Alhamdulillah masih terus menulis dan berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai perawat Islam. Cabaran sebagai perawat Islam cukup kuat. Ujian demi ujian akan datang mencabar keimanan seseorang perawat.
Cabaran di sebalik tabir disimpan supaya menjadi penguat untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Sebenarnya terlalu banyak kisah pesakit dari pengalaman merawat yang tidak kesampaian untuk dikongsikan semuanya di sini kerana kekangan waktu.
Saya pernah merawat seorang pesakit wanita yang terkena gangguan sihir cinta ataupun sihir pengasih.
Sihir ini boleh menyerang sesiapa sahaja. Sekiranya usaha penyihir memikat seseorang dengan jalan yang batil menurut syariat Islam, maka usaha untuk membenteng diri perlu dilakukan dengan memperbanyakkan berdoa kepada Allah agar diri dilindungi.
Begini kisahnya...
Saya mendapat mesej wasap dari seorang perempuan yang meminta untuk dirawat. Perempuan itu merupakan rakan baik mangsa sihir yang saya maksudkan pada kisah kali ini.
Beliau meminta untuk merawat sahabat baiknya yang beliau perhatikan berlainan keadaan dirinya. Cukup berbeza dari segi perwatakan dan sifatnya.
Sahabatnya suka menyendiri, tidak berborak seperti mana biasa, wajah tidak ceria, pemarah dan lain-lain lagi.
Keprihatinan beliau terhadap sahabatnya ini menyebabkan beliau cuba mencari jalan ikhtiar untuk merawat sahabat baiknya ini.
Dipendekkan cerita terdetik untuk wasap no telefon yang terpapar dalam blog saya ini. Maka beliau pun meminta untuk temujanji rawatan.
Analisa Pesakit
Apabila temujanji telah ditentukan maka rawatan pun bermula. Bagi mengetahui penyakit sebenarnya yang dialami oleh pesakit ini, beberapa soalan untuk tujuan analisa perlu dilakukan.
Antara simpton yang terjadi pada pesakit ini adalah mimpi ular tedung berwarna hitam, mimpi tempat tinggi dan air laut dalam. Ada juga pesakit mimpi kelibat lembaga seorang lelaki yang ingin memeluk pesakit dan lain-lain.
Dari segi penyakit fizikal pesakit kerap mengalami sakit kepala, terasa berat dari belikat sehingga bahagian kiri pinggang, sukar tidur malam dan kerap terjaga ketika tidur.
Pesakit telah alaminya beberapa minggu ini sahaja. Cuma pesakit selitkan cerita bahawa beliau pernah berbaik dengan seorang lelaki. Lelaki ini pula suami orang.
Pesakit tidak layan pada mulanya. Namun lelaki ini cuba memikat dengan memberi pelbagai hadiah seperti baju dan lain-lain kepadanya.
Jauh disudut hati pesakit ini mengakui sebenarnya beliau tidak suka pun lelaki tu, namun perasaan sayang tu melebihi dari segalanya. Beliau rasa ada sesuatu yang beliau tak berdaya untuk menahannya.
Kesan daripada beliau cuba berusaha untuk menjauhkan dari lelaki itu menyebabkan keadaannya bertambah teruk dan bertahan sehingga terjadi seperti simptom penyakit fizikal yang dialaminya di atas.
Dan gangguannya bertambah teruk sehinggalah sahabatnya baiknya sanggup membantunya.
Berdasarkan keseluruhan simptom dan analisa yang diberikan pesakit ini, saya boleh katakan pesakit mengalami gangguan sihir. Wallahua'lam.
Rawatan Rukyah
Ikhtiar melalui rawatan rukyah dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran merupakan jalan terbaik untuk syifa' ataupun penawar yang semestinya diutamakan.
Ketika bacaan rukyah dibacakan, pesakit ini terus kesurupan. Jin sihir telah mengambil alih sebahagian saraf diotaknya untuk mengawal seluruh pesakit.
Saya nasihatkan pesakit cuba kawal diri dan lawan jin syaitan agar tidak menguasai dirinya.
Namun jin sihir terus menguasai dalam keadaan marah dan menjerit-jerit.
Saya terpaksa memberi nasihat kepada jin sihir agar bertenang dan jangan menjerit-jerit sebab sekarang telah malam. Walaupun dunia jin adalah sebaliknya dengan dunia kita, ketika mana kita merasai waktu siang, jin pula merasai waktu disebaliknya.
Selepas jin telah tenang dan boleh dibawa berbincang, sesi dialog saya dengan jin pun berlaku. Berikut adalah sesi dialog yang masih saya ingat.
Saya : Assalamualaikum ya ma'syaral jin.
Jin : ......(jin diam)
Saya : Adakah kamu jin Islam atau jin kafir ?
Jin : Jin kafir
Dalam masa saya berdialog saya sentiasa membaca rukyah.
Saya : Apakah tujuan kamu mengganggu tubuh badan ini ?
Jin : Hahahaha...(gelak). Kau mengganggu kerja aku.
Saya : Lebih baik kau nyatakan tujuan kau sebelum aku membaca ayat-ayat azab kepada kau.
Jin : Aku suka dia. Aku memang nak pada dia.
Saya : Kamu bertuan ?
Jin : Ya
Saya terus memberi dakwah kepada jin dan menerangkan tentang agama Islam.
Alhamdulillah jin sihir ini setuju untuk masuk agama Islam. Dalam keadaan jin ini takut kepada ugutan tuannya sekira tuannya tahu maka dengan izin Allah diikhtiarkan putuskan ikatan sihir antara jin dan tuannya dan membebaskan jin itu.
Setelah selesai pembersihan sihir dari tubuh badan pesakit...
Saya : Sekarang kau tahu mana nak pergi ?
Jin : (Mengangguk) tanda setuju
Saya : Baiklah...sekarang kamu boleh keluar dari tubuh ini dan berikan ucapan salam "Assalamualaikum" dan terus keluar dari tubuh ini.
Saya : Assalamualaikum
Jin : (jin menjawab) Waa'laikumussalam
Setelah selesai memberi salam, badan pesakit tiba-tiba rebah.
Alhamdulilah, pesakit sedar dengan sendiri setelah namanya dipanggil.
Apabila ditanya bagaimana dengan keadaan sakit tubuh yang dialami tadi, adakah masih sakit ?
Alhamdulillah pesakit memberi respon, badan terasa ringan, sakit kepala hilang dan pernafasan rasa lapang.
Kesimpulan
Ibrah daripada kisah ini mengajar kita bahawa ujian Allah akan datang dalam pelbagai cara. Kita takkan mampu menghalang setiap ujian yang Allah akan berikan kepada kita. Apa yang penting adalah kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan dengan Allah. Sentiasa memohon perlindungan Allah agar dijauhkan segala fitnah dunia.
Pesakit yang saya telah rawat ini cukup beruntung kerana mempunyai sahabat yang prihatin. Sifat kasihkan persaudaraan sesama Islam cukup baik sehingga sanggup berusaha demi kebaikan sahabatnya ini.
Walau apapun semoga kisah ini memberi sedikit manfaat untuk anda agar berhati-hati dan sentiasa menjaga iman masing-masing.
Alhamdulillah selang beberapa minggu pesakit telah memberi feedback bahawa beliau telah sembuh sepenuhnya dari sihir dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Semoga bermanfaat. Sekian. Terima kasih.