Kisah Saya Merawat Gangguan Saka di Banting


Assalamualaikum kepada pembaca budiman. Jin adalah makhluk ciptaan Allah yang diperintahkan untuk sujud menyembah Allah. Printah yang sama juga diarahkan ke atas makhluk manusia.

Golongan jin ada dari kalangan mereka yang kafir dan ada juga beriman kepada ajaran Islam. Namun ada juga dikalangan jin musyrik serta sombong dan istiqamah melakukan kemungkaran. Mereka bekerjasama dan bersekongkol dengan Iblis untuk menyesatkan manusia. Yang ini dipanggil Jin Syaitan.

Tidak ramai yang sedar bahawa setiap kesesatan, kemungkaran, maksiat yang dilakukan oleh Bani Adam adalah hasil bisikan dan hasutan Jin Syaitan ini.

Bukan hanya bisikan yang dilakukan mereka, malahan mereka mampu menyakiti tubuh manusia agar menderita. Jin syaitan mampu melakukannya dengan izin Allah.

Bagi kita sebagai orang yang beriman kepada qada & qadar Allah menerima setiap musibah, bencana, bahagia, kaya, miskin, menderita dan semuanya adalah ujian Allah di dunia yang fana ini.


Merawat Gangguan Saka di Banting

Saya teringat ketika mana saya merawat salah seorang pesakit yang terkena gangguan saka. Seorang perempuan muda yang diserang penyakit yang agak pelik.

Menurut maklumat daripada ibu kepada pesakit ini, musibah ini mula terjadi setelah kematian ayah pesakit. 

Kepelikan penyakit yang dialaminya sehinggakan setiap kali sakitnya datang terasa seperti mahu nazak atau seperti sesak nafas. Setiap kali sakitnya datang pasti ibunya akan pesakit terus ke wad kecemasan di Hospital Banting yang kebetulan ia berdekatan dengan rumah pesakit.

Namun yang menghairankan ibu pesakit, hasil dari pemeriksaan doktor tiada apa-apa masalah kesihatan pada pesakit. Pesakit tiba-tiba menjadi normal kembali setelah sampai di wad. Begitulah yang terjadi dari minggu ke minggu.

Baca juga : Inilah Perbezaan Saka dan Sihir...


Pesakit Mula Ikhtiar Dengan Rawatan Islam

Disebabkan penyakit kian menjadi-jadi, maka ibu pesakit mencari jalan alternatif untuk ikhtiar rawatan dengan kaedah Islam.

Ibunya cuba rawatan dengan salah seorang perawat Islam berdekatan Banting. Setelah dirawat pesakit hanya elok sebentar dan kemudian tetap juga diserang dengan penyakit yang sama.

Apabila ingin membuat rawatan seterusnya dengan perawat itu, didapati perawat tidak sihat kerana sakit demam dan beliau tidak dapat merawat pada ketika itu.

Buntu dengan perawat mana lagi ingin diikhtiarkan, ibu pesakit ini menghubungi saya untuk bantu ikhtiar merawat anaknya. Mungkin ibunya baru teringatkan saya yang juga seorang perawat pegubatan Islam.

Disebabkan niat untuk menolong ibu pesakit yang juga rakan tempat kerja, maka saya cuba bantu ikhtiar sebaik mungkin.


Analisa Pesakit Saka

Kaedah kami sebagai perawat Darul Muallij sangat menitik beratkan analisa setiap pesakit sebelum meneruskan rawatan. Kenal pasti punca penyakit terlebih dahulu agar mudah untuk dirawat kelak.

Keputusan awal hasil borang soal selidik yang telah diisi oleh pesakit menunjukkan terdapat tanda-tanda gangguan. Pada mulanya saya tak dapat kenal pasti sama ada gangguan saka atau gangguan sihir.

Bagi mengenalpasti punca sebenar, maka soal jawab terus dilakukan dan senarai dibawah adalah beberapa simptom-simptom telah dimaklumkan yang tersimpan dalam ingatan saya.

(a) Sering bermimpi arwah ayah (pesakit sangat rapat ketika arwah ayahnya hidup)
(b) Beberapa kali mimpi seseorang ingin memberi sesuatu kepada pesakit. Tetapi pesakit tidak pernah ambil.
(c) Sering sakit kepala terutama waktu Asar ke atas.
(d) Tidur tidak lena. Sering terjaga lepas jam 12 malam.
(e) Mula rasa mengantuk ketika waktu hampir Subuh.
(f) Bahu dan pinggang terasa berat.


Itulah beberapa simptom yang dihadapi pesakit . Kemudian saya teruskan dengan sesi rawatan rukyah.

Baca juga : Pengalaman Merawat Pesakit Senggugut Teruk...Sembuh Dengan Izin Allah


Rawatan Rukyah - Sesi Pertama

Ketika sesi rukyah dilakukan ternyata tanda-tanda gangguan ada dalam tubuh pesakit. Pesakit mula terasa panas dan ada sesuatu yang bergerak di bawah kulit.

Setelah selesai rawatan rukyah, pesakit rasa tenang dan sakit kepala, rasa ringan di bahagian bahu dan pinggang. Kemudian pesakit diberikan amalan mandian ais limau dicampur air rukyah untuk diamalkan antara waktu Asar dan Maghrib.

Pemeriksaan lanjut turut dilakukan dari segi fizikal. Berdasarkan simptom dan pemeriksaan fizikal yang telah dilakukan saya dapati pesakit juga mengalami masalah minor slip disk. Saya dapati jajaran kedua belak kaki tidak sama ataupun offset.

Namun saya terpaksa maklumkan saya tidak boleh merawat untuk kali ini atas sebab-sebab tertentu. Mungkin ibu pesakit perlu mencari perawat perempuan yang mahir dalam rawatan pembetulan tulang belakang.


Rawatan Rukyah plus Krekk Method (Pembetulan Tulang Belakang)

Maklum balas dari ibu pesakit menyatakan selepas rawatan rukyah yang lepas, pesakit kelihatan sihat dan tiada apa-apa serangan penyakit sehinggalah beberapa hari selepas selesai mandian ais limau, penyakit lama datang kembali namun tidak seteruk sebelum ini.

Atas permintaan ibu pesakit, saya pun datang ke rumahnya di Banting untuk ikhtiar rawatan buat kali yang kedua.

Kali ini saya tidak boleh menggunakan kaedah yang sama. Maka saya perlu selidik lebih dalam tentang apa-apa peninggalan arwah iaitu suami kepada ibu pesakit.

Ibu pesakit menjawab beliau terjumpa sebilah keris kecil yang disimpan dalam almari ketika sedang mengemas serta beberapa cincin yang disimpan rapi dalam satu lipatan kain berwarna merah.

Saya mendapatkan kepastian tentang mana datangnya keris itu dan ibu pesakit menjawab menurut kawan kepada arwah, arwah suaminya mendapat keris tersebut dari kawan atas kawan yang berbangsa melayu dari negara Indonesia. Dari penceritaan ibu pesakit seperti tidak dapat dipastikan apakah tujuan dan bagaimana keris itu berada di tangan arwah. 

Tanpa membuang masa lagi maka saya mencadangkan agar rawatan rukyah dilakukan kepada ibu pesakit, pesakit sendiri serta adik pesakit. Ketiga anak beranak sekeluarga perlu ikhtiar rawatan rukyah dan ikrar pemutus.

Kemudian sesi rawatan dimulakan dengan membaca ikrar pemutus. Ketika ikrar pemutus dibacakan, hati ibu pesakit dan pesakit rasa tidak tenteram. Hanya adik pesakit yang tiada rasa apa-apa.

Tanpa berlengah masa lagi, sesi rawatan rukyah pun dimulakan.

Ketika rukyah tiba-tiba ibu pesakit kerasukan dengan keadaan tangan kiri bergetar-getar dan bergoyang dengan sendiri. Rukyah dan doa dilakukan untuk memutuskan segala gangguan jin saka, sihir dan segala bentuk gangguan.

Alhamdulillah beberapa lama selepas rukyah selesai, pesakit dan ibu pesakit menjadi tenang kembali.

Tanpa berlengah masa, saya teruskan dengan kaedah menawar bisa gangguan yang kemungkinan besar wujud pada keris beserta cincin dengan menggunakan kaedah rendaman (air rukyah + cuka + air biasa) selama 3 hari 3 malam. Saya maklumkan selepas cukup 3 hari, keris dan cincin tadi boleh disimpan seperti biasa ataupun dibuang. Mengikut pilihan ibu pesakit sendiri.

Selepas selesai sesi rawatan rukyah dan menawar barang pusaka keris dan cincin, saya terus melakukan rawatan krekk method / pembetulan tulang kepada pesakit. Alhamdulillah pesakit merasa badannya lebih ringan dan nafas lebih lancar. Semua dengan izin Allah.


Pesakit Sembuh Dengan Izin Allah

Setelah melalui dua kali rawatan, alhamdulillah pesakit sembuh dengan izin Allah. Pesakit telah bebas dari gangguan saka. Memang perit sakitnya bila diserang jin saka. Jin saka ini menuntut pada yang bukan hak mereka.

Mereka merasa sombong dan mampu memperbodohkan semua manusia walhal inilah bukti yang Allah telah rakamkan dalam Surah Jin ayat 6 yang bermaksud :

`Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

Walaupun keris yang disimpan oleh arwah ayah pesakit tidaklah diketahui sejarahnya dan mungkin arwah tidak tahupun keris yang disimpan mempunyai isi jin saka yang tinggal di keris itu. Dan mungkin juga arwah tidak tahu arwah pernah melafaz tanda terima secara tidak sengaja menyebabkan jin ini 'terikat' dan setia pada keluarga arwah. Wallahua'lam.

Disebabkan jin saka ini tahu 'tuan' nya telah meninggal dunia, maka jin saka ini ingin menjadikan pesakit sebagai tuannya yang baru. Keengganan pesakit menerima pemberian sesuatu barang ketika mimpi menyebabkan penyakit diserang penyakit pelik itu.

Kebiasaannya jin saka ini akan memilih pewaris dari kalangan mereka yang sangat rapat dengan tuannya. Mereka akan memilih mengikut jalur keturunan yang sama kerana ia mempunyai pertalian darah yang sama.

Jin mempunyai keunikan yang mampu mengesan seseorang manusia hanya melalui darah. Darah adalah umpama 'IC' bagi jin. Ia memudahkan jin mengenal pasti keturunan seseorang. Dua kaedah yang mereka gunakan iaitu menjilat dan membau darah. Itulah kelebihan yang dikurniakan Allah kepada golongan jin.

Sebab itulah dalam kaedah rawatan Islam Darul Muallij, kami akan menyarankan mandian ais limau untuk tujuan membuang bau badan agar jin tidak dapat mengesan bau badan seseorang yang terkena gangguan makhluk halus.


Kesimpulan

Pengalaman saya sebagai perawat pengubatan Islam, majoriti kes gangguan saka pasti akan menyebabkan pelbagai penyakit yang seseorang itu tidak sedar kenapa ia terjadi. Selalunya apabila datangnya penyakit, pesakit hanya ikhtiar dengan ubat sahaja. Dan ia berulang-ulang sehingga tidak terfikir langsung penyakit fizikal yang dialami selama ini adalah disebabkan gangguan jin saka.

Walaupun kesembuhan hanya sementara, tetapi pesakit tetap tidak sedar tentang punca sebenar penyakit. Sebab itulah apabila anda tanya kepada perawat Islam tentang penyakit, mereka pasti akan memberitahu kebanyakan penyakit rohani dan jasmani manusia berpunca daripada gangguan  jin.

Buat pengetahuan anda sebenarnya tipu daya daripada jin saka lebih licik daripada jin sihir. Ini kerana jin saka telah lama bersama susur galur keturunan seseorang. Mereka kenal setiap ahli keluarga dalam keturunan tertentu. Disebabkan mereka telah sebati dalam keluarga inilah, memudahkan mereka melakukan segala tipu daya, wujudkan macam-macam penyakit, memporak perandakan keluarga dan sebagainya dengan izin Allah.

Jadi kita perlu sentiasa meningkatkan amal ibadah secara istiqamah dan ikhtiar untuk putuskan segala ikatan jin yang mungkin berlaku secara sedar ataupun tidak sedar, secara langsung ataupun tidak langsung.

Semoga kita semua sentiasa dilindungi Allah dari apa jua gangguan jin saka, sihir, asyik dan sebagainya. Aamin Ya Rabbal A'laminn.

Saya rasa cukup sampai sini dulu perkongsian coretan saya sebagai perawat kepada anda. Sampai jumpa lagi pada post yang seterusnya. Sekian. Terima kasih.

P/S : Sekiranya perkongsian saya pada post kali ini memberi manfaat kepada anda, tak salah rasanya kalau saya minta kongsikan kepada rakan kenalan anda melalui mana-mana butang sosial media di bawah ini. 

Catat Ulasan

Sila isi borang komen di bawah. Hanya komen yang murni akan ditunjukkan di blog ini. Semoga kita sama-sama menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Insyaa Allah.

Terbaru Lebih lama