuk melakukannya, malahan mereka gembira memberi khidmat kepada Iblis.
Kesimpulan
Gangguan saka tidak semestinya berlaku disebabkan ilmu warisan nenek moyang dulu. Saka boleh berpunca dari gangguan sihir dan gangguan asyik. Syaitan tidak akan berputus asa menyesatkan manusia dengan pelbagai cara.
Mereka menyerang dari pelbagai penjuru. Asalkan matlamat mereka dapat direalisasikan untuk menyesatkan seberapa ramai golongan manusia.
Semoga sedikit sebanyak perkongsian ini memberi manfaat kepada anda yang sudi membaca perkongsian saya sehingga perenggan akhir ini. Jumpa lagi pada artikel seterusnya. Sekian. Wassalam.