Bahayanya Penyakit Ain ? - Bahagian 2 (Akhir)

 


Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk saya berkongsi untuk post seterusnya bagi artikel blog yang bertajuk " Bahayanya Penyakit Ain ? ". Saya sambung penulisan kisah saya merawat salah seorang pesakit ain.

Sambungan dari kisah yang saya kongsikan (bahagian 1) sebelum ini klik sini - Bahayanya Penyakit Ain ? Bahagian 1

.....

Jeng,jeng,jengggg....

Setelah ibu kepada pesakit menjawab "kenal" dengan nama yang disebutkan oleh pesakit ketika kesurupan membuatkan saya rasa terkejut.

Saya pun melanjutkan soalan kepada ibu pesakit. " Siapa nama perempuan yang disebutkan tadi ? "

Ibu pesakit menjawab " Itu nama kawan perempuan ketika pesakit belajar di kolej dulu "

Mengikut ceritanya perempuan itu adalah salah seorang kawan se-kolej pesakit. Dia sangat baik dan sangat prihatin dengan pesakit.

Pernah suatu hari perempuan ini pernah datang ke rumah pesakit ketika demam agak lama di rumahnya untuk bertanya khabar. Layanan perempuan ini kepada pesakit cukup mengharukan.

Dulu pernah berlaku ketika pesakit pernah demam di kolej, sanggup perempuan itu membeli ubat di farmasi dan memberi kepada pesakit.

Keprihatinan perempuan ini membuatkan pesakit rasa terharu dan dalam masa yang sama sangat kagum dengan layanannya dan keprihatinannya kepada pesakit.

Rupanya dalam diam-diam pesakit memendam rasa suka dan jatuh cinta dengan perempuan itu.

Cuma perasaan tidak terucap dek kerana perempuan terlalu baik, solehah, lemah lembut berbanding diri pesakit yang agak liar sedikit.

Perempuan ini juga pernah memberi nasihat agar pesakit berubah menjadi baik, berhenti dari merokok dan elakkan berkawan dengan kawan-kawan yang tak baik.

Keperihatinannya sangat mencuit hatinya dan dalam masa yang sama pesakit kagum dengan perempuan yang solehah sepertinya sanggup melayan dan cuba memberi nasihat kepadanya.


Punca Pesakit Kena Serang Penyakit Ain

Setelah sekian lama menasihati dan melayan dengan baik dirinya menyebabkan dia jatuh hati dalam diam, jiwa pesakit mula terpendam/terperam lama tanpa meluahkan. 

Ia menjadi tanda tanya adakah perempuan itu menyukainya.

Oleh kerana kagum dengan sifat baik perempuan itu dan layanan baik kepadanya ditambah hati yang memendam lama terhadap perempuan itu menyebabkan penyakit ain menyerang pesakit.

Bermula dari situlah penyakit bermula sebelum dikenalpasti oleh doktor pakar sebagai AD (Anxiety Disorder).

Inilah punca pesakit ain ini mula diserang hanya kerana rasa kagum dengan kebaikan perempuan itu terhadap dirinya.

Kita perlu diingatkan penyakit ini boleh menyerang kepada sesiapa sahaja.

Ia boleh berlaku kepada wanita yang cantik, lelaki yang tampan, keluarga yang duduk di rumah mewah dan tuan punya kereta yang canggih. Asalkan seseorang itu memiliki sesuatu yang menyebabkan orang lain merasa dengki, kagum yang melampau tanpa sandaran kepada Allah  maka penyakit Ain boleh berlaku.

Tidak ada ciri khusus penyakit Ain. Ia boleh jadi penyakit fizikal seperti lemah badan, demam dan pengsan. Ia boleh jadi penyakit batin seperti imaginasi bukan-bukan, histeria dan mengamuk. Ia boleh jadi kedua-dua sekali, fizikal dan batin.


Riwayat Penyakit Ain Zaman Rasulullah

Kita ambil iktibar dari kisah zaman Rasulullah ketika mana Abu Umamah menerangkan, ayahnya –Sahal bin Hunaif mandi di sungai, dia melepaskan jubah yang dipakai lalu dilihat oleh Amir bin Rabiah melihatnya. 

Sahal adalah seorang pemuda yang putih dan cantik kulitnya sehingga Amir bin Rabiah berkata kepada Sahal: “Aku tidak pernah melihat kulit yang secantik ini, bahkan kulit seorang gadis sekalipun.” 

Kemudian Sahal diserang penyakit dan penyakit tersebut bertambah parah. Seseorang pergi menemui Rasulullah dan mengkhabarkan kepada baginda: “Sesungguhnya Sahal sakit, dia tidak dapat datang bersama anda, Wahai Rasulullah!”

Rasulullah lalu menziarahinya, lalu Sahal mengkhabarkan tentang apa yang telah dilakukan oleh Amir terhadapnya. Rasulullah bertanya: “Kenapa salah seorang dari kalian hendak membunuh saudaranya? Tidakkah (sebaiknya) engkau mendoakannya agar diberkati ? Sesungguhnya penyakit Ain itu benar. Berwudhulah kamu untuknya!”

Amir lantas berwudhu untuk menyembuhkan Sahal. Setelah itu Sahal dan Rasulullah berangkat dengan keadaan sehat. [Muwattha’ Imam Malik, no: 1471]


Merawat Punca Sebenar Pesakit Ain Ini

Alhamdulillah rasa bersyukur ketika merawat pesakit Ain ini, Allah memberi kelebihan untuk ketahui punca sebenar penyakit ain yang selama ini berlaku pada pesakit.

Saya terus bersoal jawab dengan pesakit tentang perasaan sebenarnya kepada perempuan itu. Setiap simptom yang dinyatakan di atas memang tepat dan pesakit sendiri mengaku sebenarnya telah memendam perasaan cinta pada perempuan tu.

Pesakit memang suka dalam diam sekian lama walaupun telah habis kolej. Pernah juga bercinta dengan perempuan lain selepas kolej namun tidak kekal lama dan putus ditengah jalan.

Apabila telah kenal pasti punca sebenar pesakit, maka saya tiada cara lain untuk mengubatinya melainkan hanya dengan perempuan itu juga.

Mengubatinya penyakit ain ini perlu melibatkan perempuan itu walaupun telah lama pesakit tidak menghubungi perempuan itu. 

Saya memberi pilihan kepada ayah dan ibu pesakit.

  1. Pilihan A : Menghubungi perempuan itu dan minta pakaian yang dipakai olehnya untuk tujuan rendaman. Kemudian air yang direndam, harus pesakit mandi untuk penyembuhan penyakit ain ini.

    Pilihan ini agak sukar dilakukan oleh keluarga ini disebabkan telah lama tak berhubung dan agak janggal tiba-tiba pula perlu minta baju atau apa jua barang dari perempuan itu.


  2. Pilihan B : Menghubungi keluarga perempuan itu untuk dinikahkan sahaja mereka berdua.

    Pilihan ini juga sukar dilakukan kerana 2 sebab. Pertama mereka tidak pernah berhubung dengan ibu bapa perempuan itu dan agak janggal dilakukan  secara tiba-tiba tanpa mengetahui perempuan itu telah berkawin atau tidak.

    Kedua pula jika mereka setuju ingin berkawin pun, dalam keadaan pesakit yang belum bekerja dan tiada pendapatan sendiri untuk menampung anak orang yang bakal dijadikan isteri kelak turut menjadi masalah suatu hari kelak.


  3. Pilihan C : Berbincang dengan perempuan itu secara terus. Tanyakan khabar dan pesakit cuba nyatakan perasaannya kepada perempuan itu. Tetapi sebelum itu pesakit telah saya ingatkan sekiranya perempuan itu membalas yang perempuan sebenarnya tiada apa-apa perasaaan pun pada pesakit, pesakit perlu redho. 

    Saya bertanya sekiranya apa juga jawapan yang tidak setuju dengan pesakit, adakah pesakit redho. Pesakit mengangguk dan menjawab dia akan redho apa jua jawapannya.

    Hanya dengan redho dan terima qada dan qadar Allah, pasti penyakit ain yang selama ini yang menyerang bakal sembuh dengan izin-Nya.

    Alhamdulillah pilihan C telah diusahakan oleh ibu dan bapa pesakit ini sendiri.

    Dalam keadaan pesakit sedar saya menasihatkan agar redho atas jua jawapan yang diterima kelak. Pesakit mengangguk tanda setuju dan berjanji untuk terima qada dan qadar Allah.

Setelah urusan menghubungi perempuan itu dan mendapatkan penyataan sebenar, maka terlerailah sudah penyakit ain. Masing-masing telah terima usaha ini dan redho atas yang berlaku walaupun perempuan itu tidak tahu apa-apa pun sebenarnya.

Alhamdulillah setelah urusan perbincangan dan luahan hati dari pesakit beserta kesediaan emosinya untuk menerima segala jawapan perempuan itu, maka selesailah segalanya. Pesakit redho dan terima jawapan perempuan itu bahawa perempuan itu tiada apa-apa perasaan pun kepadanya.


Ayah Pesakit Menguhubungi Saya

Setelah selang beberapa hari saya merawat buat kali terakhir pesakit ain ini dirawat, alhamdulillah dapat panggilan dari ayah pesakit. Dia menyatakan syukur pada Allah kerana anaknya telah kembali pulih. Anaknya telah lalui hidup seperti biasa seperti mana sebelum pesakit diserang penyakit ain.

Dia telah mula bekerja seperti biasa dan tiada lagi penyakit yang pelik-pelik seperti saya nyatakan pada perenggan pertama pada bahagian 1 - DI SINI !

Pesakit menjalani kehidupan seperti biasa seperti mana yang dilalui sebagai seorang lelaki yang normal. Alhamdulillah.

Ucapan syukur kepada Allah kerana telah kurniakan ilham untuk menjumpai punca sebenar penyakit yang dialami selama ini. MasyaAllah Tabarakallah.


Kesimpulan

Berhati-hatilah kita sebagai umat akhir zaman ini. Antara penyakit yang cukup bahaya yang sedang terjadi pada akhir zaman seperti mana Rasulullah ingatkan ialah penyakit ain. Jangan pandang remeh dengan penyakit ini. Penyakit ain ini sangat bahaya. Hanya dengan pandangan mata beserta rasa takjub, dengki, kagum tanpa bersandarkan kepada Allah maka penyakit ini akan menyerang sesiapa sahaja.

Kita tidak akan mampu menanganinya sendiri sekiranya penyakit ain menyerang melainkan memohon doa perlindungan dari Allah agar dijauhkan dari penyakit ini.

Sentiasalah bermohon doa kepada Allah agar terlindung dari penyakit ain. Tiada daya upaya melainkan keupayaan Allah yang Maha Agung.

Cukup sampai di sini dulu perkongsian saya. Semoga ia dapat membantu anda dan memberi serba sedikit manfaat sebaiknya. Saya berharap dapat berjumpa anda lagi pada perkongsian yang lain. InsyaAllah.

Doakan saya agar terus berkongsi di blog ini yer. Sekian. Terima kasih.



Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama