5 Faktor Jin Syaitan Mudah Masuk Ke Tubuh Badan Manusia


Alhamdulillah masih dikurniakan kesihatan untuk saya berkongsi kepada anda diblog ini. Kali ini saya menfokuskan kepada faktor-faktor yang menyebabkan tubuh badan manusia mudah dimasuki jin syaitan.

Tetapi sebelum itu saya ingin bertanya kepada anda.

Anda rasa tubuh badan anda ada jin syaitan tak ? 

Jika anda anda rasa tiada. Alhamdulillah. Tetapi.....adakah anda yakin ?

Percayalah permainan jin syaitan cukup licik. Mereka tidak akan pernah berhenti untuk mengganggu manusia kerana mereka mempunyai agenda mereka sendiri. Mereka ada matlamat mereka sendiri.

Disebabkan bapak jin syaitan iaitu Iblis laknatullah sehingga kini masih menyimpan dendam kesumat yang mendalam terhadap Nabi Adam sehingga sanggup bersumpah dengan Allah agar diberi keizinan untuk menyesatkan semua umat Nabi Adam agar mengikutinya masuk ke dalam api neraka.

Jin syaitan tidak pernah kenal erti putus asa berusaha agar umat bani Adam sesat dan terjerumus ke dalam api neraka.

Baiklah, sekarang saya kongsikan apakah 5 faktor jin syaitan mudah masuk ke tubuh badan manusia. Anda baca setiap bait penulisan saya di bawah ini agar anda faham.


1) Jin Masuk Sendiri Sama Ada Suka atau Marah

Gangguan seperti ini mudah untuk dirawat. Kadang kala jin syaitan itu akan keluar dengan sendiri. Sebagai contoh jin yang masuk dan menghuni di belakang telinga akan menyebabkan seseorang itu demam sehari dua dan mungkin juga lebih. Demam akan hilang sejurus jin keluar sendiri.

Jin syaitan yang masuk disebabkan suka kepada seseorang manusia kebiasaannya berpunca disebabkan pendedahan aurat. Sebagai contohnya seseorang yang berada di rumah tanpa pakaian, membuka dan memakai pakaian tanpa membaca 'basmalah', mandi dalam keadaan telanjang bulat dan apa jua aktiviti yang menampakkan aurat.

Jin syaitan yang sedang memerhati sekian lama akhirnya jatuh hati padanya. Mereka akan berusaha untuk masuk ke tubuh seseorang bagi tujuan mengganggu seperti berbisik, badan terasa berat, sering ditindih ketika tidur, kerap lebam-lebam terutama bahagian celah peha, kerap tidur waktu asar dan lain-lain simptom gangguan.

Bagi jin syaitan yang masuk ke tubuh berpunca disebabkan marah kebiasaannya berlaku tanpa manusia itu sedar. Ia berlaku secara tidak langsung

Sebagai contoh seseorang yang terpijak sesuatu, terambil sesuatu dan apa jua dilakukan tanpa disengajakan menyebabkan jin yang tinggal kawasan itu merasa marah.

Ada juga kes di mana seseorang itu menjirus air panas di singki atau mana-mana lubang tanpa membaca doa perlindungan atau sekurang-kurangnya  membaca 'basmalah' menyebabkan jin yang berada di situ marah dan mula masuk ke tubuh untuk tujuan menyakiti

Kes seperti ini telah banyak berlaku dan mereka tidak sedar sebenarnya serangan sakit secara tiba-tiba seperti sakit sendi, badan tiba-tiba lesu, demam, otot tegang dan sebagainya berlaku disebabkan gangguan jin syaitan.


2) Mengamalkan Ilmu Salah Menurut Aqidah dan Syariat

Jin syaitan boleh masuk ke tubuh badan manusia disebabkan mengamalkan ilmu yang salah iaitu ilmu yang melanggar syariat dan aqidah Islam. Mereka tidak berguru dengan cara yang betul. Hanya bersandarkan nafsu, akal fikiran dan pembacaan kitab-kitab yang bathil.

Sebagai contoh kes rawatan disebabkan amalan ilmu persilatan yang telah saya rawat suatu ketika dulu. Walaupun terdapat banyak pilihan ilmu persilatan mengikut syariat, namun wujud segelintir pengamal persilatan yang terperangkap dengan ilmu persilatan  yang salah. Silat yang bercampur dengan amalan khurafat.

Sila baca kisah saya merawat pengamal persilatan yang salah - di sini !

Ada juga amalan ilmu yang salah dilakukan hasil dari pembacaan buku dari penulis yang bathil. Mereka percaya dengan yakin setiap perincian tulisan penulis dengan yakin sehingga memberi kesan pada amal ibadah yang diperintahkan dalam Al-Quran. Walhal buku yang dibaca mengandungi sihir tanpa disedari.

Setelah membakar buku tersebut dan amalan taubat, gangguan terus hilang dengan izin Allah.

Ada juga kes saya merawat pesakit yang mengamalkan mantera untuk murah rezeki. Pesakit ini mendapat mantera (ayat sihir) dari rakan sekerjanya sendiri yang juga seorang dukun. Walaupun hanya sekali sahaja lafaz manteranya, pesakit terpaksa menanggung kesakitan berpuluh tahun.

Akibat tersedar dengan amalan khurafat yang telah dilakukan, pesakit terus membuang kertas yang tertulis ayat mantera sebegitu sahaja sehingga mengakibatkan penderitaan ditanggung bertahun-tahun.

Dalam ilmu perawatan Islam, adalah dilarang membuang begitu sahaja bahan khurafat walaupun hanya secebis kertas kecil. Sihir masih terikat di situ. Terdapat kaedah tertentu yang perawat boleh bantu untuk batalkan sihir amalan tertentu.


3) Faktor Saka

Gangguan jin syaitan yang berpunca dari faktor saka sebenarnya sangat popular di nusantara. Perawat menyatakan asbab penyakit dari saka juga menjadi satu perkara yang sangat sensitif bagi pesakit yang terkena gangguan jin syaitan. 

Walaupun majoriti masyarakat menganggap gangguan jin syaitan ini disebabkan saka, tetapi dari pengalaman saya merawat pesakit sebenarnya terdapat punca yang lain dari saka. Kita hanya perlu tahu tanda-tanda seseorang itu mempunyai saka sebelum menilai lebih jauh.

Baca juga : Tanda Seseorang Mempunyai Saka

Gangguan saka boleh dianggap sebagai 'kunci' yang membuka pintu untuk ruang jin syaitan yang lain boleh masuk ke tubuh seseorang. Jin syaitan saka telah lama bersarang dalam keturunan seseorang, telah lama berada dalam darah daging seseorang dan merasa sangat selesa dengan kehidupan mereka.

Permulaan gangguan saka akan mula menjadi-jadi sekiranya wujud sebilangan ahli keluarga yang tahu tentang kesan buruk saka dan berusaha untuk membuang saka dari keturunan mereka.

Gangguan saka akan lebih ekstrem sekiranya ahli keluarga mula berikhtiar untuk putuskan perjanjian saka yang termeteri oleh datuk nenek moyang mereka yang terjadi secara sedar atau pun tidak sedar dan secara langsung ataupun tidak langsung.

Selain dari perjanjian atau MOU (kononnya), ada juga jin syaitan saka yang bebas berkeliaran diluar sana datang mengganggu seseorang disebabkan ingin mencari tuan baru. Kebiasaannya pesakit tidak sedar langsung bagaimana ia berlaku. Lama kelamaan jin syaitan ini menjadi saka bagi menjaga tuannya dan mula menganggu kehidupan keluarga mereka yang lain.

Pengalaman saya merawat salah seorang pelajar lelaki yang bersekolah di asrama menengah menjadi bukti tentang gangguan jin saka yang telah bebas dan ingin mencari tuan baru. 

Dari hasil analisa yang saya lakukan setelah bertanya kepada ayah, ibu dan datuk pesakit bagi mengenalpasti adakah ahli keluarga lain mempunyai simptom yang sama atau terdapat amalan khusus tertentu dan sebagainya. Mereka jawab tiada.

Kemudian dari segi simptom gangguan pula, respon ayah pesakit menyatakan perwatakan anaknya jauh berbeza dari dulu. Sebelum ini anak lelakinya ini bukan seorang yang panas baran dan tidak pernah belajar pun seni bela diri silat. 

Setelah pelajar ini diganggu dia menjadi mudah mengamuk, panas baran sehingga berlaku vandalisme di sekolah sehingga menyebabkan banyak pintu dan tingkap sekolah asrama telah dipecahkannya. Akhirnya sampai satu peringkat pihak pengurusan sekolah terpaksa nasihatkan ayah pesakit agar menguruskan anaknya berpindah ke sekolah lain. 

Alhamdulillah, gangguan ikatan jin syaitan yang kononnya mengaku jin saka ini berjaya diputuskan dengan izin Allah. Jin syaitan itu telah pergi setelah mengucap syahadah dan pelajar lelaki ini kembali normal seperti sedia  kala.

Begitulah serba sedikit faktor saka yang boleh mengganggu tubuh badan manusia. Berhati-hatilah !

NOTA PERINGATAN : Sekiranya terdapat bomoh/dukun/pawang/perawat mengarahkan anda perlu membawa semua ahli keluarga untuk putuskan perjanjian atau apa jua syarat yang menyusahkan, pelik dan berisiko anda cuba dielakkan. Sesungguhnya rawatan itu kelak akan menjurus kepada perkara yang bathil. Nauzubillahiminzaliq.

Baca juga : Kaedah Buang Saka Rawatan Islam


4) Faktor Sihir

Sihir adalah gangguan yang ditujukan untuk membuatkan seseorang mangsa itu hidup menderita, hilang rasa kebahagiaan, sentiasa murung, mendapat penyakit yang sukar diubati dan akhir sekali supaya mangsa meninggal dunia. Terdapat 3 pihak yang terlibat dalam amalan sihir iaitu pengupah sihir, bomoh/dukun/pawang dan jin syaitan (khadam). 

Ketiga-tiga entiti ini bersatu untuk menyerang mangsa yang dianggap musuh disebabkan rasa marah, rasa cemburu, dendam kesumat, tamak dan macam-macam sifat mazmumah dari pengupah sihir.

Gangguan seperti ini mudah untuk ditangani dan sebaiknya tuan punya badan/pesakit sendiri perlu kuat melawan sihir yang dihantar dengan memperkukuhkan amal ibadah wajib seperti solat 5 waktu, puasa, zakat dan ditambah pula dengan amalan-amalan sunat lain.

Sihir ini akan sentiasa berulang selagi sifat dendam dan lain-lain sifat mazmumah dari pengupah sihir yang disebutkan di atas tidak padam. Namun dengan permohonan doa dengan penuh ketakwaan insyaAllah perlindungan Allah adalah yang hak.

Kita lihat sendiri penderitaan DUKE (Dato' Ustaz Kazim Elias) yang disihir berulang kali oleh penyihir namun dengan izin Allah, sihir tetap bathil. Hanya mereka yang bersabar dan bersyukur setiap apa jua ujian yang Allah takdirkan.

Baca juga : 5 Kesan Dendam Yang Membahayakan Tubuh...Pendendam Sila Hati-Hati
Baca juga : 9 TANDA Sihir Pemisah Rumah Tangga (Nombor #6 Paling Bahaya)
Baca juga : Kaedah Amalan Memulangkan Sihir Yang TIADA Kesudahan


5) Gaya Hidup

Faktor terakhir yang menjadi punca yang membolehkan jin syaitan masuk ke tubuh badan adalah kerana faktor gaya hidup. Gaya hidup yang dibicarakan di sini adalah tentang kemahuan nafsu seseorang terhadap keduniaan.

Islam mengajar penganutnya agar hidup bersederhana dalam setiap apa jua yang dilakukan. Terdapat garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam agar penganutnya tidak melampau batas yang dibenarkan.

Sebagai contoh seseorang yang ingin nampak cantik sehingga sanggup menggunakan kaedah bathil seperti susuk. Ia berlaku dalam mereka sedar. Mereka sendiri yang membuat pilihan untuk mengamalkan ilmu susuk walaupun ia melibatkan jin syaitan.

Ada juga yang kes di mana pesakit tidak sedar tentang produk kecantikan yang digunakan rupanya mempunyai sihir. Disebabkan hasil menggunakan produk cukup luar biasa pada mata pandangannya menyebabkan jin syaitan mula mengambil peranan untuk menganggu pesakit.

Contoh lain seperti ilmu kebal. Disebabkan rasa ingin kelihatan kuat dan digeruni oleh manusia, mereka sanggup mempelajari ilmu khurafat untuk menjadi kebal. Dengan hanya melakukan zikir tertentu, amalan tertentu pada waktu tertentu meyakinkan mereka bahawa ilmu kebal yang dipelajari adalah benar. Walhal dalam tidak sedar jin syaitan sedang membantu mereka menjadi kebal dan kuat tanpa mereka sedar.

Saya teringat kisah yang diceritakan oleh Dr Hj Jahid bin Hj Sidek Al-Khalidi (pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah) tentang kes rawatan pesakitnya yang diserang penyakit misteri. Walaupun pesakit telah beberapa keli hadir ke pusat rawatannya namun penyakitnya tidak sembuh-sembuh. Rawatan hospital apatah lagi.

Akhir sekali Dr Jahid bertanya kepada pesakit pernahkah mengambil apa-apa barangan pelik dari luar dan dibawa masuk ke dalam rumah. Pesakit menjawab pesakit ada mengambil batu-batuan sungai dari hutan yang diambil dalam kuantiti yang agak banyak untuk tujuan perhiasan di halaman rumahnya.

Setelah itu Dr Jahid meminta untuk pesakit menghantar kembali batu-batuan sungai tadi itu ke tempat asal dan alhamdulillah sakit yang dialami pesakit hilang secara tiba-tiba. Pesakit sembuh dengan izin Allah.

Anda cuba perhatikan hanya kerana gaya hidup mereka tidak sedar sebenarnya terdapat jin syaitan turut ikut bersama membantu merealisasikan kehendak nafsu mereka. Disebabkan faktor gaya hidup inilah juga memudahkan tugas jin syaitan untuk menyesatkan manusia terutamanya manusia yang beriman kepada Allah.

Ruang terbuka luas untuk jin syaitan kerana terdapatnya bantuan nafsu dan kehendak manusia itu sendiri menyebabkan leka dan lalai dengan permainan jin syaitan dan iblis laknat terkutuk.


Kesimpulan

Jika kita kenal makhluk jin syaitan (jin kufur), ia memudahkan kita untuk jauhkan diri dari mereka. Jin syaitan ini sangat setia dan patuh dengan arahan Iblis laknatullah agar membantunya merealisasikan matlamatnya untuk menyesatkan semua manusia di muka bumi terutamanya orang Islam.

Sebagai orang Islam, kita perlu faham tentang permainan makhluk ghaib ini. Jangan sampai mudah tertipu dengan permainan mereka. Kenali Alam Jin dan tahu sejarah wujudnya makhluk jin ini.

Semoga penerangan tentang 5 faktor yang memudahkan jin syaitan masuk ke dalam tubuh badan manusia ini membantu serba sedikit agar anda faham dan mengambil sikap berhati-hati dalam setiap tindakan. Harap bermanfaat. Jumpa lagi pada perkongsian seterusya. InsyaAllah.

Sekian. Terima kasih.


Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama