Amukan Jin Asyik


Sesiapa pun tidak minta untuk diganggu hidupnya dengan gangguan jin asyik. Peritnya derita bila terkena gangguan ini... hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang akan faham.

Gangguan jin asyik tidaklah popular seperti mana gangguan saka dan sihir. Walaupun pada hakikatnya impak gangguan jin asyik ini lebih parah dan menderita sekiranya kita faham cause & effect masalah ini.

Saya cuba terangkan secara berperingkat bagaimana jin asyik ini mengganggu kehidupan seseorang berdasarkan pengalaman penulis sebagai muallij rawatan Islam dan pembacaan ilmiah.

Mungkin apa yang saya sampaikan ini benar dan mungkin juga salah. Anda nilaikan sendiri kelak.

Jom teruskan pembacaan anda sehingga ayat yang terakhir yer !


Kenali Jin Asyik

Kalau anda pernah dengar jin bercinta dengan manusia atau manusia bercinta dengan jin inilah namanya gangguan jin asyik.

Jin asyik juga adalah makhluk yang sama dengan jin-jin yang lain. Cuma jin asyik ni unik sikit sebab jin ini terjatuh hati ataupun cinta pada seseorang manusia. Sekali jin dah jatuh cinta dengan seseorang manusia maka sukar untuk dilepaskan.

Jika gangguan jin asyik ini tidak dirawat diperingkat awal, maka sampai ke usia tua pun masih diganggu sehinggalah menemui ajal.

Jangka hayat jin lebih panjang umurnya berbanding manusia. Mahu atak mahu memang pesakit gangguan ini perlu dirawat sekiranya telah kenal pasti simptom-simptom gangguan.


Simptom Gangguan Jin Asyik

Berikut saya kongsikan beberapa simptom yang anda boleh buat tindakan lanjut sekiranya sahih anda terkena gangguan jin asyik. Jika terdapat lebih atau sama dengan 3 tanda-tanda di bawah ini maka JELAS bahawa amukan jin asyik sedang mengganggu tubuh badan anda.

Saya pecahkan kepada 3 bahagian (Jasmani , Emosi dan Sosial) agar anda mudah faham.

Jasmani (Tubuh badan)

  1. Kerap jumpa tanda lebam di peha atau celah peha tanpa ketahui puncanya
  2. Badan kerap letih setiap kali bangun tidur TANPA sebab yang munasabah.
  3. Ada cyst dan fibroid walaupun telah operate.
  4. Kitaran haid tidak lancar dan teratur sampai berbulan-bulan dan ada juga bertahun-tahun.
  5. Kerap senggugut walaupun dah makan ubat.
  6. Kerap sesak nafas dan rasa macam nak mati.
  7. Muka kerap berjerawat atau nampak kusam pada masa tertentu.

Emosi (Perasaan)

  1. Mudah marah/panas baran walaupun perkara kecil dan yang tak 'best'nya ia kerap berlaku.
  2. Mudah bernafsu TANPA sebab.
  3. Kerap mimpi bersetubuh dengan seseorang yang tidak dikenali.
  4. Mudah putus hubungan / jodoh (sebagai kekasih, isteri/suami, tunang).
  5. Mudah kemurungan walaupun faktor luaran dalam keadaan baik (sokongan keluarga dan rakan)

Sosial (Hubungan)

  1. Hubungan dengan pasangan/ahli keluarga sering berantakan
  2. Suka menyendiri. Tempat paling tenang selalunya di dalam bilik tidur sendiri.


Sekiranya terdapat 3 atau lebih daripada tanda-tanda yang ada di atas ni, saya nasihatkan ikhtiar berubat dengan perawat rawatan Islam.


Kuat Cemburu

Jin asyik juga mempunyai perasaan yang sama seperti manusia. Mereka juga makhluk yang kuat cemburu sebenarnya. Makhluk yang tepat untuk digelar sebagai makhluk "SYOK SENDIRI" ialah jin asyik.

Kebanyakan mangsa yang terkena gangguan jin asyik ni tidak sedar bahawa dirinya menjadi mangsa makhluk ini.

Disebabkan jin asyik adalah makhluk ghaib maka mustahil bagi fitrah manusia sedar kewujudan mereka yang sedang memerhati manusia yang disukainya kecuali seseorang itu tahu simptom gangguan jin asyik secara mendalam.

Kebanyakan yang terkena serangan gangguan jin asyik ini adalah para wanita. Tak pastilah kenapa mudah sangat  para wanita terkena gangguan ini. Tetapi saya telah kongsikan 5 sebab gangguan jin kepada wanita - DI SINI !  

Antara sebab musabab wanita mudah terkena gangguan jin asyik adalah kerana ramai wanita mudah-mudah menanggal dan memakai pakaian tanpa membaca basmallah, mandi dalam keadaan berbogel tanpa membaca doa, masuk tandas melalui kaki kanan dan lain-lain.

Antara punca lain yang dapat dikenalpasti adalah apabila terlalu asyik melakukan sesuatu tanpa sebab. Rasa seperti berkhayal pada sesuatu dan khusyuk tanpa  menghiraukan apa yang berlaku disekeliling. Hidup terkunci dalam kepompong dunia mereka sahaja. Ini juga boleh menjadi faktor bahawa mungkin terkena gangguan jin asyik. 


Amukan Jin Asyik

Sedar tak kenapa berlakunya sukar mencari jodoh, kalau dah berjodoh pun hidup tak kekal lama, bertunang sekejap jer lepas tu putus tunang, kalau dah mula berkenalan dengan seseorang yang memang disukai pada mulanya kemudian tiba-tiba rasa benci tanpa sebab yang munasabah, suka menyendiri dalam bilik sendiri dalam waktu yang lama, tidak suka dengan orang sekeliling, mudah melenting / sensitif pada sesuatu perkataan atau ayat dari orang sekeliling dan sebagainya.

Jangan main-main kalau jin asyik dah mula mengamuk. Pelbagai onah mereka boleh lakukan pada seseorang tanpa sedar.

Bukan sahaja mengganggu pada emosi, malah mental dan fizikal juga boleh terganggu seperti mana simptom gangguan jin asyik yang saya telah kongsikan di perenggan atas.

Cuba anda hayati kisah saya yang pernah merawat mangsa gangguan cinta jin asyik yang pernah saya kongsikan di blog ini. Kalau anda nak tahu kisahnya, sila baca artikel yang bertajuk "Cinta Jin Asyik" - DI SINI !

Semestinya setiap gangguan yang berlaku pasti ada puncanya.


Peringkat Pertama - Zaman Kanak-Kanak

Pada usia kanak-kanak adalah zaman dimana-mana keasyikan bermain-main dengan saudara mara dan rakan taulan. Ia adalah normal sebenarnya dan sampailah masa di mana tiba-tiba pernah sekali berlaku anak anda mengadu kepada anda bahawa mereka melihat kelibat hantu atau lembaga hitam dengan rupanya yang menyeramkan di sesuatu tempat atau kawasan seperti hutan, air terjun, pantai, sungai dan seumpamanya.

Dengan respon yang bersahaja anda sebagai ibu bapa berfikiran anak anda hanyalah bergurau ataupun anda hanya berpandangan itu hanyalah perasaan takut sang anak sahaja. Anda biarkan ia begitu sahaja tanpa ikhtiar apa-apa. Maka situasai ini berlarutan begitu sahaja.

Buat pengetahuan anda kebiasaannya mereka yang mudah terganggu ni, tidak kiralah apa jenis gangguan jin kebiasaanya dari bayi telah tunjukkan tanda-tandanya seperti menangis berlarutan lebih 3 hari pada waktu tertentu tanpa sebab walaupun anda telah ikhtiar memberi susu badan ataupun susu formula, sapu minyak yuyi, berurut dan sebagainya. Ia seperti cerita dalam filem Ahmad Albab yang dilakonkan oleh arwah Tan Sri P. Ramlee yang kita pernah tonton suatu ketika dahulu. Ahmad Albab berhenti menangis setelah atuknya mengetuk salah satu pintu dan tidak semena-mena bayi terus diam. Sejak dari situlah atuknya  menamakan cucunya dengan nama Ahmad Albab. Namun, ada sesuatu yang terjadi selepas itu. Anda masih ingat tak filem tu ?

Apabila tangisan dah berhenti, mungkin sebagai ibu bapa anda merasa anak telah kembali normal walhal pada hakikatnya ia masih belum sembuh sepenuhnya. Kadang kala anak inilah juga membesar dengan sejarah paling kerap demam, batuk dan boleh dikatakan anak inilah satu-satunya anak yang kerap ke hospital, klinik dan sebagainya. Tiada pula keputusan doktor mengatakan penyakit tertentu secara khusus kepada anda dan hasil pemeriksaan juga menunjukkan anak anda normal. Tiada masalah.

Anda pun anggap ia adalah perkara biasa dengan hanya menganggap ini adalah ujian Allaah. Anda pun teruskan kehidupan seperti biasa.

Sampailah anak anda meningkat usia kanak-kanak, maka terjadilah penampakan makhluk hantu dan sebagainya sehinggakan anak takut hendak pergi ke sekolah. Kebocoran hijab anak ini semakin hari semakin menjadi-jadi dan anda masih juga anggap ia perkara biasa dengan hanya memberi kata-kata semangat pada anak anda tanpa mengkaji setiap ekspresi yang anak anda telah cuba sampaikan.

Anda merasa telah faham masalah ini sehingga kadang kala anda menganggap ini adalah perkara remeh. Anda anggap mungkin ini adalah proses tumbesaran mental dan fizikal anak anda.

Perubahan demi perubahan yang berlaku sehingga terjadinya anak anda lebih banyak meluangkan masa dalam bilik tidurnya atau menjadi seorang kanak-kanak pendiam ketika berada di rumah dan juga di luar rumah.

Apabila anak diperingkat mumayyiz maka perubahan fizikal dan mental mula berlaku. Penerapan ilmu agama perlu lebih banyak pada peringkat ini. Walaupun mungkin anda telah mengajar anak anda sejak tadika tentang asas-asas agama dan sebagainya namun pada peringkat mumayyiz sangat penting lagi penekanan agama terutamanya bab solat, fiqh sentiasa membuat susulan dengan menegur anak sekiranya tersasar dari syariat Islam.

Bagi kebanyakan kes yang terkena gangguan asyik ini mudah berlaku sekiranya amalan sunnah nabi tidak diamalkan secara komprehensif dalam keluarga seperti membaca doa masuk tandas, masuk tandas bermula dengan kaki kiri, membaca basmalah ketika membuka dan memakai pakaian, makan dengan tangan kanan, basuh hadas besar dengan tangan kiri dan macam-macam amalan sunnah nabi.

Kesilapan meninggalkan amalan sunnah juga membuka ruang untuk jin asyik jatuh cinta pada mangsanya sebagai contoh membuka pakaian tanpa membaca basmalah, tidak membaca doa masuk tandas dan masuk tanda dengan kaki kiri.

Dengan tertinggalnya amalan sunnah yang simple ini, jin asyik mula memerhati setiap inci susuk tubuh seseorang dan mula terlalu asyik dengan kesempurnaan kejadian makhluk paling sempurna diciptakan di muka bumi ini  iaitu makhluk manusia. Dari situ juga bermulalah episod jatuh cinta jin asyik dengan seseorang manusia itu tidak kiralah dikalangan jin betina ataupun jin jantan.

Jika jin asyik yang jatuh cinta dengan manusia berlainan jantina adalah tidak pelik namun amatlah jelik sekiranya jin asyik yang jatuh cinta adalah pasangan sejenis sebagai contohnya jin betina jatuh cinta kepada manusia berjantina perempuan. Ini yang cukup merisaukan! 

Untuk pengetahuan anda diantara salah satu faktor berlakunya masalah lesbian dan gay juga berpunca dari gangguan jin asyik. Cinta jin asyik yang sama jantina dengan manusia bakal tercetusnya hubungan sejenis yang tidak disedari oleh pesakit gangguan asyik. Mereka hanya seronok dengan hubungan sejenis ini dan akan hanyut dalam dunianya sendiri jika tidak dirawat dengan segera. Perkara ini perlu saya kupas untuk penulisan artikel post yang lain. InsyaAllaah

Wallahua'lam.


Peringkat Kedua - Zaman Remaja

Setelah sekian lama masalah gangguan jin asyik ini tidak ditangani, maka hidup diteruskan pula ke zaman remaja. Pada peringkat ini sangat penting sebagai ibu bapa melihat simptom-simptom yang berlaku pada anak anda.

Kebiasaannya pada peringkat ini ia sangat kritikal jika masih tidak ditangani dengan baik gangguan jin asyik kepada anda anda.

Pada peringkat ini lebih memberi kesan emosi. Ini disebabkan berlaku percaturan fikiran untuk memilih jalan mana yang akan mereka ikuti kelak.

Zaman remaja adalah zaman kecelaruan untuk memilih jalan hidup mereka, keinginan yang tinggi terhadap sesuatu, rasa inginkan perhatian dan sebagainya.

Sebab tu banyak kes histeria berlaku pada peringkat sekolah menengah. 

Ketika zaman ini mainan emosi terlalu tinggi dan sangat sensitif. Bagi remaja yang dikurniakan akal dan jiwa yang kuat tiada masalah untuk ditangani. Namun tindakan ibu bapa dan penjaga perlu segera mendapatkan rawatan sekiranya simptom gangguan jin asyik berlaku.

Dari segi pembelajaran boleh menyebabkan terganggu fokus mereka. Sering nampak kelibat, rasa diperhatikan, terdengar bisikan menjadikan diri mereka bertambah lemah jika tidak dirawat diperingkat ini. Perlu cakna ketika ini.


Peringkat Ketiga - Dewasa

Pada peringkat ini kebiasannya ramai pesakit mula sedar dan akur bahawa gangguan yang dialami selama ini adalah gangguan jin asyik. Ada yang sedar diawal usia dewasa dan ada yang sedar dipenghujung usia dewasa. Kesemuanya adalah takdir Allaah.

Terlalu banyak masalah yang dihadapi dan kebanyakan dari mereka mempunyai jiwa yang kental dan minda yang kuat untuk mengawal semua permasalahan dalam hidup.

Apabila terlalu penat melawan hasutan syaitan dari kalangan jin asyik ni, jiwa mula tertekan disebabkan terlalu lama melawan minda negatif. Motivasi diri semakin menurun kerana tiada sokongan yang kekal dari keluarga dan sahabat baik sendiri. Badan menjadi telalu penat dan hampir mengalah.

Antara yang menjadi masalah pada peringkat ini ialah sukar mendapat jodoh, mudah putus tunang walaupun hampir menikah, mudah rasa suka pada seseorang tetapi mudah pula merasa benci, suka buat sesuatu perkara secara sendirian, sering rasa lebih baik mati daripada hidup, terlalu banyak perkara yang diusahakan sering tak menjadi dan sebagainya.

Jika pesakit tidak istiqamah melawan minda separa sedar dari dikuasai oleh jin asyik ini, penyakit mental seperti depresi, anxiety, skizofrenia dan lain-lain jenis penyakit mental akan menyerang dengan dahsyat sekali.

Hanya pada asalnya berpunca daripada gangguan jin asyik sahaja boleh menyebabkan penyakit mental mula menguasai. Ia tidak berlaku secara mendadak. Gangguan jin asyik ini telah lama berlaku sejak daripada peringkat zaman kanak-kanak lagi tetapi ramai masyarakat hari ini tidak sedar simptom yang berlaku ia adalah berpunca dari gangguan jin asyik.


Adakah Sihir & Saka Boleh Bertukar Menjadi Jin Asyik ?

Walaupun tidak dapat dibuktikan secara fakta yang jelas melalui kajian khusus, kita wajib mengimani bahawa jin adalah makhluk mukallaf yang Allaah telah mensyariatkan untuk menyembah Allah seperti mana kita sebagai manusia.

Kejadian makhluk jin juga sama seperti manusia yang memiliki nafsu, hati dan akal fikiran. Cuma mereka hidup di alam mereka sendiri.

Disebabkan jin juga mempunyai nafsu maka keinginan mereka juga boleh berubah-ubah mengikut kehendak mereka. 

Apabila tuan yang membela jin sihir atau saka tidak lagi mahu menjaga mereka juga boleh menyebabkan jin sihir dan saka bertukar menjadi jin asyik.

Ada juga kes jin saka yang telah lama menjaga keturunan tertentu dan telah menjadi sebati dalam darah keturunan mereka menyebabkan rasa sayang dan cinta yang mendalam pada salah satu ahli keluarga keturunan mereka. 

Keinginan makhluk jin ini tak boleh dijangka dan diluar kemampuan kita sebab mereka dicipta dari api dan manusia dicipta dari tanah.

Kewujudan mereka tidak boleh dilihat dengan mata kepala kita sendiri maka kita perlu ambil langkah berjaga-jaga dengan perbanyakkan amalan benteng diri seperti membaca Al-Quran, zikir, selawat dan apa juga amalan hizib-hizib, wirid yang ulama' muktabar sarankan.


Kesimpulan

Jika anda dikalangan mereka yang diuji dengan gangguan jin asyik saya nasihatkan banyak-banyaklah berdoa agar dapat dilepaskan diri dari cinta jin asyik. Jangan mudah berputus asa dengan setiap ujian Allaah. 

Saya kongsikan satu riwayat yang pernah berlaku di zaman Rasullullah Shollallahua'laihiwasallam tentang seorang wanita kulit hitam yang sering diganggu jin hingga menampakkan auratnya. Berikut adalah riwayat hadithnya.

Atha' bin Abi Rabah berkata, 'Abdullah bin 'Abbas berkata :

"Ibnu 'Abbas berkata kepadaku, "Maukah engkau aku tunjukkan wanita penghuni syurga ? Saya berkata 'Tentu'...Dia berkata , '(Iaitu) Perempuan hitam ini, dia pernah menghampiri Rasulullah dan berkata, " Saya adalah orang yang menderita penyakit ayan (epilepsi, gila babi), dan setiap kali saya sakit saya dibuat tidak sedar hingga aurat saya terbuka, maka berdoalah pada Allaah untukku wahai Rasulullah!"

Rasulullah bersabda, " Jika engkau bersabar, niscaya engkau akan meraih syurga, dan jika engkau ingin sembuh, saya akan berdoa kepada Allaah."

Wanita itu berkata," Saya akan bersabar". Dia berkata, "Setiap kali saya tak sedar diri, aurat saya terbuka, maka doakanlah pada Allaah agar auratku tidak terbuka lagi." Maka baginda pun mendoakan wanita tersebut."

Saya harap artikel ini membantu anda dan memberi manfaat. Semoga berjumpa lagi di artikel yang lain. InsyaAllaah.

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama